pengunjung

Sunday, February 26, 2012

Kecelaruan tingkah laku seperti keganasan dalam kalangan pelajar kian leluasa di sekolah.

Apakah langkah-langkah yang dapat dipraktikkan oleh ibu bapa bagi mengelakkan anak-anak berkelakuan liar?

Belakangan ini, kecelaruan tingkah laku seperti keganasan dalam kalangan pelajar kian leluasa di sekolah. Banyak guru enggan memegang jawatan guru disiplin apabila memikirkan risiko yang bakal dihadapi mereka. Antara pengalaman pahit guru disiplin termasuklah dipukul oleh pelajar dan harta benda mereka dirosakkan oleh pelajar nakal. Sebelum nasi menjadi bubur, langkah-langkah pencegahan perlulah dilaksanakan agar masalah tersebut tidak menjadi tokok dan nanah dalam diri pelajar. Persoalanya, apakah langkah-langkah yang dapat dipraktikkan oleh ibu bapa bagi mengelakkan anak-anak berkelakuan liar?

Prakarsa perdana bagi mengelakkan anak-anak berkelakuan liar dan ganas ialah ibu bapa perlulah menjadi suri teladan dalam keluarga. Hal ini demikian kerana kebanyakan pelajar akan terikut-ikut dengan tingkah laku ibu bapa mereka bersesuain dengan peribahasa bagaimana gendang begitulah tarinya. Oleh itu, ibu bapa hendaklah menjadi ikon dalam keluarga mereka dengan berkelakuan lemah lembut, baik hati, penyayang dan menunjukkan contoh teladan yang baik di hadapan anak-anak. Perkara ini secara tidak langsung dapat membentuk sahsiah dan akhlak anak-anak menjadi-jadi lebih baik. Andai kata, ibu bapa tidak menjadi suri telandan dalam keluarga sebaliknya berkelakuan tidak senonoh di hadapan anak-anak, sudah tentu kelakuan liar anak-anak tidak dapat dielakkan. Sesungguhnya, peranan ibu bapa yang menjadi suri teladan dalam keluarga merupakan salah satu langkah yang efektif bagi mengelakkan anak-anak berkelakuan liar dan ganas.

Selain itu,ibu bapa juga perlu memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak dari kecil lagi bagi mengelakkan mereka berkelakuan liar .Hal ini sangat penting kerana melalui didikan agama yang sempurna,anak-anak boleh membezakan perkara yang baik dan buruk seterusnya dapat mengelakkan anak-anak berkelakuan liar dan ganas.Dalam aspek ini ,ibu bapa perlulah memberitahu anak-anak mereka kesan dan akibat sekiranya berkelakuan kurang sopan.Bukan itu sahaja,ibubapa juga perlulah menetapkan nilai-nilai murni seperti kasih sayang,baik hati dan lain-lain didalam diri anak-anak .Andai kata,ibu bapa tidak memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak dari kecil lagi sudah pasti perlakuan liar anak-anak tidak dapat dibendung kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pendek kata, didikan agama yang sempurna perlu diberikan kepada anak-anak sejak kecil lagi bagi mengelakkan mereka berkelakuan liar dan ganas apabila mencecah ke usia remaja kelak.

Seterusnya,langkah dogmatik yang dapat dipraktikkan oleh ibu bapa bagi mengelakkan anak-anak mereka berkelakuan liar dan ganas ialah mengamalkan cara hidup positif .Hal ini demikian kerana pemikiran dan sifat anak-anak dipengaruhi oleh kawasan persekitaran .Sebagai contoh ,sekiranya cara hidup seseorang remaja itu negatif seperti ibu bapa tidak prihatin,panas barang dan tidak bertanggungjawab ,berkemungkinan remaja tersebut akan berkelakuan ganas dan liar kerana terpengaruh dengan cara hidup negative ibu bapa mereka tersebut .Jadi,ibu bapa disarankan untuk mengamalkan cara hidup positif seperti prihatin dan bertanggung-jawab terhadap anak-anak .Ibu bapa juga seyogianya mewujudkan suasana yang harmoni dalam keluarga supaya pemikiran anak-anak menjadi lebih baik dan sihat .Seandainya,ibu bapa mengamalkan cara hidup positif nescaya mereka akan melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia bukannya anak-anak yang berkelakuan liar dan ganas. Sudah terang lagi bersuluh,peranan ibu bapa dalam mengamalkan cara hidup positif merupakan salah satu langkah yang terbaik bagi mengelakkan anak-anak mereka berkelakuan liar dan ganas.

Di samping itu, ibu bapa perlulah mengambil tindakan yang tegas dan memberi nasihat secara berterusan kepada anak-anak bagi mengelakkan anak-anak mereka berkelakuan liar dan ganas. Hal ini sangat penting kerana melalui tindakan yang tegas, anak-anak berasa takut untuk berkelakuan kurang sopan di hadapan orang tua mereka. Bukan itu sahaja, nasihat juga dapat membetulkan minda anak-anak. Sebagai contoh, apabila ibu bapa sentiasa memberi nasihat tentang keburukan dan kesan berkelakuan liar dan ganas kepada anak-anak, mereka akan berfikir dahulu sebelum bertindak sama ada perkara yang ingin dilakukan itu perkara yang hak atau batil. Hal ini secara tidak langsung dapat menghindarkan diri anak-anak berkelakuan tidak bermoral. Sekiranya, ibu bapa tidak menghiraukan anak-anaknya dan bersikap seperti enau di dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing, sudah pasti anak-anak mereka akan berkelakuan liar dan ganas. Pendek kata, ibu bapa perlulah mengambil tindakakan tegas dan memberi nasihat secara berterusan bagi mengelakkan anak-anak berkelakuan liar dan ganas.

Seterusnya, pemantauan perlakuan anak-anak semasa di luar rumah dan di sekolah juga boleh dipraktikkan oleh ibu bapa bagi mengelakkan anak-anak mereka berkelakuan liar dan ganas. Hal ini demikian kerana anak-anak akan berwaspada dan menjaga tingkah laku mereka ketika berada laur rumah dan di sekolah kerana mereka mengetahui bahawa ibu bapa mereka sedang mengawasi dan memantau perlakuan mereka. Sebagai contoh, anak-anak berasa akurang senang untuk memoteng, melepak, melakukan vandalisme di tempat awam kerana ada mata-mata yang melihat dan melaporkan kepada ibu bapa mereka. Andai kata, ibu bapa tidak memantau perlakuan anak-anak mereka semasa di luar rumah dan di sekolah sudah tentu kelakuan liar dan ganas anak-anak tidak akan terus membarah dan menjadi virus epidemik di negara kita. Sesungguhnya ,pemantauan ibu bapa tentang perlakuan anak-anak mereka semasa di luar rumah mahupun sekolah merupakan insiatif yang prakmatik bagi mengelakkan perlakuan liar dan ganas anak-anak.

Intihanya, terdapat pelbagai langkah yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa bagi mengelakkan anak-anak berkelakuan liar dan ganas. Kelakuan tersebut perlu perlu dikenkang dengan segera bagi melahirkan pelajar yang bersahsiah tinggi, berbudi pekerti dan memiliki minda kelas pertama. Hal ini sangat penting kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang Negara. Oleh itu, begitu peri vitalnya para ibu bapa berusaha bagi mempraktikkan langkah-langkah yang terbaik bagi mengelakkan anak-anak berkelakuan liar dan ganas.

Nur Syahzanan Binti Alwi
5ST1 2012

Sunday, February 19, 2012

ISU GEJALA SAMSENG DI SEKOLAH SEMAKIN LELUASA SEHINGGA MEMBIMBANGKAN BANYAK PIHAK. PADA PENDAPAT ANDA, APAKAH PUNCA BERLAKUNYA GEJALA SAMSENG INI?

Sedasarwarsa ini, isu gejala samseng di sekolah sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia. Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia, peratus gejala samseng meningkat secara drastik dari semasa ke semasa sekali gus menyebabkan imej negara tercalar di persada dunia. Rekod polis telah menunjukkan ramai dalam kalangan pelajar yang cerdik pandai telah menjadi bagai pelanduk di cerang rimba akibat gejala buli yang semakin ganas. Dalam hal ini,apakah punca gejala samseng yang menjadi duri dalam daging institusi pendidikan di negara ini?

Punca perdana yang mendorong aktiviti gejala samseng ini adalah ramai dalam kalangan pelajar kurang mendapat kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa. Hal ini demikian kerana dengan kurangnya kasih sayang daripada ibu bapa, seseorang itu akan menjadi lebih liar dan sukar dikawal oleh penjaganya. Kebiasaannya, pelajar samseng akan mempunyai sikap hedonisme dan bertindak mengikut nafsu. Lantaran itu, apabila nafsu mereka tidak dipenuhi, mereka akan melepaskan geram tersebut kepada seseorang. Hal ini jelas membuktikan bahawa mereka jarang menggunakan akal fikiran mereka yang waras dalam membuat sesuatu keputusan dan pertimbangan, persis kata orang tua-tua, akal itu menteri yang menasihati, hati itu ialah raja yang menentukan, nafsu ialah rasuah yang akan menggulingkan menteri dan raja itu. Gejala samseng ini berlaku apabila pelajar yang lemah dan muda daripada mereka menjadi sasaran utama bagi samseng yang ingin memuaskan nafsunya. Sebagai contoh, pembuli tingkatan empat yang tidak dapat merokok untuk seharian suntuk akan melepaskan perasaan yang terpendam terhadap mangsa yang berada di tingkatan dua iaitu pelajar yang lebih muda daripadanya. Jika ibu bapa memberi perhatian dan kasih sayang yang secukupnya terhadap anak mereka, maka gejala buli ini akan berkurangan dan mungkin akan menemui titik noktahnya. Jelaslah bahawa, isu gejala samseng di dada akhbar dapat dikurangkan apabila ibu bapa memberi perhatian dan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak mereka.

Dalam pada itu, pelajar kurang mendapat didikan agama dan moral secukupnya merupakan pencetus gejala samseng di sekolah. Dalam Al-Quran telah dijelaskan bahawa Islam merupakan agama yang syumul justeru Islam menyeru umat mansia melakukan kebaikan dan melarang umat manusia melakukan kejahatan. Bertitik tolak daripada kenyataan tersebut, pelajar yang kurang didikan agama dan moral sudah pasti tidak tahu membezakan antara buruk dan baik. Selain itu,mereka juga tidak mempunyai misi hidup seperti kapal yang berlayar tanpa haluan. Sehubungan dengan itu, mereka sering melakukan sesuatu perkara tanpa memikirkan impaknya pada kemudian hari. Tambahan pula,umur mereka yang setahun jagung itu menyebabkan mereka tidak pernah terlintas yang masa depan mereka semakin kabur apabila mereka menjadi seorang samseng. Tamsilnya, seorang pelajar yang bergelar samseng di sekolah mungkin tidak dapat melanjutkan pelajaran mereka ke menara gading sebaliknya menghabiskan hidup dengan aktiviti yang tidak berfaedah. Seandainya pelajar mendapat didikan ilmu agama dan moral yang mustaid, sudah pasti gejala samseng dapat dikekang dengan mudah. Tegasnya, pelajar yang kurang didikan agama dan moral mudah terdorong menjadi seorang samseng yang seterusnya menjadi barah kepada masyarakat.

Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga merupakan salah satu faktor gejala samseng leluasa dalam kalangan pelajar di sekolah. Hal ini terjadi demikian kerana rakan sebaya akan mempengaruhi pertumbuhan sosial seseorang pelajar. Secara psikologi, gerak gerik dan perlakuan pelajar yang negatif lebih kuat pengaruhnya ke atas pelajar yang berkawan dan rapat dengannya. Pelajar yang menyimpang tingkah lakunya akan mencuba untuk mempengaruhi kawan-kawannya yang untuk menyertai tindakannya yang negatif itu. Di sebuah sekolah, pelajar bebas bergaul antara satu sama lain tanpa memikirkan bangsa,latar belakang dan kaum yang berbeza-beza yang dihimpunkan di dalam satu institusi pendidikan yang sama. Oleh itu, pelajar yang menjadi samseng itu dianggap sebagai nila setitik yang merosakkan susu sebelanga. Sebagai contoh, pelajar yang menjadi samseng akan menyebabkan prestasi sekolah itu menurun dan pada masa yang sama menjejaskan nama baik sekolah itu kesuluruhannya. Sekiranya pelajar menjauhi gejala samseng ,prestasi sesebuah sekolah akan terpelihara. Sudah terang lagi bersuluh, gejala samseng di sekolah dapat diatasi jika seseorang pelajar itu memilih rakan sebaya yang cenderung ke arah kelakuan positif .

Di samping itu,media massa merupakan penyumbang utama kepada gejala samseng dalam kalangan belia di bangku sekolah.Program-program televisyen khasnya, lebih mementingkan hiburan daripada menyebarkan maklumat yang bermanfaat. Tayangan-tayangan filem Barat dan Hindustan contohnya, telah menolak unsur-unsur ketimuran yang sebati dalam jiwa remaja terutama pelajar sekolah. Adegan-adegan lucah telah menjadi halwa mata yang menjadi keutamaan bagi mereka. Jadi, apabila filem tersebut dipertontonkan, sudah tentu golongan remaja amnya, akan meniru gaya dan aksi artis pujaan mereka. Natijahnya wujudlah budaya ‘punk’, bertindik di telinga kiri bagi lelaki, seks bebas, dan lebih dahsyat lagi gejala samseng yang semakin leluasa. Secara tidak langsung, aktiviti ini mencetus kemelut jati diri bagi remaja yang sedang mencari identiti diri seterusnya terlibat dalam gejala hedonisme ini.Seandainya, media massa menapis kandungan filem tersebut,kemungkinan peratus pelajar yang terjerumus dalam gejala samseng dapat dikurangkan.Pendek kata, media massa juga merupakan faktor utama gejala samseng semakin leluasa di sekolah.

Jika ditinjau dari aspek pendidikan pula, terdapat banyak ruang kosong yang harus dipenuhi bagi mengatasi gejala samseng di sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana sistem pendidikan di Malaysia lebih banyak menekankan kecemerlangan akademik berbanding sahsiah.Pelajar sering di ajar cara untuk menjawab soalan bagi menghadapi peperiksaan berbanding cara untuk menjadi insan yang bersahsiah demi menjalani kehidupan yang sebenar. Sebagaimana yang kita sedia maklum, Kementerian Pendidikan Malaysia sering menguji pelajar dari aspek pendidikan seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah(UPSR),Penilaian Menengah Rendah(PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) berbanding sahsiah yang hanya diajar melalui subjek Sivik dan Kewarganegaraan.Berdasarkan sejarah,tamadun yang berjaya ialah masyarakat yang mempunyai adab dan sahsiah yang tinggi .Jika kerajaan memberikan penekanan sedikit terhadap pendidikan sahsiah pelajar, maka sudah pasti gejala samseng di sekolah akan berkurangan.Sesungguhnya, kerajaan harus menggubal satu sistem pendidikan negara yang lebih mementingkan sahsiah bagi mengatasi gejala samseng di sekolah.

Tuntasnya, isu gejala samseng di sekolah tidak seharusnya dibiarkan terus merebak. Semua pihak seharusnya bersinergi mengatasi gejala samseng ini yang sudah pastinya banyak memberi onar kepada banyak pihak. Ibu bapa memainkan peranan peri vital kerana mereka merupakan ihsan yang paling rapat dengan para remaja. Aforisme pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara menunjukkan betapa pentingnya remaja kepada negara. Oleh sebab itu, generasi sekarang yang sudah tersasar dari landasan yang benar perlu ditarik balik untuk kembali ke pangkal jalan agar negara kita mampu melahirkan generasi minda kelas pertama yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik malahan juga cemerlang dalam bidang akademik.

Disediakan oleh: Mohd Saifullah B. Mohd Salman
5ST1 2012