pengunjung

Saturday, February 19, 2011

Langkah-langkah yang sepatutnya dilakukan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia

“1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan” merupakan idea bernas yang dicetuskan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohamad Najib Bin Tun Abdul Razak. Objektif prima gagasan 1 Malaysia diperkenalkan adalah untuk mengeratkan lagi perpaduan kaum yang sudah sekian lama bermukim di negara ini. Gagasan 1 Malaysia merupakan rentetan daripada gagasan Rukun Negara yang ditubuhkan selepas peristiwa 13 Mei 1969. 1 Malaysia ditubuhkan adalah untuk mengingatkan kita kepada peristiwa pertumpahan darah yang berlaku pada 13 Mei kerana mengikut ahli falsafah barat iaitu George Santayana, “ Mereka yang melupai sejarah pasti mengulanginya” jadi kita semestinya tidak menginginkan pisang berbuah dua kali. Oleh sebab itu, gagasan 1 Malaysia amat vital untuk direalisasikan oleh semua golongan masyarakat terutamanya golongan pelajar kerana merekalah yang bakal memacu negara pada masa akan datang. Persoalannya, apakah yang sepatutnya dilakukan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia?

De factonya, terdapat variasi peranan yang perlu dimainkan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia. Salah satu daripada peranan tersebut adalah dengan mengaktifkan diri dalam aktiviti kenegaraan dan kemasyarakatan yang dianjurkan oleh pihak kerajaan sebagai contoh Program Latihan Khidmat Negara ( PLKN) dan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan ( RIMUP ). Penglibatan diri dalam program anjuran pihak kerajaan berupaya membantu pelajar mengukuhkan nilai perpaduan dalam diri di samping dapat membantu pelajar memahami erti konsep 1 Malaysia yang faktualnya seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri. Namun, apabila pihak kerajaan mengadakan aktiviti-aktiviti kenegaraan dan kemasyarakatan kebanyakan para pelajar akan menarik diri daripada menyertai aktiviti tersebut walhal aktiviti sedemikianlah yang mampu merapatkan mereka dengan masyarakat yang berbilang ras dan etnik. Sepatutnya untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia golongan pelajar berlumba-lumba untuk menyertai aktiviti seperti PLKN dan RIMUP. Sekiranya hanya sebilangan kecil pelajar yang tidak berminat untuk menyertai aktiviti kenegaraan dan kemasyarakatan maka konsep 1 Malaysia tetap tidak dapat direalisasikan dengan sepenuhnya kerana peranan untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia memerlukan penglibatan semua pelajar bak kata pepatah, “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”. Oleh itu, semua pelajar perlulah mengaktifkan diri dalam program yang dianjurkan pihak kerajaan kerana penglibatan diri dalam program tersebut merupakan satu langkah dogmatik dan pragmatik yang wajar dilakukan oleh pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Seterusnya, untuk menjadikan gagasan 1 Malaysia menjadi kenyataan para pelajar seharusnya menghayati Rukun Negara sepenuh hati supaya para pelajar lebih mengerti nilai perpaduan kaum bagi sesebuah negara. Rukun Negara merupakan gagasan pertama yang dibentuk selepas peristiwa 13 Mei 1969 oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Rukun Negara digubal adalah untuk menyelesaikan persengketaan yang berlaku antara kaum akibat sentimen perkauman. Rukun Negara mengandungi lima prinsip dan kelima-lima prinsip tersebut menjurus ke satu matlamat iaitu mengukuhkan perpaduan antara semua kaum di negara ini. Jadi Rukun Negara merupakan gagasan yang syumul dalam mengeratkan perpaduan kaum yang utuh. Oleh sebab itu, para pelajar perlu menghayati Rukun Negara untuk menanam semangat perpaduan dalam diri dan seterusnya untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia. Walau bagaimanapun, terdapat sejumlah pelajar hanya memandang sebelah mata sahaja terhadap Rukun Negara dan terdapat juga pelajar yang tidak mengingati langsung terhadap lima prinsip Rukun Negara. Seandainya, para pelajar tidak menghayati Rukun Negara maka tidak hairanlah konsep 1 Malaysia tidak dapat direalisasikan dan rusuhan kaum berlaku sekali lagi seperti yang dilakukan oleh kumpulan HINDRAF pada tahun 2007. Sudah terang lagi bersuluh, menghayati Rukun Negara merupakan peranan yang paling wajar dilaksanakan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Menjaga hubungan baik antara kaum merupakan satu lagi minhaj yang boleh dilakukan oleh golongan pelajar untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia. Para pelajar sejamaknya perlu memelihara relasi yang baik antara ras supaya sentimen perkauman tidak timbul dan semestinya untuk mengalicaukan rusuhan kaum daripada terjadi. Para pelajar dapat menjaga hubungan yang baik antara kaum dengan kerap mengunjungi rumah jiran tetangga dan sahabat handai yang berlainan kaum selain menghormati budaya serta adat resam kaum lain. Untuk menjaga hubungan yang harmoni antara kaum para pelajar bukan sahaja perlu membantu bangsa lain yang dalam kesusahan bahkan para pelajar perlu berusaha mengenali dan mendekatkan diri dengan kaum lain. Gagasan 1 Malaysia sebenarnya menekan konsep persamaan taraf seperti yang terdapat dalam Piagam Madinah pada tahun 622 Masihi. Semua rakyat diberi layanan sama rata agar tidak wujud rasa ketidakpuasan hati dalam diri rakyat Malaysia. Andai kata, para pelajar sering bersikap pesimis terhadap kaumlain dan bersikap perkauman nescaya para pelajar tidak akan mampu merealisasikan konsep 1 Malaysia dan sudah pasti juga akan wujud sentimen perkauman serta sebagai konsekuensinya rusuhan kaum berkemungkinan besar akan berlaku. Tegasnya, para pelajar perlulah menjaga hubungan yang baik antara kaum lain kerana mempunyai relasi yang kukuh antara kaum merupakan peranan perdana yang harus dilaksankan oleh pelajar untuk merealisasikan gagasan 1 Malaysia.

Selain itu, para pelajar juga sepatutnya menggunakan bahasa kebangsaan dalam percakapan seharian dengan kaum lain supaya konsep 1 Malaysia menjadi realiti kerana bahasa mampu menjadi alat untuk mengeratkan perpaduan. Penggunaan bahasa yang sama antara kaum lain dapat memupuk semangat perpaduan kaum yang jitu selain dapat meningkatkan lagi semangat cinta akan tanah air. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang paling wajar digunakan oleh pelajar semasa berkomunikasi dengan bangsa lain di Malaysia tambahan pula kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Dengan kekukuhan kedudukan bahasa Melayu dalam perlembagaan jelaslah bahawa para pelajar perlu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan antara kaum lain seperti yang diamalkan oleh masyarakat pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Setiap pedagang di Melaka menggunakan bahasa Melayu sebagai lingua franca. Jikalau para pelajar enggan menggunakan bahasa kebangsaan ketika bercakap dengan bangsa lain maka sudah tentu perpaduan tidak akan wujud dan para pelajar tidak akan mempunyai semangat patriotik. Maka dengan itu jelaslah bahawa penggunaan bahasa kebangsaan dalam percakapan seharian dengan kaum lain merupakan peranan yang perlu dilaksanakan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Sentiasa memandang positif dan menyokong setiap saranan dan buah fikiran Perdana Menteri merupakan satu lagi uslub yang sepatutnya dilaksanakan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia. Para pelajar seharusnya mengikuti segala saranan Perdana Menteri dan memandang positif terhadap saranan tersebut agar tidak timbul perselisihan faham antara rakyat dan pemerintah yang boleh mengakibatkan berlaku pemberontakan. Selain itu, setiap saranan Perdana Menteri sudah semestinya demi kebaikan rakyat dan negara. Jadi para pelajar hasratPerdana Menteri untuk melihat semua rakyat di Malaysia hidup bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama. Perpaduan kaum yang utuh bagi sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk merupakan elemen yang paling vital dalam memastikan keamanan negara terus berkekalan. Oleh sebab itu, para pelajar perlu memandang positif terhadap ideologi Perdana Menteri dan mendukung ideologi tersebut supaya kemerdekaan negara terus berkekalan dan keharmonian negara terjamin. Jika para pelajar sentiasa berprasangka buruk dan tidak mengambil peduli terhadap saranan dan ideologi Perdana Menteri maka perpaduan kaum yang utuh tidak dapat dicapai dan sudah pasti juga gagasan 1 Malaysia tidak akan menjadi kenyataan. Secara tegas, berpandangan positif dan menyokong ideologi Perdana Menteri ialah peranan yang harus dimainkan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Konklusinya, para pelajar mempunyai pelbagai peranan yang mampu dilaksanakan dalam memastikan konsep 1 Malaysia menjadi kenyaatan. Walau bagaimanapun, tugas merealisasikan konsep 1 Malaysia bukan sahaja terletak di bahu golongan pelajar bahkan menjadi tanggungjawab semua pihak. Jikalau semua pihak memainkan peranan masing-masing dan berkolaboratif antara satu sama lain sudah tentu konsep 1 Malaysia dapat direalisasikan dengan mudah dan efektif kerana bak kata pepatah, “ Muafakat membawa berkat”. Gagasan 1 Malaysia sememangnya amat penting untuk menjadi realiti bagi membuktikan kepada seluruh dunia betapa kukuhnya perpaduan kaum yang terjalin di Malaysia. Oleh itu, dukunglah gagasan 1 Malaysia, “ 1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”.


Daripada;

NURIMANI ABDULLAH 5ST1 2010

Wednesday, February 16, 2011

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI MASALAH PENCEMARAN ALAM SEKITAR


Pembangunan tanpa batasan merupakan perubahan kian pesat yang berlaku di negara kita pada alaf globalisasi ini. Namun, kemajuan dalam sektor perindustrian telah dikecapi hari ini sedikit tercalar impak daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab. Masyarakat yang bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing tidak mengendahkan kebersihan alam sekitar.Adakah kita ingin membiarkan alam sekitar terjejas semata-mata supaya dapat mengejar kemajuan? Apakah peranan kita sebagai masyarakat untuk menangani masalah ini? Hal ini demikian kerana alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita.Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya mensyukuri nikmat pemberian Tuhan. Oleh itu, langkah-langkah yang proaktif perlu diambil untuk memelihara anugerah ciptaan-Nya.

Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah pencemaran alam sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan kimia. Hal ini demikian kerana bahan kimia akan mendatangkan pencemaran kepada alam sekitar selain akan mendatangkan impak dalam jangka masa yang panjang kepada alam sekitar. Apa yang dimaksudkan ialah penggunaan racun serangga dan pendingin hawa merupakan salah satu kesan yang paling ketara dan serius. Akibat daripada penggunaan racun serangga dan pendingin hawa,berlakunya penipisan lapisan ozon dan air bawah tanah oleh kluoroflurokarbon (CFC) yang amat berbahaya kepada masyarakat di jagat raya. Kesannya, masyarakat mudah dihidapi penyakit-penyakit yang berbahaya seperti katarak mata, barah kulit dan sebagainya.Hal ini turut memberi impak kepada ekonomi negara kerana terpaksa mengeluarkan dana yang amat besar bagi menampung kos perbelanjaan hospital. Oleh itu, penggunaan bahan kimia ini perlu dikawal oleh kerajaan dan pihak swasta supaya kita dapat menjaga alam sekitar yang dianugerahi oleh Tuhan. Tegasnya,langkah menangani masalah pencemaran alam sekitar adalah dengan mengurangkan penggunaan bahan kimia.

Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang berkaitan aspek penjagaan kebersihan persekitaran. Hal ini amat signifikan sebagai langkah menjaga alam sekitar kita. Jika kita lihat pada hari ini, berapakah kilang yang telah dibina oleh kerajaan yang mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan?Hanya segelintir sahaja kilang yang mematuhi piawaian kebersihan. Dalam kebanyakan kes, pelepasan asap kilang dan pembuangan sisa toksik ke dalam sungai mahupun ke dalam laut secara terbuka terus berlaku tanpa kawalan. Sikap pengilang ini bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana menyebabkan berlakunya pencemaran air.Hal ini turut menyebabkan kepupusan hidupan akuatik kerana sisa toksik daripada kilang-kilang mengurangkan peratusan oksigen di dalam air. Implikasi daripada tindakan ini, undang-undang harus diperketat lagi oleh pihak berkuasa supaya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.Jika hal ini tidak dibendung,masyarakat akan mengalami masalah kekurangan air bersih dan sumber protein.Bukan itu sahaja,majoriti masyarakat akan mendapat penyakit yang dikenali sebagai kwashiorkor akibat kekurangan protein.

Bukan itu sahaja, program kitar semula yang diuar-uarkan oleh kerajaan perlu diambil perhatian kerana mampu mempertingkat kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya membuka mata akan sahutan kerajaan. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula yang telah disediakan. Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproses menjadi baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh juga dijadikan tisu.Keadaan ini dikatakan “sambil menyelam minum air”. Melalui cara ini,sumber-sumber alam seperti pokok yang digunakan bagi mendapatkan bahan mentah untuk memenuhi keperluan asas manusia dapat dikurangkan. Selain itu,negara juga dapat menjimatkan kos bagi mendapatkan keperluan-keperluan manusia sekaligus dapat memelihara kebersihan alam sekitar.Tegasnya, program kitar semula ialah salah satu cara untuk mengatasi pencemaran alam sekitar.

Di samping itu, kebersihan alam sekitar boleh dijaga melalui kempen kesedaran sivik yang berterusan supaya rakyat dan dapat menjaga alam sekitar sejak kecil kerana “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat diseru untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Dengan ini, sedikit sebanyak langkah ini dapat menyedarkan manusia yang lalai tentang kebersihan alam sekitar. Jadi, kempen kesedaran ini akan dapat mencapai matlamatnya sekiranya semua rakyat sedar akan kepentingan alam sekitar seterusnya dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam sekitar senantiasa bersih dan dijaga. Sekiranya masyarakat tidak mengendahkan sahutan kerajaan dan bersikap mementingkan diri sendiri, pastinya negara kita akan tercemar. Tegasnya, kempen kesedaran sivik juga penting dalam usaha untuk mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.

Konklusinya, banyak langkah yang boleh dipraktikkan bagi mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.Oleh itu, sikap bagai aur dengan tebing antara rakyat Malaysia dengan kerajaan amat diperlukan dan tentunya akan lebih bermakna agar hasilnya kelak akan memuaskan hati semua orang. Hal ini amat dititikberatkan kerana kebersihan juga merupakan separuh daripada iman. Kebersihan alam sekitar juga amat penting bagi menarik pelancong-pelancong dari seantero dunia dan seterusnya mendorong negara kita ke arah mencapai Wawasan 2020. Bahkan, kita patut menyahut seruan Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengembleng tenaga menjaga kebersihan dan keamanan negara Malaysia sinonim dengan slogan negara “Negara Bersih, Rakyat Sihat”.

Daripada perbincangan kami;

pelajar 4 ST1 2011

1. ALYA

2.AIFFATIN

3. FARAHIM

4. FATIHAH

5.SAFIRAH

Tuesday, February 15, 2011

Langkah-langkah Pemeliharaan Dan Pemuliharaan Warisan Sejarah

Warisan sejarah amat penting untuk generasi akan datang. Walaupun sejarah agak membosankan bagi sesetengah orang, adalah amat penting untuk kita mengekalkan warisan sejarah tersebut. Usaha pengekalan warisan sejarah boleh dilakukan dengan memelihara dan memulihara bahan-bahan atau perkara-perkara yang berkaitan dengan sejarah. Pemeliharaan dan pemuliharaan warisan sejarah adalah amat penting kerana melalui kaedah ini, warisan sejarah akan dapat dikekalkan dan dijadikan bahan pengajaran untuk generasi akan datang sekiranya mereka berusaha untuk memahami dan mendalami sejarah. Sesungguhnya, kita tahu pemeliharaan dan pemuliharaan warisan sejarah adalah amat penting tetapi, apakah langkah-langkah yang sesuai untuk memelihara dan memulihara warisan sejarah tersebut?


Langkah perdana bagi memelihara dan memulihara warisan sejarah adalah dengan menjadikan mata pelajaran sejarah sebagai mata pelajaran yang wajib bagi setiap pelajar. Hal ini demikian kerana pelajar akan dapat belajar serta lebih memahami apa yang telah berlaku pada negara kita, Malaysia. Selain itu, kaedah ini juga mampu menyedarkan masyarakat Malaysia terutamanya dari kalangan pelajar tentang kepentingan sejarah untuk terus diingati oleh semua lapisan masyarakat. Beberapa pengajaran boleh didapati melalui mata pelajaran sejarah. Antara pengajaran-pengajaran tersebut adalah seperti berhati-hati dengan kuasa asing sebagaimana yang berlaku pada tanah air kita beberapa tahun lalu yang telah berjaya dikuasai oleh kuasa asing kerana pihak negara kita yang kurang berwaspada dengan kuasa asing pada ketika itu. Selain itu, sejarah juga mengajar masyarakat Malaysia untuk tidak bersikap individualistik sebaliknya lebih bersikap bagai aur dengan tebing. Hal yang demikian membuktikan betapa pentingnya sejarah untuk dipelajari dan dikekalkan untuk generasi akan datang.


Selain itu, sejarah juga boleh dipulihara dan dipelihara melalui kaedah pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan yang bersejarah seperti Fort Cornwalis di Pulau Pinang, A Famosa dan Dutch Square di Melaka. Bangunan tersebut merupakan bangunan peninggalan bagi penjajahan Inggeris, Portugis dan Belanda di Malaysia yang berlangsung selama lebih dari 300 tahun. Bangunan-bangunan bersejarah seperti yang tersebut dapat memberikan bukti visual tentang sejarah silam negara. Bangunan-bangunan bersejarah tersebut juga boleh membezakan negara kita dengan negara lain kerana bangunan-bangunan tersebut boleh membekalkan ciri-ciri fizikal yang berbeza daripada negara-negara lain. Pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan-bangunan bersejarah ini juga mampu meningkatkan bilangan pelancong yang datang ke negara kita. Di sini, boleh kita simpulkan bahawa sejarah bukan sahaja penting untuk generasi akan datang malah sejarah juga penting untuk membangunkan dan memajukan negara dari pelbagai bidang seperti bidang pelancongan.


Seterusnya, menggalakkan penyelidikan tentang cara terbaik untuk menjaga dan memulihara khazanah bersejarah negara dengan mengadakan peruntukan khas. Contohnya negeri Kelantan telah menerima anugerah “The Best Tourism City” daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada tahun 1990-an. Anugerah seperti ini mampu menggalakkan masyarakat yang agak bersifat ‘materialistik’ untuk terus memelihara dan memulihara harta bersejarah negara. Begitu juga di Pulau Pinang. Terdapat beberapa khazanah yang bersejarah seperti Bangunan Cheong Fatt Tze yang telah dianugerahi Pingat Unesco Heritage 2000 Award kerana usaha pemeliharaannya. Sebagaimana yang dapat dilihat masyarakat pada hari ini agak mementingkan kebendaan walaupun sedikit. Dengan mengadakan peruntukkan khas, pastinya banyak khazanah dan harta bersejarah negara dapat dipulihara dan dipelihara. Kaedah ini tidak memungkin kerugian negara kerana melalui kaedah ini khazanah bersejarah yang penting dapat dijaga dan dipulihara.


Sejarah juga boleh dikekalkan dengan mengadakan hari ‘Sejarah Sedunia’ bagi setiap beberpapa tahun. Hari Sejarah Sedunia perlulah diobjektifkan sebagai hari mengingati sejarah. Sejarah juga tidak perlulah dijadikan membosankan. Antara kaedah untuk menjadikan sejarah lebih menarik adalah dengan mengadakan lakonan semula seperti mengadakan filem atau lain-lain lagi. Filem tersebut perlulah dijadikan menarik dan tidak terlalu mengikut fakta sejarah. Fakta sejarah memanglah agak penting, tetapi filem yang terlalu mengikut fakta sejarah kadang-kadang boleh menjadikan filem tersebut agak membosankan untuk ditonton. Oleh hal yang demikian, penerbit filem perlulah lebih peka dengan minat semua lapisan masyarakat. Terdapat beberapa lapisan masyarakat yang lebih berminat dengan cerita-cerita aksi ganas, mendebarkan, suspen dan lain-lain lagi. Melalui kaedah ini bukan sahaja sejarah yang akan diingati semula malah perfileman negara juga mampu dibaikpulih. Kaedah ini ibarat menyelam sambil minum kerana dua kerja dapat dilakukan dalam satu perkara.


Intihanya, terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk memelihara dan memulihara warisan sejarah. Beberapa pihak juga perlulah berganding bahu dan mengembeling tenaga dalam usaha mengekalkan peninggalan nenek moyang untuk ghenerasi akan datang. Sejarah negara amat penting untuk generasi akan datang memandangkan terdapat beberapa faedah bagi mereka jika mereka memahami dan mengetahui sejarah negara. Antara faedah tersebut adalah seperti generasi akan datang akan mengenali asal usul negara, memahami pengajaran tentang sejarah negara dan lebih mengetahui kepentingan-kepentingan sejarah. Oleh itu, bersama-samalah kita berusaha untuk mengekalkan warisan sejarah negara. Usaha ini bukan sahaja mendatangkan faedah kepada kita malah kepada generasi akan datang. Tambahan pula usaha tangga kejayaan, sekiranya kita sama-sama berusaha pastinya kejayaan akan dicapai dan matlamat negara untuk mengekalkan sejarah negara kepada generasi akan datang akan turut dicapai. Sekian, terima kasih.

TAJUK: WARISAN BANGSA
AHLI (4ST1 -2011-):-
• SITI NURUL ASYIKIN (C-KIN)
• WAN NUR AMIERAH (CHE TEH)
• ANIS HAFIZA (PIJA)
• WAN NOR AZNI (AZNI)
• AFIQAH NURUSSYIFA (SYIFA’)

Monday, January 31, 2011

Keburukan penglibatan pelajar dalam industri hiburan tanah air

Belakangan ini, industri hiburan tanah air semakin berkembang maju. Dalam hal ini golongan pelajar tidak ketinggalan melibatkan diri dalam dunia hiburan biarpun sepatutnya mereka perlu menggalas wadah memajukan diri dalam bidang pendidikan. Lantaran budaya berhibur melebihi keutamaan menuntut ilmu, situasi ini sudah pasti memberi impak yang negatif kepada generasi akan datang. Oleh itu, persoalannya apakah kesan negatif pembabitan pelajar dalam industri ini?


Kesan negatif yang bakal timbul ialah kesukaran pelajar untuk membahagikan waktu antara melibatkan diri dalam dunia hiburan dengan tugas utama mereka iaitu menuntut ilmu. Dalam usia yang masih terlalu muda, dunia pelajar seharus ditumpukan sepenuhnnya untuk memperoleh ilmu sebagai menggalas aspirasi menjadi insan yang berilmu dan berpengetahuan. Namun jika mereka terlibat dengan dunia hiburan, masa yang ada terpaksa dibahagikan pula dengan tanggungjawab mereka untuk memajukan diri dalam bidang hiburan. Hal ini sudah tentu akan menjejaskan keupayaan mereka meluangkan waktu pada pelajaran dan kesannya bakal memberi impak yang tidak baik kepada pelajar itu sendiri. Sekiranya seseorang pelajar terlibat secara langsung dalam bidang nyanyian atau lakonan, mereka memerlukan masa yang panjang bukan sahaja untuk mengikuti penggambaran atau pertunjukan yang diadakan malah masa untuk berlatih juga perlu diambil kira. Tegasnya, kesukaran membahagikan waktu di antara melibatkan diri dalam dunia hiburan dengan tugas utama merupakan kesan negatif kepada pelajar.


Pada masa yang sama, penglibatan pelajar dalam program realiti hiburan seperti yang kerap kita lihat di kaca televisyen akan menjejaskan peluang pelajar bergiat dalam aktiviti yang dijalankan di sekolah. Penglibatan mereka juga menyebabkan pelajar terpaksa mengambil cuti untuk melaksanakan kehendak penganjur hiburan mengadakan pertunjukan di mana-mana juga. Akibat terikat dengan kontrak bersama dengan syarikat hiburan, para pelajar terpaksa melupakan tugas utama mereka dalam usia muda iaitu melaksanakan aspek pembelajaran dan mengikuti aktiviti kokurikulum yang telah ditetapkan. Hal seperti ini akan menyebabkan para pelajar yang terbabit ketinggalan dalam pelajaran dan menjejaskan prestasi mereka dalam peperiksaan. Bayangkanlah, apa yang bakal berlaku kepada generasi kita pada masa depan jika rakyatnya tidak berilmu lantaran memilih bidang hiburan dan mengetepikan ilmu pengetahuan. Janganlah pula sampai ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran’. Jelaslah bahawa penglibatan pelajar dalam dunia hiburan akan menjejaskan peluang pelajar bergiat dalam aktiviti yang dijalankan di sekolah.


Realiti hidup sebagai seniman sebenarnya adalah terlalu kompleks dan penuh dengan tipu muslihat. Persoalannya, mampukah golongan remaja seperti pelajar mengharungi kehidupan dan menyahut cabaran dalam dunia artis yang penuh cabaran? Bakat yang dimiliki sahaja mungkin tidak mencukupi jika ilmu di dada tidak seberapa. Menyertai bidang hiburan memerlukan seseorang yang mampu mendepani segala rintangan, apatah lagi dunia hiburan masa kini berdepan dengan pelbagai saingan yang terlalu rumit. Dalam usia setahun jagung, kemungkinan untuk menempa nama dalam dunia hiburan adalah terlalu kecil, lantas mereka berdepan pula dengan kemungkinan menghadapi kegagalan. Mampukah golongan semuda ini berdepan dengan kegagalan? Kita amat bimbang, kegagalan akan menjerumuskan golongan pelajar dalam gejala sosial yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, sek bebas dan sebagainya. Sudah terang lagi bersuluh, dengan menceburi bidang hiburan, remaja khususnya pelajar perlulah bijak menilai dan memilih haluan sebelum membuat keputusan.


Selain itu, dunia hiburan dan pendidikan dilihat sebagai dua dunia yang begitu berbeza. Lihat sahaja pertuturan seorang artis, pergaulan bebas sesama peminat, pakaian malah keseluruhan gaya hidup mereka. Hal ini amat berbeza sama sekali dengan objektif pendidikan yang berperanan melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, emosi dan jasmani. Ambil sahaja contoh rambut seorang artis, bergaya, panjang dan berwarna. Hal ini amat bertentangan dengan kehendak didiplin yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Persoalannya nanti, mahukah golongan golongan pelajar yang telah masuk dalam golongan artis berpakaian kemas, berambut pendek dan menggayakan perlakuan sopan di khalayak ramai? Mampukah mereka merendahkan rasa ego mereka apabila berada di sekolah bersama rakan-rakan mereka yang lain? Kesannya lebih menjurus pada keburukan dan boleh mewujudkan konflik dalam diri pelajar terbabit. Hal inilah yang perlu difikirkan dengan serius sebelum mengambil pendirian untuk menyertai bidang hiburan. Sesungguhnya, dunia hiburan akan menukar gaya kehidupan seseorang pelajar ke arah yang lebih negatif.


Ada pula pandangan yang mengatakan bahawa mereka yang menyertai bidang hiburan ialah individu yang mementingkan ‘glamour’ dan bersifat meterialistik. Kenyataan ini mungkin ada kebenarannya jika dilihat dari situasi industry hiburan kita pada hari ini. Kejayaan seseorang pelajar dalam dunia hiburan mungkin bakal melahirkan pelajar yang bersifat bongkak, sombong dan memandang rakan dan guru sebagai manusia yang tidak patut dihargai. Lihat sahaja perlakuan seorang artis remaja ketika bercakap dengan seorang jururawat di sebuah hospital. Apa pula pandangan anda jika seorang artis remaja mengherdik seorang pengawal di sebuah lapangan terbang di Sepang? Sikap bongkak ini lahir apabila mereka merasakan diri mereka terlalu ‘glamour’ sehingga memandang rendah orang lain yang bukan golongan artis. Natijahnya, sikap negatif sebegini lahir disebabkan kurangnya nilai-nilai moral yang sepatutnya mereka pelajari di sekolah. Malangnya, oleh sebab terlalu banyak waktu digunakan untuk dunia hiburan, nilai-nilai moral sebegini terus dilupakan. Tegasnya melahirkan pelajar yang bersifat bongkak, sombong dan memandang rakan serta guru sebagai manusia yang tidak patut dihargai merupakan salah satu kesan buruk timbul akibat penglibatan remaja dalam dunia hiburan.


Intihanya, dunia hiburan masa kini bukanlah dunia seorang pelajar. Sebagai pelajar, mereka perlu mempunyai acuan sendiri iaitu menyahut cabaran mendepani bidang ilmu yang terlalu luas dan tidak bertepi. Menuntut ilmu memerlukan komitmen yang menyeluruh dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Andai terbuka hati untuk menyertai industri hiburan, berilah ruang untuk memenuhi ilmu di dada terlebih dahulu kerana hanya ilmu yang mampu membina impian masa depan yang lebih gemilang.

Monday, November 8, 2010

Rencana : PERANAN WANITA DALAM MELAHIRKAN GENERASI YANG BERKUALITI

Oleh: Muhammad Amirul Aiman Bin Muhammad Asri

Kita sering mendengar slogan yang berbunyi “Pemuda harapan bangsa, pemudi
tiang negara”. Kita juga sering mendengar kata-kata bahawa seseorang lelaki yang berjaya, sesungguhnya di belakangnya berdiri seorang wanita yang memberikan sokongan dan inspirasi malah pepatah juga ada menyatakan “Tangan yang menghayun buaian itu, boleh menggoncang dunia”. Demikianlah, kaum wanita itu dilihat sebagai golongan yang bukan sahaja menggambarkan kelembutan tetapi juga memperlihatkan wibawa dan karisma yang tersendiri. Jelasnya, wanita berperanan dalam memupuk dan melahirkan generasi yang berkualiti dan berketerampilan. Persoalannya apakah peranan wanita dalam melahirkan generasi berkualiti ini?


Peranan perdana wanita dalam melahirkan generasi yang berkualiti ialah wanita sebagai ibu yang memberi kasih sayang yang sepenuh kepada anak-anak.Hal ini demikian kerana,anak-anak akan mendengar kata ibu bapa mereka yang dianggap sebagai idola hidup mereka. Dalam bidang akademik misalnya, rata-rata pelajar yang ditemuramah menyatakan peranan dan tunjuk ajar ibu bapa serta kasih sayang yang dicurahkan dapat membantu mereka dalam mencapai kejayaan yang cemerlang. Sebagai contoh,Nur Amalina Che Bakri yang mendapat 17A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia(SPM),tahun 2004 telah membuktikan bahawa sentuhan kasih sayang daripada ibunya telah menyebabkan dia berjaya dalam SPM tersebut. Seandainya ibu bapa tidak memberi kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak,sudah pasti anak-anak tidak akan berjaya dalam bidang yang akan diceburinya. Sudah terang lagi bersuluh, sentuhan kasih sayang yang diberikan oleh ibu tidak ada tandingannya dan seterusnya dapat melahirkan generasi yang berkualiti sehinggakan dalam agama Islam ada menyatakan bahawa syurga itu di bawah telapak kaki ibu.


Selain itu, wanita juga berperanan sebagai isteri yang sentiasa memberi dorongan kepada seorang suami. Hal ini demikian kerana, di sebalik kejayaan seorang suami, wanitalah yang sering menjadi perisai penting umpama senjata yang tajam dan berbisa bagi seorang suami mengharungi pelbagai pancaroba hidup.Sebagai contoh,mantan Perdana Menteri Malaysia,Tun Dr. Mahathir bersama isterinya, Datin Seri Hasmah binti Mohamad Ali telah bersusah payah bersama-sama sehinggalah suaminya berjaya menjadi seorang menteri yang tersohor di dunia lantaran daripada dorongan dan sokongan daripada isterinya selaku pendamping.Andai kata,wanita selaku pendamping utama kepada suami dan sering memberi dorongan kepada suaminya ,sudah tentu suami akan sentiasa menempa kejayaan yang diimpikan akan terjamin .Sebaliknya,jika isteri tidak memberikan sokongan dan dorongan kepada suami sebagai ketua keluarga, maka secara tidak langsung sudah tentu apa sahaja yang diimpikan oleh suaminya akan kecundang. Oleh itu,peranan wanita sebagai pendorong utama kepada suami dalam melahirkan generasi yang berkualiti amat penting untuk menjanakan kejayaan suami.


Dalam pada itu,wanita juga dilihat sebagai wanita yang berkerjaya dan berperanan melahirkan pemimpin-pemimpin yang berintelektual. Hal ini demikian kerana, golongan wanita pada masa sekarang rata-ratanya berkerjaya dan berdaya saing untuk maju dalam sesuatu bidang sehingga telah berjaya melahirkan banyak generasi yang hebat di seantero dunia. Dalam konteks ini,seseorang wanita yang berkecimpung dalam sesuatu bidang yang profesional akan memberi sepenuh komitmen dalam tugas mereka untuk melahirkan generasi yang cemerlang.Buktinya,kejayaan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 iaitu Nik Nur Madihah Binti Nik Kamal yang berjaya memperoleh 21A berpendapat bahawa gurunyalah yang telah banyak membantunya dalam menggapai bintang kejayaan tersebut .Seandainya golongan wanita yang berkerjaya memainkan peranannya dalam melahirkan pemimpin-pemimpin yang berintelektual, sudah pasti generasi yang berkualiti dapat dilahirkan.Sudah terang lagi bersuluh bahawa peranan wanita dalam melahirkan pemimpin-pemimpin yang berintelektual merupakan salah satu usaha untuk melahirkan generasi yang berkualiti sekali gus melahirkan pemimpin-pemimpin yang lebih berdaya saing.



Di samping itu, generasi yang berkualiti juga dapat direalisasikan dengan peranan wanita yang bertindak sebagai suri teladan kepada anak-anaknya.Hal ini demikian kerana,wanita merupakan insan yang paling dikagumi dan disayangi oleh anak-anak. Majoriti daripada permata negara pada hari ini akan mengikuti segala nasihat dan bimbingan daripada ibu kerana ibu merupakan insan yang paling banyak menyumbangkan tenaga sama ada dari aspek mental dan fizikal dalam melayan karenah anak-anak mereka. Selaku wanita yang bergelar ibu,seharusnya mereka sentiasa menunjukkan nilai-nilai murni kepada anak-anak tidak kira sama ada di hadapan atau di belakang untuk dijadikan idola, kerana pepatah ada mengatakan bagaimana acuan begitulah kuihnya .Sebagai contoh , ibu perlulah sentiasa menjaga tingkah laku dan pertuturan untuk m enyemai benih nilai kemanusiaan dalam diri anak-anak mereka untuk melahirkan generasi yang berkualiti.Seandainya,ibu tidak menjadi suri teladan kepada anak-anak, maka sudah tentu anak-anak tidak akan mampu menepis segala cabaran dan dugaan dalam kehidupan mereka kerana mereka akan terikut-ikut dengan perilaku ibu mereka yang telah ditakrifkan sebagai idola dalam hidup mereka. Oleh itu,jelaslah bahawa wanita perlulah menjadi suri teladan kepada anak-anak untuk melahirkan generasi yang berkualiti selari dengan matlamat negara untuk melahirkan generasi yang cemerlang ,gemilang dan terbilang.


Tambahan pula, generasi berkualiti juga dijanakan oleh wanita yang berperanan sebagai ketua pemimpin bagi sesebuah organisasi. Hal ini demikian kerana, wanita besi ini mampu mentadbir dengan adil. Generasi yang bekerja di bawah pemantauannya akan menjadi insan yang hebat dan proaktif melalui amalan “ Kepimpinan melalui teladan”. Sebagai contoh Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz iaitu Gabenor Bank Negara merupakan seorang pemimpin yang gah di mata dunia lantaran terpilih sebagai Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia oleh Global Finance. Banyak pegawai yang dedikasi dan komited telah berjaya dilahirkan melalui kebijaksanaan pimpinan beliau sehinggakan negara kita pernah menerima Anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik di peringkat dunia.Andai kata golongan wanita berperanan menjadi ketua pemimpin yang hebat di sesebuah organisasi, sudah pasti generasi pelapisnya akan menjadi insan yang terbaik dalam bidang yang diceburinya. Semangat dan kegigihan serta ketabahannya akan member suntikan semangat kepada generasi lain untuk melakukan apa sahaja yang terbaik walau pun mencabar fizikal dan mental. Sesungguhnya wanita yang berperanan sebagai pemimpin akan berjaya melahirkan generasi pemimpin muda yang berkaliber dan berkualiti.


Deduksinya, golongan wanita memainkan peranan yang tidak kurang vitalnya dalam melahirkan generasi yang berkualiti . Ternyata kudrat golongan wanita selama ini membuahkan hasil apabila Berjaya melahirkan anak watan yang berjaya dalam semua bidang yang diceburi dan banyak dalam generasi sekarang telah menempa nama serta tersohor di mata dunia. Oleh itu, wanita haruslah terus memainkan peranan mereka agar generasi yang cemerlang, gemilang, dan terbilang boleh dicapai dan seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara yang dipandang tinggi di seantero dunia.


PERBINCANGAN 5PA2 2010

Sunday, July 25, 2010

KARANGAN: Peranan anda untuk membanteras kegiatan lumba motosikal haram daripada terus leluasa?

Kegiatan lumba motosikal haram sering dilakukan oleh golongan remaja. Kegiatan lumba motosikal haram telah mendatangkan impak negatif kepada diri, masyarakat, dan negara. Sebagai remaja yang prihatin, apakah peranan anda untuk membanteras kegiatan ini daripada terus leluasa?



Kegiatan lumba motosikal haram semakin menjadi-jadi pada masa kini sehingga boleh dikatakan sudah menjadi tokak dan nanah kepada negara. Baru-baru ini rancangan 999 di TV3 telah menyiarkan kegiatan lumba motosikal haram dan melalui rancangan tersebut didapati majoriti pelumba haram ialah golongan remaja. Golongan remaja merupakan aset penting negara yang akan memimpin kita pada zaman atom akan datang. Seandainya, kebanyakan remaja kita terlibat dengan kegiatan lumba haram nescaya negara kita tidak akan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Pelbagai minhaj yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan saya sebagai remaja yang prihatin turut berganding bahu dengan pihak kerajaan dalam membanteras masalah ini. Oleh itu, terdapat variasi peranan yang boleh saya mainkan dalam membanteras kegiatan lumba motosikal haram di negara ini.



Peranan perdana yang akan saya lakukan bagi membanteras kegiatan lumba motosikal haram di negara kita ialah saya akan mengajak dan membimbing rakan-rakan saya daripda terus terjebak dalam kegiatan lumba haram. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja mudah terikut-ikut dengan perbuatan rakan sebaya. Demi memastikan rakan-rakan saya tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram, saya akan mendedahkan keburukan kegiatan lumba haram kepada mereka. Jika rakan saya meminati perlumbaan bermotor, saya akan menasihati mereka supaya mereka meyertai perlumbaan di litar yang dibenarkan oleh pihak kerajaan. Dasawarsa ini, banyak litar perlumbaan motosikal telah dibina seperti cendawan tumbuh selepas hujan di negara kita. Oleh itu, saya akan menasihati mereka supaya mereka melakukan anjakan paradigma daripada terjebak dengan lumba haram kerana perlumbaan haram boleh mengorbankan nyawa. Andai kata, saya tidak membimbing dan menasihati mereka, sudah pasti mereka akan hanyut dalam kegiatan lumba haram. Tegasnya, saya akan mengajak dan membimbing rakan-rakan saya supaya meninggalkan kegiatan perlumbaan motosikal haram ini dan seterusnya kegiatan lumba motosikal haram ini dapat dibanteras.


Seterusnya, pada hemat saya, para remaja juga boleh membanteras kegiatan ini daripada leluasa dengan mencadangkan pelbagai aktiviti yang bermanfaat kepada pihak sekolah. Pihak sekolah melalui kaunselor boleh melancarkan pelbagai program atau kempen yang bertujuan untuk membendung serta membanteras gejala lumba motosikal haram yang sering dilakukan oleh golongan remaja. Program yang dianjurkan oleh pihak kaunselor ini diharapkan mampu memberikan kesedaran dan keinsafan kepada pelumba- pelumba cilik di sekolah saya. Antara program yang boleh dilaksanakan adalah seperti mengadakan ceramah- ceramah kesedaran kepada para pelajar khususnya pelajar bermasalah yang sering terlibat dalam kegiatan ini. Sekiranya pihak sekolah dan kaunselor sama- sama berkolaboratif dalam menjayakan kempen membanteras kegiatan lumba motosikal haram di sekolah saya akan menurun. Jelaslah bahawa pihak sekolah melalui pihak kaunselor mestilah berganding bahu untuk melancarkan kempen dan program bagi membendung kegiatan ini daripada menjadi tokak dalam nadi kehidupan masyarakat dan negara.


Di samping itu, saya juga akan mengkhabarkan berita mengenai kegiatan lumba motosikal haram yang melibatkan kenalan saya kepada ibu bapa mereka. Hal ini demikian kerana ibu bapa merupakan orang yang bertanggungjawab dalam mendidik dan memantau setiap aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Ibu bapa haruslah sentiasa mengambil berat perihal anak- anak mereka meskipun ketika anak- anak mereka melakukan aktiviti luar rumah. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah sentiasa memantau gerak-geri kerja anak- anak mereka terutamanya pada musim cuti persekolahan. Jika ibu bapa tidak memantau gerak- geri kerja anak mereka, sudah pasti anak- anak mereka mengambil peluang keemasan ini untuk melakukan aktiviti yang tidak bermoral seperti lumba motosikal haram. Oleh itu, sebagai remaja yang prihatin, saya akan melaporkan kegiatan lumba motosikal haram yang dilakukan oleh rakan- rakan saya kepada ibu bapa mereka sebelum masalah ini semakin membarah kerana pepatah Melayu ada mengatakan sediakan payung sebelum hujan.


Seterusnya, saya juga akan melaporkan kegiatan lumba haram yang semakin meruncing pada hari ini kepada pihak berkuasa supaya masalah ini tidak terus bermaharajalela dan membelenggu masyarakat kita. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak berkuasa seperti pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) merupakan agensi utama dalam membanteras masalah ini. Pihak berkuasa haruslah mempunyai modus operandi yang signifikan dalam membasmi kegiatan ini iaitu dengan mengadakan sekatan jalan raya dan rondaan di kawasan yang disyaki menjadi tempat lumba haram. Sekiranya saya tidak memainkan peranan saya iaitu dengan melaporkan kegiatan lumba haram kepada pihak berkuasa dan sekadar melakukannya seperti melepaskan batuk di tangga sahaja, sudah tentu kegiatan ini akan berlarutan dan menghantui kehidupan masyarakat kita. Sudah terang lagi bersuluh bahawa tanggungjawab saya sebagai seorang remaja yang prihatin amat membantu pihak kerajaan dalam mensifarkan kegiatan lumba haram di negara kita.


Tambahan pula, sebagai seorang remaja yang prihatin, saya juga akan mencadangkan tempat khusus untuk remaja berlumba kepada pihak kerajaan. Melalui cara ini kegiatan lumba haram dapat dikurangkan sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Pihak kerajaan perlu menyediakan lebih banyak litar lumba di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan remaja untuk menarik minat mereka agar tidak terjebak dalam kegiatan lumba haram. Litar-litar yang disediakan perlu dititikberatkan dari aspek keselematan dan mempunyai sistem pengurusan yang sistematik di samping mengenakan kos yang lebih rendah agar remaja lebih berminat untuk mengunjunginya. Sekiranya pihak kerajaan tidak melaksanakan cadangan ini maka kegiatan lumba haram akan terus berleluasa dan menjadi bertambah serius. Sudah terang lagi bersuluh, saya juga akan mencadangkan tempat-tempat khusus untuk remaja berlumba kepada pihak kerajaan bagi membanteras kegiatan lumba haram bagi terus leluasa.


Konklusinya, kegiatan lumba motosikal haram yang dilakukan oleh golongan remaja sememangnya mendatangkan impak negatif kepada diri, masyarakat dan negara malah turut menjadi virus epidemik yang akan menjatuhkan imej negara di mata dunia luar. Oleh sebab itu, begitu peri vitalnya remaja menyedari peranan mereka dalam membanteras kegiatan haram ini. Sebelum nasi menjadi bubur, kita sebagai remaja haruslah menggembleng tenaga untuk mengatasi kegiatan lumba motosikal haram ini daripada terus leluasa. Dengan mengetahui tanggungjawab kita sebagai seorang remaja, seyogia negara dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sekali gus meminimumkan statistik kematian di negara Malaysia.

PERBINCANGAN 5ST1 2010

Wednesday, July 21, 2010

Karangan: Langkah-langkah mengurangkan bebanan masyarakat akibat kenaikan harga barangan

Darsawarsa ini,isu kenaikan harga barang di pasaran khususnya makanan sering menjadi polemik utama dalam kalangan masyarakat.Sehubungan dengan itu,isu ini telah menjadi virus epidemik yang menyerang masyarakat Malaysia pada hari ini.Perkara ini berlaku ekoran daripada krisis ekonomi yang melanda setiap penjuru dunia baru-baru ini.Kenaikan harga barang telah membebankan masyarakat yang hidupnya seperti kais pagi makan pagi,kais petang makan petang.Jadi hal ini perlu diatasi dengan kadar segera supaya tidak lagi menjadi beban kepada masyarakat.Persoalannya,apakah prakarsa yang boleh dilaksanakan untuk mengurangkan bebanan masyarakat akibat daripada kenaikan harga barang ini?

Minhaj perdana yang perlu dilaksanakan untuk mengurangkan bebanan masyarakat akibat kenaikan harga barangan ialah individu mestilah membawa bekalan makanan ke destinasi masing-masing. Dengan membawa bekalan makanan ke destinasi seperti tempat kerja dan sekolah, seseorang itu dapat menjimatkan kos perbelanjaan harian. Dalam hal ini, ibu mestilah memainkan peranan utama bagi menye diakan bekalan makanan untuk anak-anak dan suami ke destinasi yang dituju. Selain itu, mereka juga akan dapat memanfaatkan wang perbelanjaan harian untuk kegunaan lain seperti membayar bil telefon, air, dan elektrik serta membeli barangan keperluan. Melalui cara ini mereka akan dapat mengekang bebanan akibat kenaikan harga barangan selain dapat mengawal pembaziran. Jadi, sesuailah apa yang dikatakan menurut kata pujangga berjimat cermat merupakan amalan yang mulia. Sekiranya kita membawa bekalan makanan ke mana-mana destinasi, kita akan dapat mengurangkan bebanan akibat kenaikan harga barangan. Tegasnya, membawa bekalan ke mana-mana destinasi merupakan langkah perdana untuk mengatasi masalah kenaikan harga barangan.

Langkah seterusnya untuk meringankan beban masyarakat akibat kenaikan harga barang ialah masyarakat perlu menggunakan barangan buatan tempatan. Barangan tempatan lebih murah dan berkualiti serta dapat mengurangkan kos sara hidup masyarakat yang kian meningkat hari demi hari. Harga bagi barangan buatan tempatan lebih murah jika dibandingkan dengan harga barangan import. Keadaan ini berlaku kerana barangan buatan tempatan tidak dikenakan pelbagai cukai untuk diperdagangkan di pasaran tempatan. Dunia pada dasawarsa ini mengalami masalah kegawatan ekonomi yang agak teruk. Negara Malaysia juga turut terkena tempias daripada kekangan tersebut. Impaknya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah dalam menangani masalah ekonomi negara. Pihak kerajaan telah meningkatkan duti import bagi barangan dari luar negara untuk dibawa masuk dan diperdagangkan di pasaran tempatan bagi menstabilkan keadaan ekonomi negara. Natijahnya, harga barangan import lebih mahal dan membebankan masyarakat. Dalam konteks ini, kata-kata pujangga iaitu ‘ukur baju di badan sendiri’, memberi siratan makna yang menggenapi semua aspek kehidupan manusia dalam menjalani urusan jual beli pada hari ini. Masyarakat kita sepatutnya dapat berfikir dengan waras dalam membeli sesuatu barangan untuk memenuhi keperluan dan kehendak mereka. Jika masyarakat menggunakan barangan buatan tempatan, maka beban masyarakat akibat kenaikan harga barang dapat dikurangkan. Oleh itu, menggunakan barangan buatan tempatan merupakan salah satu langkah pragmatik dan dogmatik dalam usaha untuk mengurangkan beban masyarakat akibat kenaikan harga barang.

Selain itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu sentiasa melakukan pemantauan dan menyemak harga barangan kawalan dalam usaha untuk mengurangkan bebanan masyarakat ekoran kenaikan harga barangan khususnya makanan. Melalui pemantaun yang kerap dilakukan, para peniaga akan menjadi lebih berdisiplin dan bertanggungjawab. Mereka akan sentiasa memastikan harga barangan jualan mereka berpatutan dan tidak melebihi harga yang telah ditetapkan. Dengan ini, masyarakat dapat menjimatkan kos perbelanjaan harian mereka sekaligus meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh mereka. Sekiranya pemantaun tidak dilakukan,para peniaga akan terus meningkatkan harga barangan jualan mereka kerana tidak perlu risau natijah yang akan diterima. Keadaan ini ternyata akan memberi masalah yang serius dalam kehidupan masyarakat terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah dan hidup dalam serba kekurangan seperti kais pagi makan pagi,kais petang makan petang. Cuba kita bayangkan, bagaimana nasib mereka jika pihak berwajib hanya bersikap lepas tangan dalam melakukan pemantaun ? Jika pemantauan dilakukan tetapi hanya sekadar melepaskan batuk di tangga sudah pasti bebanan yang terpaksa ditanggung oleh masyarakat bertambah rumit. Tegasnya, sebelum masalah ini semakin membarah dan menyukarkan kehidupan masyarakat,pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlulah melakukan pemantauan dan menyemak harga barangan kawalan dengan lebih kerap agar bebanan hidup masyarakat dapat dikurangkan.

Peranan media massa juga merupakan salah satu uslub yang boleh diambil untuk mengurangkan kenaikan harga barangan di pasaran. Kebanyakan pengusaha lebih mementingkan keuntungan tanpa berfikir panjang tentang taraf ekonomi rakyat yang tidak stabil. Bermula dari sinilah, pihak media massa menjadi pencambah minda rakyat dengan menyiarkan iklan-ikaln yang berkaitan dengan harga barangan semasa. Selain itu, pihak media massa juga harus member kesedaran kepada masyarakat supaya mengambil langkah bijak dalam menangani isu kenaikan harga barang yang boleh mengurangkan beban rakyat. Sebagai contoh, Kementeriaan P engguna Dan Hal Ehwal Dalam Negeri harus menyiarkan gambar-gambar animasi seperti mascot pengguna yang bertujuan untuk menyemai sikap berjimat-cermat dalam kalangan masyarakat di Negara kita sepatutnya diperbanyakkan. Sekiranya pihak media massa tidak memainkan peranan penting dalam menangani masalah kenaikan harga barang, nescaya rakyat akan terus dibelenggu dengan masalah ini. Oleh itu, pihak media massa hendaklah memainkan peranan social mereka dalam meringankan beban rakyat.

Menghidupkan kembali aliran sains pertanian di sekolah merupakan salah satu inisiatif bagi mengurangkan bebanan masyarakat akibat kenaikan harga barangan. Pihak sekolah haruslah memainkan peranan dalam usaha menghidupkan semula aliran sains pertanian di sekolah. Melalui cara ini, para pelajar dapat mempelajari usaha-usaha kondusif untuk dijadikan panduan dalam menjalankan aktiviti pertanian. Sebagai contoh, pihak sekolah perlu menerap kemahiran pertanian sama ada dalam aspek penggunaan baja benih, baja, pemasuan dan sebagainya. Andai kata aliran sains pertanian tidak dihidupkan semula, maka perkembangan ilmu pertanian akan berkurang dan seterusnya bebanan masyarakat terhadap kenaikan harga barang tidak dapat dibendung. Seandainya kita mahu mengurangkan bebanan masyarakat akibat kenaikan harga barang, pihak sekolah seharusnya mencari jalan merealisasikan aliran sains pertanian sejajar dengan amanat Kementerian Pelajaran Malaysia. Sesungguhnya, menghidupkan kembali aliran sains pertanian di sekolah adalah langkah yang bijak bagi mengurangkan bebanan masyarakat disebabkan kenaikan harga barangan.

Tuntasnya,semua pihak haruslah berganding bahu bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang yang banyak membebankan rakyat.Pihak kerajaan dan orang ramai haruslah mengambil langkah yang drastik bagi mengawal masalh ini terus berleluasa.Kita tidak seharusnya menunggu sehingga nasi menjadi bubur.Usaha-usaha untuk mengurangkan bebanan rakyatharuslah diambil dari awal lagi.Pihak-pihak berwajib seharusnya bekerjasama bagi mengelakkan rakyat terus menanggung derita.Mereka haruslah berusaha bersungguh-sungguhagar masalh ini dapat diselesaikan dengan cepat.Bak kata pepatah ‘yang bulat tidak dating bergolek,yang pipih tidak datang melayang’.Oleh itu,tindakan dan komitmen yang jitu dapat mengelakkan masalah ini terus menghantui dan membebani kita.

HASIL PERBINCANGAN PELAJAR 5ST1 DAN 5ST2 2009 SMK.TUMPAT, KELANTAN