pengunjung

Saturday, March 5, 2011

PENULISAN KARANGAN SPM



KERTAS 1, BAHAGIAN A DAN BAHAGIAN B

Pendahuluan/ Prawacana

Item

Karangan Bahagian A

Karangan Bahagian B

Peruntukan masa

45 minit

90 minit

Bilangan perkataan

200 hingga 250 pp

Lebih 350 pp

Bilangan muka surat

2 halaman

4 halaman

Bilangan Perenggan

5 perenggan

7 perenggan

Bilangan isi

3 isi

5 isi

Jumlah markah

30 markah

100 markah


Kriteria Penskoran Karangan Bahagian A

PERINGKAT

MARKAH

KRITERIA

Cemerlang

26 – 30

(28 – 30)

(26 – 27)

  • Karangan menepati tema bahan rangsangan.
  • Bahasa gramatis dari segi kata dan ayat. Penggunaan tanda baca betul dan tepat. Ejaan mengikut Sistem Ejaan Rumi Baru. Penggunaan kosa kata luas dan tepat serta sesuai.
  • Wacananya lengkap. Unsur bahasa yang digunakan bervariasi dan menggunakan ungkapan yang menarik dan tepat serta sesuai.
  • Idea relevan dengan tema bahan rangsangan dan dihuraikan dengan jelas dan matang.

Kepujian

20 – 25

(23 - 25)

(20 – 22)

  • Karangan menepati tema bahan rangsangan.
  • Bahasa gramatis dari segi kata dan ayat. Penggunaan tanda baca betul dan tepat. Ejaan mengikut Sistem Ejaan Rumi Baru. Penggunaan kosa kata luas.
  • Wacananya lengkap. Unsur bahasa yang digunakan bervariasi.
  • Idea relevan dengan tema bahan rangsangan dan dihuraikan dengan jelas.

Memuaskan

15 – 19

(17 - 19)

(15 – 16)

  • Karangan masih menepati tema bahan rangsangan.
  • Bahasa masih gramatis dari segi kata dan ayat. Penggunaan tanda baca masih betul dan tepat. Ejaan masih mengikut Sistem Ejaan Rumi Baru. Penggunaan kosa kata umum.
  • Wacananya masih lengkap. Unsur bahasa masih bervariasi.
  • Idea masih relevan dengan tema bahan rangsangan. Huraian idea masih jelas.

Kurang

Memuaskan

10 – 14

(12 - 14)

(10 – 11)

  • Karangan kurang menepati tema bahan rangsangan.
  • Bahasa kurang gramatis dari segi kata dan ayat. Kesalahan-kesalahan tatabahasa ketara. Ejaan masih mengikut Sistem Ejaan Rumi Baru tetapi terdapat kesalahan ejaan yang ketara. Penggunaan kosa kata terhad (Ayat yang pendek)
  • Wacananya kurang lengkap. Unsur bahasa kurang bervariasi.
  • Idea kurang relevan dengan tema bahan rangsangan dan huraiannya kurang jelas.

Pencapaian

Minimum

01 – 09

(06 - 09)

(01 – 05)

  • Calon tidak menunjukkan penguasaan kemahiran menulis.
  • Banyak kesalahan bahasa dari segi kata dan ayat.
  • Idea kurang menepati tema bahan rangsangan.

Kriteria Penskoran Karangan Bahagian B

PERINGKAT

MARKAH

KRITERIA

Cemerlang

80 – 100

(90 – 100)

(80 – 89)

  • Penggunaan pelbagai jenis kata yang sangat luas dan tepat.
  • Penggunaan pelbagai jenis ayat majmuk yang gramatis.
  • Ejaan dan tanda baca yang betul.
  • Laras bahasa sesuai dengan tugasan.
  • Penggunaan kosa kata sangat luas dan tepat.
  • Idea yang relevan mengikut tugasan, dihuraikan dengan jelas dan matang, disertakan dengan contoh yang sesuai. Ada penegasan isi.
  • Pengolahan sangat menarik dan berkesan serta pemerengganan sesuai.
  • Wacana lengkap dan terdapat kesinambungan idea yang jelas antara perenggan.
  • Penggunaan unsur bahasa bervariasi.
  • Gaya bahasa menarik dari segi keindahan bahasa dan penggunaan ungkapan seperti peribahasa, pantun, cogan kata atau frasa.

Kepujian

66 – 79

(73 - 79)

(66 – 72)

  • Penggunaan pelbagai jenis kata yang tepat.
  • Penggunaan pelbagai jenis ayat majmuk yang gramatis tetapi terdapat kesalahan yang minimum.
  • Ejaan dan tanda baca yang betul.
  • Laras bahasa sesuai dengan tugasan.
  • Penggunaan kosa kata luas dan tepat.
  • Idea yang relevan mengikut tugasan, dihuraikan dengan jelas, disertakan dengan contoh yang sesuai.
  • Pengolahan menarik dan berkesan serta pemerengganan sesuai.
  • Wacana lengkap dan terdapat kesinambungan idea yang jelas antara perenggan.
  • Penggunaan unsur bahasa bervariasi.
  • Gaya bahasa menarik dari segi keindahan bahasa dan penggunaan ungkapan seperti peribahasa, pantun, cogan kata

Baik

51 – 65

(58 - 65)

(51 – 57)

  • Penggunaan pelbagai jenis kata yang sesuai.
  • Penggunaan ayat majmuk yang gramatis tetapi terdapat kesalahan yang minimum.
  • Ejaan dan tanda baca masih betul.
  • Laras bahasa sesuai dengan tugasan.
  • Penggunaan kosa kata masih tepat.
  • Idea masih relevan mengikut tugasan, huraian isi masih jelas dan contoh masih sesuai..
  • Pengolahan masih menarik dan pemerengganan masih sesuai.
  • Wacana masih lengkap.
  • Penggunaan unsur bahasa masih bervariasi.
  • Gaya bahasa masih menarik dari segi keindahan bahasa dan penggunaan ungkapan masih berkesan.

Memuaskan

36 – 50

(43 - 50)

(36 – 42)

  • Penggunaan pelbagai jenis kata masih/kurang tepat.
  • Ayat masih/kurang gramatis.
  • Ejaan dan tanda baca betul tetapi terdapat kesalahan yang minimum.
  • Laras bahasa masih/kurang sesuai.
  • Penggunaan kosa kata umum.
  • Idea masih relevan mengikut tugasan, huraian isi kurang jelas dan contoh kurang sesuai..
  • Pengolahan kurang menarik.
  • Wacana masih/kurang lengkap.
  • Penggunaan unsur bahasa masih/kurang bervariasi.
  • Gaya bahasa masih/kurang menarik dari segi keindahan bahasa dan penggunaan ungkapan kurang berkesan.

Kurang

Memuaskan

21 – 35

(28 - 35)

(21 – 27)

  • Penggunaan kata kurang tepat.
  • Ayat tidak gramatis tetapi masih difahami.
  • Terdapat kesalahan ejaan dan tanda baca yang ketara.
  • Idea masih relevan / idea bercampur aduk dan huraian tidak jelas / tidak berkembang dan contoh tidak sesuai.
  • Pengolahan tidak menarik.
  • Wacana tidak lengkap dan binaan perenggan tidak seimbang.
  • Unsur bahasa tidak bervariasi.
  • Gaya bahasa dari segi keindahan bahasa dan penggunaan ungkapan lemah.

Pencapaian

Minimum

01 – 20

(11 - 20)

(01 – 10)

  • Keseluruhannya menunjukkan penggunaan kata dan ayat yang tidak gramatis.
  • Terdapat kesalahan ejaan dan tanda baca yang ketara.
  • Idea bercampur aduk dan huraian tidak jelas / tidak berkembang dan contoh tidak sesuai.
  • Pengolahan tidak menarik.
  • Wacana tidak lengkap dan binaan perenggan tidak seimbang dan tidak sesuai.
  • Gaya bahasa dari segi keindahan bahasa dan penggunaan ungkapan lemah dan tidak menarik.
  • Keseluruhan karangan sukar/tidak difahami.

* Ungkapan menarik : peribahasa, pantun, cogan kata, frasa menarik, petikan

ucapan, kata-kata hikmat, petikan hadis, maksud ayat

Al-Quran dan lain-lain.




CARA MENULIS KARANGAN

Langkah 1 : Kenal pasti tema dan tugasan


Langkah 2: Menulis Pendahuluan

  1. Ayat tema
  2. Isu semasa
  3. Ungkapan menarik
  4. Ayat tugasan

Langkah 3: Menulis Perenggan Isi

  • Gunakan pemudah minda
Aku makan buah cempedak anak Pak Isa - ada juga dimasukkan ungkapan menarik


aku - apa

makan - mengapa

buah - bagaimana

cempedak - contoh

anak - andaian

Pak Isa - penegasan isi

Langkah 4: Menulis Kesimpulan

Ayat 1dan 2 : Wacana + Saranan + Harapan

Ayat 3: Seruan


Monday, February 21, 2011

KESAN-KESAN TEKNOLOGI MAKLUMAT (ICT)



Zaman beralih dan musim berubah. Fasa demi fasa perubahan dunia telah berlaku. Dari zaman falsafah ke Zaman Renaissance, bertukar pula ke zaman industri dan zaman atom, kini sampailah pada hari ini yang disebut dengan zaman teknologi maklumat (ICT). Dalam setiap zaman yang dilalui oleh manusia telah menempuh pelbagai cabaran dan seyogianya manusia memperoleh pelbagai input baharu. Daripada pelbagai sumber pengetahuan, penemuan bidang ICT telah berjaya menginjak tamadun dunia kepada situasi yang lebih kompetitif. Teknologi ICT telah mewajarkan manusia mencapai pelbagai kemajuan lebih-lebih lagi dalam bidang ilmu pengetahuan dan maklumat yang paling canggih. Sesungguhnya, kemajuan teknologi ini meninggalkan pelbagai implikasi atau kesan sama ada implikasi yang positif atau negatif.

Dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien dengan adanya kemudahan maklumat ini. Dunia hari ini heboh tentang e-niaga iaitu cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat laman sesawang mereka beserta alamat mel elektronik atau e-mel. Kini, istilah www.sesuatu.com.mybukan lagi satu perkara yang asing. Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari peringkat glokal malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di surat khabar yang mengkhabarkan seorang suri rumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui e-mel. Jadi, jelaslah bahawa perkembangan teknologi maklumat membawa kesan positif dari aspek perniagaan.

Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan teknologi maklumat secara langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya e-mel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat, kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi maklumat. Hal ini dapat dibuktikan ketika Bill Gates, insan terkaya di dunia melawat Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multimedia Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan pusat multimedianya. Oleh itu, terbuktilah bahawa pembangunan teknologi maklumat membolehkan Malaysia berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.

Dari segi sosialnya pula, pembangunan teknologi maklumat mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat dapat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk dalam kalangan rakyat pelbagai negara dan berbilang kaum. Bukankah teknologi ini satu anugerah yang tiada tolok bandingnya?

Walau bagaimanapun, pembangunan pesat teknologi maklumat tidak bebas daripada implikasi negatifnya. Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek negatif yang boleh menggugat keamanan negara. Maka, tidak hairanlah apabila terdapat sesetengah pihak yang menggunakan teknologi ini untuk yang menyampaikan khabar yang tidak berasas danberbaur fitnah. Di Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Contohnya, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disebarkan melalui internet pada suatu ketika dahulu. Khabar angin ini pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada negara kita sendiri. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Aspek negatif internet inilah yang sukar dibendung oleh sesiapa.

Teknologi maklumat juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya dalam kalangan generasi muda. Gambar dan bahan pornografi mengisi kebanyakan daripada ruang maya dalam internet. Remaja yang mendahagai pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini yang bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ingin mengaut keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan cepat bagai belut diketil ekor dalam kalangan pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Hal ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat memburukkan keadaan lagi. Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif dalam kalangan remaja dan belia. Sesungguhnya, teknologi maklumat sememangnya menyebarkan unsur-unsur lucah dan meningkatkan kebejatan akhlak remaja kita.

Intihanya bicara, teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang sama memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Jadi, sebagai pengguna yang bijak kita tidak harus menyalahgunakan kemudahan teknologi maklumat ini. Semua pihak harus bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengambil langkah sederap untuk memastikan tiada unsur negatif yang berlaku seiring dengan ledakan teknologi berinformasi ini. Sudah menjadi tugas kita bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh. Semoga impian negara untuk melahirkan masyarakat yang maju dan berinformasi tercapai bagi memudahkan negara merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020.Sesungguhnya Saidina Ali Abi Talib pernah berkata bahawa manusia yang berdagang dengan ilmu maka ilmunya akan bertambah tetapi apabila manusia berdagang dengan harta maka hartanya semakin berkurang.

PERBINCANGAN PELAJAR 4ST1 2011;

SAIFUL

AIMAN

SAUQI

AIZAT

SYAFIQ


Saturday, February 19, 2011

Langkah-langkah yang sepatutnya dilakukan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia

“1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan” merupakan idea bernas yang dicetuskan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohamad Najib Bin Tun Abdul Razak. Objektif prima gagasan 1 Malaysia diperkenalkan adalah untuk mengeratkan lagi perpaduan kaum yang sudah sekian lama bermukim di negara ini. Gagasan 1 Malaysia merupakan rentetan daripada gagasan Rukun Negara yang ditubuhkan selepas peristiwa 13 Mei 1969. 1 Malaysia ditubuhkan adalah untuk mengingatkan kita kepada peristiwa pertumpahan darah yang berlaku pada 13 Mei kerana mengikut ahli falsafah barat iaitu George Santayana, “ Mereka yang melupai sejarah pasti mengulanginya” jadi kita semestinya tidak menginginkan pisang berbuah dua kali. Oleh sebab itu, gagasan 1 Malaysia amat vital untuk direalisasikan oleh semua golongan masyarakat terutamanya golongan pelajar kerana merekalah yang bakal memacu negara pada masa akan datang. Persoalannya, apakah yang sepatutnya dilakukan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia?

De factonya, terdapat variasi peranan yang perlu dimainkan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia. Salah satu daripada peranan tersebut adalah dengan mengaktifkan diri dalam aktiviti kenegaraan dan kemasyarakatan yang dianjurkan oleh pihak kerajaan sebagai contoh Program Latihan Khidmat Negara ( PLKN) dan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan ( RIMUP ). Penglibatan diri dalam program anjuran pihak kerajaan berupaya membantu pelajar mengukuhkan nilai perpaduan dalam diri di samping dapat membantu pelajar memahami erti konsep 1 Malaysia yang faktualnya seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri. Namun, apabila pihak kerajaan mengadakan aktiviti-aktiviti kenegaraan dan kemasyarakatan kebanyakan para pelajar akan menarik diri daripada menyertai aktiviti tersebut walhal aktiviti sedemikianlah yang mampu merapatkan mereka dengan masyarakat yang berbilang ras dan etnik. Sepatutnya untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia golongan pelajar berlumba-lumba untuk menyertai aktiviti seperti PLKN dan RIMUP. Sekiranya hanya sebilangan kecil pelajar yang tidak berminat untuk menyertai aktiviti kenegaraan dan kemasyarakatan maka konsep 1 Malaysia tetap tidak dapat direalisasikan dengan sepenuhnya kerana peranan untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia memerlukan penglibatan semua pelajar bak kata pepatah, “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”. Oleh itu, semua pelajar perlulah mengaktifkan diri dalam program yang dianjurkan pihak kerajaan kerana penglibatan diri dalam program tersebut merupakan satu langkah dogmatik dan pragmatik yang wajar dilakukan oleh pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Seterusnya, untuk menjadikan gagasan 1 Malaysia menjadi kenyataan para pelajar seharusnya menghayati Rukun Negara sepenuh hati supaya para pelajar lebih mengerti nilai perpaduan kaum bagi sesebuah negara. Rukun Negara merupakan gagasan pertama yang dibentuk selepas peristiwa 13 Mei 1969 oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Rukun Negara digubal adalah untuk menyelesaikan persengketaan yang berlaku antara kaum akibat sentimen perkauman. Rukun Negara mengandungi lima prinsip dan kelima-lima prinsip tersebut menjurus ke satu matlamat iaitu mengukuhkan perpaduan antara semua kaum di negara ini. Jadi Rukun Negara merupakan gagasan yang syumul dalam mengeratkan perpaduan kaum yang utuh. Oleh sebab itu, para pelajar perlu menghayati Rukun Negara untuk menanam semangat perpaduan dalam diri dan seterusnya untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia. Walau bagaimanapun, terdapat sejumlah pelajar hanya memandang sebelah mata sahaja terhadap Rukun Negara dan terdapat juga pelajar yang tidak mengingati langsung terhadap lima prinsip Rukun Negara. Seandainya, para pelajar tidak menghayati Rukun Negara maka tidak hairanlah konsep 1 Malaysia tidak dapat direalisasikan dan rusuhan kaum berlaku sekali lagi seperti yang dilakukan oleh kumpulan HINDRAF pada tahun 2007. Sudah terang lagi bersuluh, menghayati Rukun Negara merupakan peranan yang paling wajar dilaksanakan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Menjaga hubungan baik antara kaum merupakan satu lagi minhaj yang boleh dilakukan oleh golongan pelajar untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia. Para pelajar sejamaknya perlu memelihara relasi yang baik antara ras supaya sentimen perkauman tidak timbul dan semestinya untuk mengalicaukan rusuhan kaum daripada terjadi. Para pelajar dapat menjaga hubungan yang baik antara kaum dengan kerap mengunjungi rumah jiran tetangga dan sahabat handai yang berlainan kaum selain menghormati budaya serta adat resam kaum lain. Untuk menjaga hubungan yang harmoni antara kaum para pelajar bukan sahaja perlu membantu bangsa lain yang dalam kesusahan bahkan para pelajar perlu berusaha mengenali dan mendekatkan diri dengan kaum lain. Gagasan 1 Malaysia sebenarnya menekan konsep persamaan taraf seperti yang terdapat dalam Piagam Madinah pada tahun 622 Masihi. Semua rakyat diberi layanan sama rata agar tidak wujud rasa ketidakpuasan hati dalam diri rakyat Malaysia. Andai kata, para pelajar sering bersikap pesimis terhadap kaumlain dan bersikap perkauman nescaya para pelajar tidak akan mampu merealisasikan konsep 1 Malaysia dan sudah pasti juga akan wujud sentimen perkauman serta sebagai konsekuensinya rusuhan kaum berkemungkinan besar akan berlaku. Tegasnya, para pelajar perlulah menjaga hubungan yang baik antara kaum lain kerana mempunyai relasi yang kukuh antara kaum merupakan peranan perdana yang harus dilaksankan oleh pelajar untuk merealisasikan gagasan 1 Malaysia.

Selain itu, para pelajar juga sepatutnya menggunakan bahasa kebangsaan dalam percakapan seharian dengan kaum lain supaya konsep 1 Malaysia menjadi realiti kerana bahasa mampu menjadi alat untuk mengeratkan perpaduan. Penggunaan bahasa yang sama antara kaum lain dapat memupuk semangat perpaduan kaum yang jitu selain dapat meningkatkan lagi semangat cinta akan tanah air. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang paling wajar digunakan oleh pelajar semasa berkomunikasi dengan bangsa lain di Malaysia tambahan pula kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Dengan kekukuhan kedudukan bahasa Melayu dalam perlembagaan jelaslah bahawa para pelajar perlu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan antara kaum lain seperti yang diamalkan oleh masyarakat pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Setiap pedagang di Melaka menggunakan bahasa Melayu sebagai lingua franca. Jikalau para pelajar enggan menggunakan bahasa kebangsaan ketika bercakap dengan bangsa lain maka sudah tentu perpaduan tidak akan wujud dan para pelajar tidak akan mempunyai semangat patriotik. Maka dengan itu jelaslah bahawa penggunaan bahasa kebangsaan dalam percakapan seharian dengan kaum lain merupakan peranan yang perlu dilaksanakan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Sentiasa memandang positif dan menyokong setiap saranan dan buah fikiran Perdana Menteri merupakan satu lagi uslub yang sepatutnya dilaksanakan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia. Para pelajar seharusnya mengikuti segala saranan Perdana Menteri dan memandang positif terhadap saranan tersebut agar tidak timbul perselisihan faham antara rakyat dan pemerintah yang boleh mengakibatkan berlaku pemberontakan. Selain itu, setiap saranan Perdana Menteri sudah semestinya demi kebaikan rakyat dan negara. Jadi para pelajar hasratPerdana Menteri untuk melihat semua rakyat di Malaysia hidup bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama. Perpaduan kaum yang utuh bagi sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk merupakan elemen yang paling vital dalam memastikan keamanan negara terus berkekalan. Oleh sebab itu, para pelajar perlu memandang positif terhadap ideologi Perdana Menteri dan mendukung ideologi tersebut supaya kemerdekaan negara terus berkekalan dan keharmonian negara terjamin. Jika para pelajar sentiasa berprasangka buruk dan tidak mengambil peduli terhadap saranan dan ideologi Perdana Menteri maka perpaduan kaum yang utuh tidak dapat dicapai dan sudah pasti juga gagasan 1 Malaysia tidak akan menjadi kenyataan. Secara tegas, berpandangan positif dan menyokong ideologi Perdana Menteri ialah peranan yang harus dimainkan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Konklusinya, para pelajar mempunyai pelbagai peranan yang mampu dilaksanakan dalam memastikan konsep 1 Malaysia menjadi kenyaatan. Walau bagaimanapun, tugas merealisasikan konsep 1 Malaysia bukan sahaja terletak di bahu golongan pelajar bahkan menjadi tanggungjawab semua pihak. Jikalau semua pihak memainkan peranan masing-masing dan berkolaboratif antara satu sama lain sudah tentu konsep 1 Malaysia dapat direalisasikan dengan mudah dan efektif kerana bak kata pepatah, “ Muafakat membawa berkat”. Gagasan 1 Malaysia sememangnya amat penting untuk menjadi realiti bagi membuktikan kepada seluruh dunia betapa kukuhnya perpaduan kaum yang terjalin di Malaysia. Oleh itu, dukunglah gagasan 1 Malaysia, “ 1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”.


Daripada;

NURIMANI ABDULLAH 5ST1 2010