pengunjung

Sunday, September 6, 2015

KEBAIKAN KEDATANGAN PEKERJA ASING KEPADA NEGARA MALAYSIA



KEBAIKAN KEDATANGAN PEKERJA ASING KEPADA NEGARA  MALAYSIA

Bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Perumpamaan terbabit amat sinonim dengan senario kebanjiran pekerja asing di negara kita pada era cetusan idea ini. Memang tidak dapat dinafikan, kepesatan perkembangan ekonomi dan kekukuhan politik di negara kita telah berjaya membuka mata para pekerja asing sehingga telah mendorong mereka untuk berhijrah ke sini kerana bak kata pepatah, ada gula adalah semut. Kedatangan golongan ini yang bertali arus tidak dapat dinafikan telah membawa perubahan kepada kemajuan negara Malaysia. Bertepatan dengan hasrat Wawasan 2020 cetusan idea Tun. Dr. Mahathir Mohamed yang ingin menjadikan negara Malaysia mampu berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan negara-negara maju lain, pekerja asing telah berupaya menjadi salah satu medium bagi menjayakan hasrat itu. Persoalannya, apakah kebaikan kedatangan pekerja asing kepada negara kita, Malaysia?

Mari kita mulakan perbincangan kita terhadap kepentingan pekerja asing dalam aspek pengukuhan ekonomi negara. Pekerja asing berkemahiran tinggi seperti jurutera, arkitek, pensyarah, dan sebagainya amat diperlukan bagi meningkatkan pembangunan ekonomi negara kerana mereka mampu untuk berkongsi idea dan memberi tunjuk ajar kepada rakyat Malaysia. Sebagai contoh, jurutera automobil yang diimport dari Jepun pada suatu ketika dahulu telah memberi  kemahiran baharu kepada rakyat Malaysia sehingga tercipta kereta pertama negara iaitu Proton Saga pada tahun 1985. Selain itu, kepakaran pekerja asing dalam bidang profesional juga terjamin dan berupaya meningkatkan kualiti produktiviti negara sekali gus dapat mengukuhkan ekonomi Malaysia. Jadi, tidak hairanlah sekiranya negara maju seperti Amerika Syarikat telah menggaji sebanyak 14 juta orang pekerja asing dengan purata kebanyakannya berkhidmat sebagai tenaga professional bagi membolehkan peningkatan dalam ekonomi serta penghasilan teknologi  di negara tersebut. Kedatangan pemegang Visa H-2B ini telah membantu menampung masalah kekurangan tenaga kerja terutamanya dalam sektor pembinaan dan pembuatan ekoran sikap belia Malaysia yang terlalu memilih dalam isu pekerjaan. Sikap pekerja asing yang tidak memilih dalam pekerjaan amat sinonim dengan peribahasa asal berinsang ikanlah dan sepatutnya dicontohi oleh rakyat Malaysia. Pekerja asing dalam sektor- sektor tersebut juga telah meningkatkan kecerunan graf produktiviti negara sekali gus memperkukuh ekonomi Malaysia. Mantan Perdana Menteri Malaysia kelima iaitu Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pernah menegaskan bahawa Malaysia perlu mengurangkan bilangan pekerja asing namun bimbang tindakan sedemikian akan memberi impak negatif kepada industri yang bergantung dengan khidmat pekerja asing. Situasi ini jelas menggambarkan bahawa negara kita masih memerlukan keringat tenaga kerja asing dalam usaha untuk meningkatkan ekonomi negara bagi membolehkan Malaysia bersaing dengan negara-negara maju dan merealisasikan Wawasan 2020. Jelaslah, kedatangan pekerja asing  sama ada profesional mahupun kurang berkemahiran masing-masing mampu untuk memperkukuh ekonomi Malaysia melalui khidmat yang mereka salurkan.

Lensa perbincangan kita dialihkan pula kepada skop memacu pembangunan negara ke arah mewujudkan sebuah negara maju.Sebagaimana yang kita ketahui,Malaysia merupakan sebuah negara yang pesat membangun dengan pertumbuhan ekonomi yang mantap.Kemasukan buruh-buruh asing inilah yang menyebabkan negara kita dapat membangun dengan pesatnya seperti sekarang,serentak mengikut aliran kemajuan negara-negara  luar .Hal ini dikatakan demikian kerana,mereka memang mahir dalam melakukan pekerjaan yang berat seperti membina bangunan dan jalan raya.Selain itu,mereka juga  mampu menjadi amah yang baik seperti melakukan kerja-kerja rumah, menjaga anak-anak majikannya dan lain-lain. Oleh sebab itu,perubahan menyeluruh yang sistematik sentiasa berlaku di Malaysia khususnya dalam pembangunan infrastruktur,dan prasarana yang perlu dibangun dalam masa yang singkat. Jadi,dalam usaha untuk mencapai misi tersebut,keperluan tenaga buruh amat diperlukan bagi mempercepat arus pertumbuhan pembangunan negara. Memang tidak dapat dinafikan bahawa sesetengah rakyat Malaysia tidak suka melakukan kerja buruh yang memerlukan kudrat yang tinggi. Walaupun sikap yang diamalkan oleh rakyat kita ini selaras dengan ciri-ciri negara maju yang lain namun Malaysia akan mengalami kekurangan tenaga buruh tempatan untuk memajukan pembangunan tersebut dan secara tidak langsung menyebabkan negara kita memerlukan tenaga buruh dari luar seperti Vietnam,Myanmar,India dan Indonesia.Tegasnya,dengan adanya pekerja asing yang  bekerja sebagai buruh ini,maka proses pembangunan negara akan berlangsung dengan cepat.

Dalam pada itu, pemahaman kita diteruskan pula dengan skop kebanjiran pekerja asing di Malaysia dapat mevariasikan budaya dan adat resam yang menarik. Sebagaimana yang kita ketahui, negara Malaysia terkenal dengan masyarakat yang berbilang kaum dan mempunyai pelbagai jenis budaya serta adat resam masing-masing. Kedatangan pekerja asing dalam berkongsi budaya mereka mampu mempelbagaikan lagi budaya di Malaysia melalui cara pemakaian, makanan, cara berkomunikasi sesama masyarakat dan lain-lain. Sebagai contoh, seorang pekerja warganegara Jepun bekerja di Malaysia. Secara tidak langsung, pekerja tersebut akan berkongsi dengan rakan-rakan sekerjanya mengenai budaya dan adat resam yang diamalkan di negaranya, contohnya, adab ketika bertemu dengan rakan. Masyarakat Jepun akan memberi tunduk hormat satu sama lain dan berbicara dengan sopan santun. Masyarakat Jepun juga mempunyai identiti mereka tersendiri dalam aspek pemakaian, iaitu mereka memakai kimono bagi perempuan. Budaya ini amat bagus untuk diimplementasikan di negara bagi mewujudkan masyarakat Malaysia yang mempunyai nilai murni yang tinggi dan dipandang mulia oleh masyarakat luar negara, bersesuaian dengan kata-kata Albert Einstein yang mengatakan bahawa setiap aksi akan menyebabkan tindak balas. Memang benar bahawa ada sesetengah pekerja asing membawa budaya kuning mereka dengan sengaja bertujuan untuk mempengaruhi minda masyarakat Malaysia dengan pemikiran sekular mereka. Namun, sebagai masyarakat yang matang, kita mestilah bijak membezakan antara perkara yang baik dan juga perkara yang buruk, bak peribahasa buang yang keruh, ambil yang jernih. Masyarakat Malaysia boleh mempelajari  perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat  negara lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Pendek kata, kebanjiran pekerja asing telah memberikan kesan positif dalam mevariasikan budaya dan adat resam dalam negara kita, iaitu Malaysia.

Ayuh kita selongkar perbincangan kita dengan lebih mendalam di bawah kata kunci pertukaran teknologi-teknologi moden. Kedatangan pekerja asing terutamanya tenaga buruh mahir dan separuh mahir ke Malaysia membolehkan negara kita mempelajari dan memperoleh teknologi-teknologi baru melalui program usahasama yang dilakukan oleh pihak kerajaan atau organisasi bukan kerajaan dengan negara-negara maju. Kebiasaannya, tenaga buruh mahir seperti pakar ekonomi dan pakar runding yang sudah terbiasa dengan penggunaan teknologi-teknologi moden yang pantas berkembang maju seperti belut diketil ekor sudah pasti akan mengesyorkan negara Malaysia untuk mendapatkan teknologi moden itu juga bagi melancarkan urusan-urusan pekerjaan. Sebagai contoh, memikirkan tentang penduduknya yang berhijrah ke negara Malaysia, negara Jepun telah memberikan sumbangan dari segi penggunaan robot untuk industri pembuatan dan tenaga pakar dalam bidang perindustrian dan automotif kepada negara Malaysia, melalui program usahasama Jepun-Malaysia berdasarkan pelancaran Inovasi Kerajaan pada tahun 2011. Impaknya, negara kita dapat mengeluarkan kenderaan-kenderaan sendiri seperti Proton Waja, Proton Wira, Perodua dan lain-lain lagi secara lebih produktif berbekalkan manfaat daripada kemasukan pekerja asing ke Malaysia. Pepatah Melayu ada menyebut sambil menyelam minum air, satu dasar dua objektif. Nyatalah, antara implikasi positif kemasukan pekerja asing ke Malaysia adalah akan dapat memperoleh teknologi-teknologi moden daripada negara asal pekerja asing yang berhijrah ke Malaysia.
Fokus perbincangan kita diteruskan pula dengan skop kebaikan kehadiran pekerja asing dalam aspek pelancongan di negara Malaysia. Tidak dapat dinafikan bahawa kehadiran pekerja asing telah menyumbangkan banyak pembangunan dalam pelbagai sektor di negara kita termasuklah sektor pelancongan. Hal ini dikatakan demikian kerana para pekerja asing ini boleh dikatakan sebagai agen pelancongan di negara kita. Semasa mereka menetap di Malaysia dalam tempoh tertentu, mereka telah dapat mengenali negara kita dengan lebih mendalam kerana sambil menyelam sambil minum air. Mereka telah mengenali destinasi-destinasi pelancongan yang menarik di negara kita dan berupaya untuk menarik minat pelancong dari luar negara . Selain itu, kebersihan negara kita yang boleh dikatakan memuaskan hati kerana rakyat di negara kita amat mementingkan kebersihan . Hal ini amat bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, kebersihan itu sebahagian daripada iman. Budi bahasa budaya kita . Sikap masyarakat Malaysia yang baik hati dan berbudi bahasa juga telah menyebabkan pekerja-pekerja asing menyukai negara kita . Apabila mereka pulang ke tanah air mereka, mereka pasti akan menceritakan segala pengalaman mereka semasa berada di Malaysia kepada saudara mara atau rakan-rakan di negara mereka. Keindahan negara kita juga pasti akan diceritakan oleh mereka secara tidak langsung kepada saudara mara ataupun rakan-rakan mereka. Oleh hal yang demikian, saudara mara atau rakan mereka yang tidak pernah menjejaki bumi Malaysia pasti akan mempunyai keinginan untuk datang dan melihat keindahan negara kita dengan mata sendiri untuk memastikan bahawa berita yang disampaikan itu bukannya indah khabar dari rupa .Jika seorang pekerja asing mampu menarik dua atau tiga orang saudara mara mereka untuk melancong ke negara kita, bagaimana pula jika jutaan orang pekerja asing? Tegasnya, kehadiran pekerja asing akan memberikan implikasi yang besar terhadap sektor pelancongan di negara kita . 

Kesimpulannya,sudah terang lagi bersuluh bahawa kedatangan pekerja asing dari pelbagai negara seperti Indonesia, Bangladesh, Filipina, dan Thailand telah mendatangkan kesan-kesan positif dari segi ekonomi dan sosial.Walau bagaimanapun, pihak kerajaan tidak boleh memandang remeh terhadap kedatangan mereka ke negara ini.Namun, jika ada yang beranggapan bahawa menghantar semula pekerja asing ke negara mereka suatu tindakan yang amat baik,mereka harus berfikir dua kali.Memetik daripada sebuah artikel yang ditulis oleh Ahmad Kamil Mohamed, menyatakan bahawa kerajaan akan mengalami kerugian jika cara di atas dilaksanakan.Jadi,sebelum kudis menjadi tokak,pihak berkuasa khususnya jabatan imigresen dan pihak polis perlu menguatkuasakan undang-undang sebagai amaran kepada pekerja asing supaya mereka tidak melanggar undang-undang negara Malaysia ini.Sesungguhnya,peribahasa bukit sama didaki,lurah sama dituruni wajar diamalkan oleh semua pihak waima pihak kerajaan,majikan mahupun rakyat negara ini untuk mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara Malaysia daripada dicemari oleh masalah yang akan ditimbulkan oleh pekerja asing.

Karangan daripada perbincangan pelajar 5st1 2014

Ulasan guru:-
a)  Idea relevan dengan tugasan.
b)  Pengolahan idea matang, berkembang dengan baik, dan berkesan. Pelajar mempunyai
     pengetahuan yang luas.
c)  Bahasa anda baik, dengan binaan ayat yang bervariasi .
d)  Ejaan dan tanda baca baik dan berkesan.
e)  Pemerengganan anda sesuai dan kepanjangan seimbang.*********













Tuesday, June 9, 2015

KEPENTINGAN MENGUASAI TEKNOLOGI MAKLUMAT



        Teknologi maklumat merupakan agenda baharu yang begitu diberi­kan perhatian oleh kerajaan negara kita. Kerajaan telah mengambil langkah yang proaktif dalam usaha menerapkan minat terhadap teknologi maklumat (TM) kepada masyara­kat. Berbagai-bagai kempen dijalankan oleh pelbagai pihak untuk menjelaskan kepentingan TM kepada masyarakat. Sejumlah peruntukan yang besar telah dilaburkan untuk tujuan itu.
Negara yang tidak mengutamakan TM akan ketinggalan dalam arus pembangunan atau umpama katak di bawah tempurung. Berda­sarkan usaha dan iltizam kerajaan yang tinggi itu, nyatalah bahawa bidang teknologi maklumat mempunyai manfaat yang sangat besar kepada masyarakat dan negara ini.

        Sebenarnya, penguasaan teknologi maklumat ada banyak faedahnya kepada masyarakat khususnya iaitu mampu menjadikan masyarakat negara ini sebagai sebuah masyarakat yang sentiasa peka dengan perkembangan dan pergolakan dunia. Melalui kemajuan dalam bidang penyebaran maklumat, masyarakat negara ini tidak akan ketinggalan untuk mengikuti arus perkembangan di seantero dunia. Hal ini terbukti apabila semua maklumat yang disalurkan akan dapat diterima secara lebih pantas oleh seluruh masyarakat global. Hanya dengan memiliki sebuah komputer peribadi yang disambung dengan perkhidmatan internet, masyarakat boleh mendapatkan maklumat dari selur­uh dunia dengan  hanya perlu menggerakkan tetikus untuk mendapatkan maklumat terkini dalam sesuatu bidang. Dalam hal ini teori “Global Village” yang dibangunkan oleh Marshall McLuhan yang mengatakan dunia tidak dibatasi dengan apa-apa sempadan melainkan hanya jurang digital yang memisahkan sesetengah tempat untuk mengakses internet adalah sangat tepat.Sebagai misal, masyarakat Malaysia akan mudah mengikuti pergolakan politik di Timur Tengah dan di Rusia melalui skrin komputer mereka dengan penguasaan teknologi ini. Pendek kata, penguasaan teknologi maklumat mampu menjadikan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat yang berinformasi dengan maklumat-maklumat global yang terkini.

        Mari kita capahkan lensa perbincangan kita di bawah kata kunci teknologi maklumat dapat meningkatkan mutu pendi­dikan negara kita. Kerajaan telah mengambil variasi inisiatif untuk mewujudkan sekolah-sekolah bestari yang menjadikan teknologi maklumat sebagai teras pendidikan.
Menurut Ahmad Fuad (2003), menyatakan bahawa dalam konteks pendidikan, TMK merupakan satu rangkaian elektronik untuk mencari, mengumpul,menyimpan,memproses,menyalur dan menyampai maklumat secara efektif pantas dan banyak untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan pembentukan sekolah-sekolah bestari ini, guru-guru tidak lagi dijadikan sebagai sumber rujukan utama oleh para pelajar, sebaliknya, guru hanya akan dianggap sebagai pemudah cara sahaja. Segala proses pembelajaran dan pengajaran akan sepenuhnya dikendalikan oleh teknologi komputer dan sumber rujukan mereka pula adalah daripada sumber-sumber multimedia malah seseorang pelajar boleh melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi atau doktor falsafah dengan hanya bergantung kepada media komputer. Sebagai contoh, penubuhan Universiti Tun Abdul Razak merupakan satu langkah ke arah penerokaan ilmu di ruang siber tanpa menghadiri kuliah secara lumrah. Dengan penubuhan universiti maya ini, mutu pendidikan negara meningkat ke tahap yang lebih tinggi. Tegasnya, kemahiran dalam teknologi malumat mampu untuk meningkatkan mutu pendidikan negara.

         Cuba kita fokuskan medan perbincangan kita ke arah horizon minda kelas pertama di bawah frasa teknologi maklumat mampu meletakkan negara kita se­tanding dengan negara-negara maju dan membangun yang lain. Pada alaf ini, kemajuan sesebuah negara diukur dengan pencapaian dalam bidang teknologi malumat. Oleh yang demikian, sebagai sebuah negara yang ingin mencapai status negara maju, Malaysia mestilah menitikberatkan bidang kepakaran dalam teknologi maklumat bagi menjadikan negara kita berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Sebagai contohnya, negara kita telah melancarkan satelit teleko­munikasi kita sendiri yang dikenali dengan nama MEASAT 1 dan MEASAT 11. Berkat kebijaksanaan para saintis Malaysia, kerajaan Malaysia telah berjaya menghasil­kan satelit ringan yang dikenali sebagai Tiongsat-1 dan kejayaan mereka ini bertepatan dengan kata-kata Steve Jobs, pengasas Appla Incorporation bahawa kebijaksanaan ialah kunci kepada inovasi. Dengan pelancaran satelit-satelit ini, kita mampu menempatkan diri setanding dengan negara-negara maju dalam bidang telekomunikasi. Jadi, jelaslah bahawa teknologi maklumat mampu meletakkan negara kita setanding dengan negara maju yang lain. 

      Mari kita lebarkan sayap diskusi kita di bawah rangkai kata penekanan dalam kemajuan teknologi maklumat akan menggalakkan pemindahan teknologi secara langsung dan tidak langsung kepada negara Malaysia. Pembinaan Koridor Raya Multimedia telah membuka banyak peluang pelaburan kepada syarikat-syarikat antarabangsa untuk beroperasi di sini. Dengan ini,secara tidak langsung mereka akan memindahkan teknologi-teknologi canggih untuk dipelajari oleh rakyat negara kita seperti robot-robot pembuatan. Dalam hal ini 
10000 orang pekerja professional dalam cabang IT akan mendapat manfaat daripada kemajuan dan penguasaan TM. Pada masa yang sama, pihak kerajaan juga tidak perlu lagi membe­lanjakan wang yang banyak untuk menghantar pegawai-pegawai terpilih untuk berkur­sus praktikal di luar negara bagi menguasai teknologi canggih tersebut. Selain itu, dengan pemindahan teknologi ke negara kita, lebih banyak pihak yang mendapat manfaatnya, contohnya kerajaan mendapatkan hasil cukai dan mampu menyediakan peluang pekerjaan untuk dimanfaatkan oleh penduduk tempatan. Tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa kemajuan teknologi maklumat dapat menggalakkan pemindahan teknologi-teknologi moden ke negara kita.

Selanjutnya,  pihak kerajaan juga turut tidak ketinggalan untuk menikmati faedah penguasaan TM . TM merupakan antara faktor pemangkin yang meningkatkan kecerunan graf produktiviti negara sekali gus melancarkan pengaliran pentadbiran kerajaan. Urusan pentadbiran pihak kerajaan menjadi lebih mudah dan efektif kerana segala maklumat terkini berkaitan negara dapat dihantar dan diterima terus tanpa tapisan orang ketiga daripada pihak yang berkenaan. Selain itu, jurang digital antara Malaysia dan negara luar khususnya negara-negara maju dapat dirapatkan sebagai kepentingan negara bagi mewujudkan suasana yang lebih efektif bagi menarik minat masyarakat  negara luar untuk melabur dan berdagang di negara ini. Di samping itu, penguasaan  TM dalam kalangan rakyat juga mampu memberi impak yang positif kepada kerajaan kerana dapat menjimatkan wang simpanan negara. Sebagai contoh, kemahiran TM jurutera-jurutera negara dalam pembinaan sistem saliran tercanggih dunia iaitu terowong SMART berjaya mengurangkan kadar pengeluaran wang Malaysia untuk mengimport tenaga kerja professional dari luar. Tegasnya, penguasaan dalam teknologi maklumat dapat melancarkan urusan pentadbiran negara.

        Mari kita selongkar kotak pemikiran kita dengan lebih mendalam di bawah kata kunci teknologi maklumat dapat meningkatkan ekonomi negara. Perniagaan pada hari ini dijalankan melalui kaedah e-dagang atau perdagangan elektronik. Melalui kaedah  peniagaan di hujung jari ini ,peniaga tidak lagi perlu menyediakan ruang niaga yang besar dan keperluan kos yang tinggi kerana pasaran dapat diperluas melalui jaringan rangkaian internet. Pembeli dari dalam dan luar negara dapat melihat produk yang ditawarkan di skrin laptop mereka dan hanya perlu menekan tetikus untuk membuat pesanan. Perdagangan maya ini ternyata lebih berkesan kerana menjimatkan masa dan tenaga pembeli. Sebagai contoh, blog terkini, Amazon.com merupakan sebuah syarikat penjualan bahan bacaan yang sangat terkenal dan telah membuktikan kejayaan melalui e-dagang ini. Ternyata, teknologi maklumat dapat membantu meningkatkan ekonomi negara.

         Kesimpulannya, kita tidak harus ketinggalan untuk menguasai kemahiran teknologi maklumat kerana bidang ini akan terus berkembang dari semasa ke semasa. Sistem hidup manusia masa depan akan lebih bergantung kepada kemajuan dalam bidang ini malah pada masa kini pun, pergantungan manusia terhadap teknologi maklumat sememangnya tidak dapat dinafikan. Setiap manusia berusaha untuk membaiki diri mereka dengan menggunakan teknologi maklumat selaras dengan kata-kata Zig Ziglar, “anda tidak perlu bermula dengan hebat tetapi anda perlu mula menjadi hebat”. Oleh itu, untuk memastikan wawasan negara untuk menjadi sebuah negara maju boleh direalisasikan dengan penguasaan dalam bidang teknologi maklumat. Sebagai rakyat Malay­sia, kita perlu menyokong usaha ini di samping menyediakan diri untuk mempelajari pengetahuan baru berkaitan teknologi maklumat agar kita dapat berdiri sama tinggi , duduk sama rendah dengan masyarakat dunia dari negara-negara maju yang lain.

Monday, January 21, 2013

DRAMA TIANG CENGGAL DINDING SAYUNG



SINOPSIS

Pak Man berkunjung ke rumah Sani dengan membawa ikan yang ditangkapnya. Mereka berbual-bual tentang ibu angkat Sani, Jimah yang enggan pulang ke rumah kerana menunggu suaminya, Pak Jumaat yang hilang di laut sebagai akibat bencana tsunami. Shahrul pula meminta Sani memberitahu emaknya tentang hasratnya yang mahu pulang ke Kuala Lumpur kerana cutinya telah habis.

Setibanya Sabariah dari London, dia mempersoalkan tindakan abangnya, Sabri yang membiarkan ibunya menunggu kepulangan bapa mereka di tepi pantai. Sabariah pula menyalahkan bapanya yang masih mahu ke laut biarpun menerima duit belanja daripada anak-anak. Sabariah turut menegur Shahrul apabila mengetahui adiknya itu mahu kembali ke Kuala Lumpur sedangkan bapa mereka masih belum ditemui. Sementara itu, Mak Jah menasihati Shahrul agar mengenang jasa ibu bapanya dan meletakkan mereka di tempat yang tinggi.

Sabariah mendesak emaknya yang masih setia menunggu kepulangan bapanya agar pulang ke rumah kerana beranggapan mayat bapanya sudah hancur di laut. Sabariah juga mengungkit tentang wang 100 paun yang diberikan kepada bapanya setiap bulan. Sabariah mempersoalkan tindakan bapanya yang masih ke laut dan tindakannya itu memalukan anak-anaknya. Jimah berasa sangat sedih dengan kata-kata Sabariah. Dia telah mengeluarkan buku akaun anak-anaknya lalu meminta Sani menyerahkan buku-buku tersebut kepada mereka. Jimah memberitahu Sani bahawa dia dan suaminya tidak pernah menggunakan wang pemberian anak-anak mereka.

     Sani menyerahkan buku akaun yang diberikan oleh ibunya kepada abang dan kakaknya. Sabariah, Sabri, dan Shahrul terkejut apabila mendapat tahu bahawa orang tua mereka tidak pernah menggunakan wang pemberian mereka selama ini. Pak Man yang singgah ke rumah Jimah menasihati Sabariah, Shahrul, Sabri, dan Salmah agar menghargai pengorbanan ibu bapa mereka dan menghormati mereka.

Dalam pada itu, Man Bengap memberitahu bahawa Pak Jumaat telah ditemui selamat dan kini berada di Balai Polis Kuala. Jimah seterusnya meluahkan ketidakpuasan hati dan perasaan sedihnya berhubung dengan sikap anak-anaknya yang lebih mementingkan kerjaya masing-masing dan wang ringgit berbanding dengan dirinya dan suaminya. Sabariah, Shahrul, dan Salmah menyedari kesilapan masing-masing lalu memohon ampun daripada Jimah. Setelah dirayu, akhirnya Jimah memaafkan kesilapan dan kealpaan anak-anaknya. Jimah dan anak-anaknya bergerak ke balai polis untuk menjemput Pak Jumaat.

PERSOALAN

1.  Kesetiaan seorang isteri terhadap suami. Contohnya, Jimah sanggup menunggu di tepi pantai sehingga empat hari kepulangan Pak  Jumaat yang hilang di laut sebagai akibat ombak tsunami.

2   Kesibukan anak-anak dalam kerjaya sehingga mengabaikan perhatian terhadap ibu bapa. Contohnya, Salmah hanya pulang ke kampung selepas empat hari bapanya hilang di laut kerana sibuk dengan urusan perniagaannya.     
               
3. Jasa ibu bapa yang tiada ternilai harganya. Contohnya, Pak Jumaat bertungkus lumus bekerja sebagai nelayan untuk menyara dan membesarkan anak-anaknya sehingga mereka berjaya menjawat jawatan yang baik.

4. Kasih sayang tidak boleh ditukar ganti dengan wang ringgit. Contohnya, Jimah memulangkan wang pemberian anak-anaknya semula apabila Sabariah mengungkit tentang perkara tersebut.


WATAK DAN PERWATAKAN


Jimah
1. Isteri kepada Pak Jumaat yang menyara hidup
   sebagai nelayan.
2. Ibu kandung kepada Sabri, Sabariah, Salmah, dan Shahrul.
3. Setia menunggu kepulangan suaminya yang hilang di laut.

Sani
1.     Anak angkat Jimah dan Pak Jumaat.
2.     Berumur 28 tahun.
3.     Sudah berkahwin dengan Wan Malini.
4.     Bertugas sebagai doktor.
5.     Taat dan bertanggungjawab terhadap ibu bapa    
         angkatnya di kampung.

Sabariah
  1. Berumur 34 tahun dan sudah berkahwin.
  2. Suka berterus terang, iaitu mengkritik sikap Shahrul yang ingin segera pulang ke Kuala Lumpur.
  3. Gagal mengawal emosi sehingga terlanjur meninggikan suara kepada ibunya.

Shahrul
  1. Berumur 30 tahun dan masih bujang.
  2. Bekerja sebagai akauntan di sebuah bank di Kuala Lumpur.
  3. Lebih mementingkan kerjaya dan wang ringgit daripada ibu bapanya.

LATAR TEMPAT

  1. Di rumah Pak Jumaat. Contohnya, Shahrul meminta Sani memberitahu Jimah tentang hasratnya untuk pulang ke Kuala Lumpur kerana cutinya telah habis.
  1. Di tepi pantai. Contohnya, Jimah setia menanti kepulangan Pak Jumaat yang menjadi mangsa ombak tsunami.

LATAR MASA

Pada waktu pagi hingga senja.


NILAI
  1. Nilai kasih sayang. Contohnya, Jimah dan Pak Jumaat sayang akan anak-anak mereka.
  2. Nilai kegigihan. Contohnya, Pak Jumaat gigih bekerja untuk membesarkan anak-anaknya dan memberikan pendidikan yang sempurna.
  3. Nilai tanggungjawab. Contohnya, Sani pulang menziarahi ibu bapa angkatnya di  kampung pada setiap hujung minggu
PENGAJARAN

1. Kita hendaklah mengenang jasa ibu bapa yang telah banyak berkorban. Contohnya, Sani sering pulang ke kampung untuk menjenguk ibu bapa angkatnya.
2.  Kita hendaklah sentiasa menghormati orang tua. Contohnya, Sani amat menghormati ibu bapa angkatnya, Pak Man dan Mak Jah.
3.    Kiita hendaklah mengamalkan sikap suka menabung. Contohnya, Pak Jumaat menyimpan wang pemberian anak-anaknya di dalam bank.








 

Monday, October 1, 2012

Peranan yang perlu dimainkan oleh ahli keluarga dalam merealisasikan institusi keluarga bahagia


           

             Belakangan ini, isu keruntuhan keluarga semakin meruncing di setiap pelosok dunia. Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kajian menunjukkan bahawa peratusan kepincangan keluarga meningkat secara drastik dari tahun berganti tahun di Malaysia. Mengapakah konflik ini terjadi sedangkan keutuhan institusi keluarga merupakan tunjang utama dalam membina keluarga bahagia? Tepuk dada, tanya selera. Persoalannya, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh ahli keluarga dalam merealisasikan institusi keluarga bahagia?

               Peranan perdana untuk merealisasikan institusi keluarga bahagia perlu dimainkan oleh ibu bapa selaku ketua keluarga. Dalam hal ini, didikan agama dan moral yang teguh dan mantap harus dititikberatkan. Didikan agama dan moral yang sempurna dalam kalangan generasi muda juga dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah keluarga bahagia. Hal ini disebabkan pegangan agama serta nilai moral yang kuat yang dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi dalam kalangan generasi muda. Kualiti ini akan melahirkan ibu dan bapa yang bertanggungjawab serta dapat memikul tugas membangunkan rumah tangga dengan lebih sempurna. Sebagai contoh, golongan yang berpendidikan agama akan mampu mewujudkan persefahaman dan perasaan tolak ansur sesama keluarga. Kesabaran kerana iman yang tebal juga akan mengelakkan keluarga berpecah-belah atas alasan yang kadangkala tidak munasabah. Seandainya ibu bapa memberikan didikan agama yang kukuh serta menerapkan nilai-nilai akhlak dan moral dalam kalangan anak-anak, mereka akan menghormati orang tua serta saling berkerjasama sesama adik-beradik ibarat hati kuman sama dicecah, hati gajah sama dilapah. Jika semangat ini dapat diwujudkan dalam jiwa setiap ahli keluarga oleh ibu bapa, maka sudah pasti sebuah keluarga yang mantap dan harmoni akan dapat dilahirkan.

            Selain ibu bapa, anak-anak juga berperanan dalam usaha untuk merealisasikan institusi keluarga yang bahagia. Dalam hal ini, anak-anak sebagai remaja iaitu orang yang lebih muda haruslah tahu menghormati orang yang lebih tua terutamanya ibu bapa. Anak-anak atau remaja juga mestilah sentiasa mendengar nasihat dan teguran orang yang lebih tua daripada mereka kerana orang yang lebih tua lebih dahulu makan garam daripada mereka. Anak-anak merupakan orang yang bertanggungjawab menjaga maruah keluarga daripada berlakunya sesuatu masalah yang boleh menconteng arang maruah keluarga. Sebagai misalan, apabila anak-anak mempunyai niat untuk melakukan perkara jahat, nasihat daripada orang yang lebih tua dapat mematahkan niat tersebut. Anak-anak atau remaja juga akan lebih menghormati orang yang lebih tua kerana telah memberi nasihat yang baik kepada mereka. Oleh itu, persefahaman dan hubungan yang baik antara anak-anak dan keluarga dapat dijaga. Sekiranya anak-anak sukar mendengar teguran dan keras kepala serta tidak mahu menghormati dan mendengar nasihat orang yang lebih tua daripada mereka, sudah pasti keluarga akan berpecah-belah. Tegasnya, anak-anak memainkan peranan yang penting dalam merealisasikan institusi keluarga bahagia.

             Seterusnya, adik-beradik yang lebih tua seperti abang dan kakak juga boleh memainkan peranan dalam merealisasikan institusi keluarga bahagia. Abang atau kakak boleh menjadi suri teladan kepada adik-adik yang lebih muda. Pendapat ini disokong kerana adik-adik akan mencontohi tingkah laku abang atau kakak mereka. Hal ini berlaku demikian kerana adik-adik yang lebih muda boleh diumpamakan seperti sehijau warna daun. Dalam kata lain, mereka masih mentah dan mudah terikut-ikut dengan perangai orang yang lebih tua seperti abang atau kakak tanpa menghiraukan sama ada perbuatan tersebut betul atau salah. Abang atau kakak tidak seharusnya bersikap seperti ketam yang mengajari anak-anaknya berjalan dengan betul. Selain itu, mereka juga seharusnya menasihati adik-adik mereka dengan penuh kasih sayang apabila melihat adik-adik mereka melakukan perkara negatif. Dalam konteks ini, mereka tidak seharusnya memekakkan telinga dan membutakan mata kerana perbuatan negatif yang dilakukan oleh adik-adik mereka boleh menjatuhkan maruah keluarga. Seandainya, adik-beradik yang lebih tua tidak memainkan peranan mereka, nescaya usaha untuk merealisasikan instistusi keluarga bahagia tidak dapat dilestarikan. Nyatalah bahawa adik-beradik yang lebih tua memainkan peranan penting dalam merealisasikan institusi keluarga bahagia.

               Selain peranan adik-beradik yang lebih tua, pihak yang turut memainkan peranan dalam merealisasikan institusi keluarga bahagia ialah datuk dan nenek. Datuk dan nenek merupakan orang yang paling penting dan memberikan pengaruh yang teramat sangat terhadap sesebuah keluarga selain ibu bapa. Hal ini demikian kerana datuk dan neneklah yang mengasaskan sesebuah keluarga dimana mereka yang melahirkan ibu bapa seterusnya dapat membina sebuah sebuah keluarga yang lengkap. Selaku orang yang lebih tua dalam keluarga, datuk dan nenek memainkan peranan dalam menjaga hubungan keluarga supaya tidak berlaku sebarang perbalahan yang boleh memecah belahkan hubungan kekeluargaan. Untuk mewujudkan keluarga yang bahagia, datuk dan nenek perlu sentiasa mengambil berat dan bersikap menjaga tepi kain ahli keluarga dengan sentiasa bertanya kepada anak-anak, cucu-cucu serta ahli keluarga yang lain tentang masalah yang mereka hadapi. Apabila mengetahui sesuatu masalah berlaku dalam keluarga, nenek daan datuk haruslah bekerjasama membantu membimbing mereka untuk menyelesaikan masalah tersebut. Sebagai contoh, datuk dan nenek perlu memperihalkan cerita-cerita  orang dulu-dulu yang penuh dengan nilai murni supaya dapat memberi pengajaran kepada keluarga mereka. Selain itu, datuk dan nenek juga dapat memberi pendedahan tentang pantang larang dan adat resam yang diamalkan oleh orang tua-tua dahulu dalam usaha untuk membentuk keluarga yang bahagia. Sekiranya, datuk dan nenek tidak menghiraukan keluarga mereka, sudah tentu akan berlaku pergolakan dalam keluarga. Jelaslah bahawa datuk dan nenek berperanan dalam merealisasikan institusi keluarga bahagia.

             Di samping itu, peranan kaum kerabat yang lain seperti bapa saudara, ibu saudara dan sepupu juga penting dalam merealisasikan institusi keluarga bahagia. Mereka tidak seharusnya bersikap seperti enau dalam belukar dengan tidak menghiraukan terhadap perkara yang
berlaku kepada ahli keluarga walaupun hanya sekadar bau-bau bacang. Ibu saudara dan bapa saudara adalah ibu bapa kedua kepada anak-anak , mereka ialah pengganti atau wali kepada anak-anak saudara mereka, dengan itu wajarlah mereka mengambil tahu perihal semasa anak-anak saudara mereka. Nasihat dan tunjuk ajar secara berterusan hendaklah diberikan tanpa jemu. Teguran atau larangan yang membina pula mesti dibuat tatkala melihat aksi-aksi “terlarang” anak-anak saudara mereka seperti merempit, melepak di pusat beli-belah, ponteng sekolah dan sebagainya. Penularan gejala sosial ini sememangnya sukar dibendung apatah lagi pada zaman canggih, Ipod, Iphone dan SMS ini. Seterusnya, jika nasihat itu ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri, laporkanlah hal tersebut kepada ibu bapa anak-anak tersebut. Selain itu, watak sepupu terutamanya sepupu yang sebaya mestilah dilakonkan dengan baik. Sepupu yang sebaya sebenarnya mempunyai pengaruh yang besar kepada diri anak-anak. Mereka merupakan kawan kepada anak-anak kerana pemikiran mereka hampir-hampir sama disebabkan faktor usia. Anak-anak akan lebih mempercayai sepupunya berbanding kawannya kerana mempunyai pertalian darah. Hal ini secara tidak langsung mencungkil sedikit demi sedikit masalah dan perasaaan anak-anak. Sudah terang lagi bersuluh, tanggungjawab kaum kerabat yang jauh atau dekat amatlah penting dalam memastikan keruntuhan institusi keluarga tidak berlaku.

           Kesimpulannya, terdapat banyak peranan yang boleh dimainkan oleh pelbagai pihak. Oleh itu, semua ahli keluarga perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk merealisasikan institusi keluarga bahagia. Marilah kita bersama-sama merealisasikan keluarga bahagia kerana sesebuah keluarga bahagia akan melahirkan insan cemerlang, gemilang dan terbilang demi memajukan negara kita yang tercinta.


Disediakan oleh:
Maisarah Azwin binti Mansor
Nurul Izzati Afiqah binti Zaiali
 Norsyafiqah binti Sanusi
Athirah binti Bakri 4st1 2012


Sunday, February 26, 2012

Kecelaruan tingkah laku seperti keganasan dalam kalangan pelajar kian leluasa di sekolah.

Apakah langkah-langkah yang dapat dipraktikkan oleh ibu bapa bagi mengelakkan anak-anak berkelakuan liar?

Belakangan ini, kecelaruan tingkah laku seperti keganasan dalam kalangan pelajar kian leluasa di sekolah. Banyak guru enggan memegang jawatan guru disiplin apabila memikirkan risiko yang bakal dihadapi mereka. Antara pengalaman pahit guru disiplin termasuklah dipukul oleh pelajar dan harta benda mereka dirosakkan oleh pelajar nakal. Sebelum nasi menjadi bubur, langkah-langkah pencegahan perlulah dilaksanakan agar masalah tersebut tidak menjadi tokok dan nanah dalam diri pelajar. Persoalanya, apakah langkah-langkah yang dapat dipraktikkan oleh ibu bapa bagi mengelakkan anak-anak berkelakuan liar?

Prakarsa perdana bagi mengelakkan anak-anak berkelakuan liar dan ganas ialah ibu bapa perlulah menjadi suri teladan dalam keluarga. Hal ini demikian kerana kebanyakan pelajar akan terikut-ikut dengan tingkah laku ibu bapa mereka bersesuain dengan peribahasa bagaimana gendang begitulah tarinya. Oleh itu, ibu bapa hendaklah menjadi ikon dalam keluarga mereka dengan berkelakuan lemah lembut, baik hati, penyayang dan menunjukkan contoh teladan yang baik di hadapan anak-anak. Perkara ini secara tidak langsung dapat membentuk sahsiah dan akhlak anak-anak menjadi-jadi lebih baik. Andai kata, ibu bapa tidak menjadi suri telandan dalam keluarga sebaliknya berkelakuan tidak senonoh di hadapan anak-anak, sudah tentu kelakuan liar anak-anak tidak dapat dielakkan. Sesungguhnya, peranan ibu bapa yang menjadi suri teladan dalam keluarga merupakan salah satu langkah yang efektif bagi mengelakkan anak-anak berkelakuan liar dan ganas.

Selain itu,ibu bapa juga perlu memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak dari kecil lagi bagi mengelakkan mereka berkelakuan liar .Hal ini sangat penting kerana melalui didikan agama yang sempurna,anak-anak boleh membezakan perkara yang baik dan buruk seterusnya dapat mengelakkan anak-anak berkelakuan liar dan ganas.Dalam aspek ini ,ibu bapa perlulah memberitahu anak-anak mereka kesan dan akibat sekiranya berkelakuan kurang sopan.Bukan itu sahaja,ibubapa juga perlulah menetapkan nilai-nilai murni seperti kasih sayang,baik hati dan lain-lain didalam diri anak-anak .Andai kata,ibu bapa tidak memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak dari kecil lagi sudah pasti perlakuan liar anak-anak tidak dapat dibendung kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pendek kata, didikan agama yang sempurna perlu diberikan kepada anak-anak sejak kecil lagi bagi mengelakkan mereka berkelakuan liar dan ganas apabila mencecah ke usia remaja kelak.

Seterusnya,langkah dogmatik yang dapat dipraktikkan oleh ibu bapa bagi mengelakkan anak-anak mereka berkelakuan liar dan ganas ialah mengamalkan cara hidup positif .Hal ini demikian kerana pemikiran dan sifat anak-anak dipengaruhi oleh kawasan persekitaran .Sebagai contoh ,sekiranya cara hidup seseorang remaja itu negatif seperti ibu bapa tidak prihatin,panas barang dan tidak bertanggungjawab ,berkemungkinan remaja tersebut akan berkelakuan ganas dan liar kerana terpengaruh dengan cara hidup negative ibu bapa mereka tersebut .Jadi,ibu bapa disarankan untuk mengamalkan cara hidup positif seperti prihatin dan bertanggung-jawab terhadap anak-anak .Ibu bapa juga seyogianya mewujudkan suasana yang harmoni dalam keluarga supaya pemikiran anak-anak menjadi lebih baik dan sihat .Seandainya,ibu bapa mengamalkan cara hidup positif nescaya mereka akan melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia bukannya anak-anak yang berkelakuan liar dan ganas. Sudah terang lagi bersuluh,peranan ibu bapa dalam mengamalkan cara hidup positif merupakan salah satu langkah yang terbaik bagi mengelakkan anak-anak mereka berkelakuan liar dan ganas.

Di samping itu, ibu bapa perlulah mengambil tindakan yang tegas dan memberi nasihat secara berterusan kepada anak-anak bagi mengelakkan anak-anak mereka berkelakuan liar dan ganas. Hal ini sangat penting kerana melalui tindakan yang tegas, anak-anak berasa takut untuk berkelakuan kurang sopan di hadapan orang tua mereka. Bukan itu sahaja, nasihat juga dapat membetulkan minda anak-anak. Sebagai contoh, apabila ibu bapa sentiasa memberi nasihat tentang keburukan dan kesan berkelakuan liar dan ganas kepada anak-anak, mereka akan berfikir dahulu sebelum bertindak sama ada perkara yang ingin dilakukan itu perkara yang hak atau batil. Hal ini secara tidak langsung dapat menghindarkan diri anak-anak berkelakuan tidak bermoral. Sekiranya, ibu bapa tidak menghiraukan anak-anaknya dan bersikap seperti enau di dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing, sudah pasti anak-anak mereka akan berkelakuan liar dan ganas. Pendek kata, ibu bapa perlulah mengambil tindakakan tegas dan memberi nasihat secara berterusan bagi mengelakkan anak-anak berkelakuan liar dan ganas.

Seterusnya, pemantauan perlakuan anak-anak semasa di luar rumah dan di sekolah juga boleh dipraktikkan oleh ibu bapa bagi mengelakkan anak-anak mereka berkelakuan liar dan ganas. Hal ini demikian kerana anak-anak akan berwaspada dan menjaga tingkah laku mereka ketika berada laur rumah dan di sekolah kerana mereka mengetahui bahawa ibu bapa mereka sedang mengawasi dan memantau perlakuan mereka. Sebagai contoh, anak-anak berasa akurang senang untuk memoteng, melepak, melakukan vandalisme di tempat awam kerana ada mata-mata yang melihat dan melaporkan kepada ibu bapa mereka. Andai kata, ibu bapa tidak memantau perlakuan anak-anak mereka semasa di luar rumah dan di sekolah sudah tentu kelakuan liar dan ganas anak-anak tidak akan terus membarah dan menjadi virus epidemik di negara kita. Sesungguhnya ,pemantauan ibu bapa tentang perlakuan anak-anak mereka semasa di luar rumah mahupun sekolah merupakan insiatif yang prakmatik bagi mengelakkan perlakuan liar dan ganas anak-anak.

Intihanya, terdapat pelbagai langkah yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa bagi mengelakkan anak-anak berkelakuan liar dan ganas. Kelakuan tersebut perlu perlu dikenkang dengan segera bagi melahirkan pelajar yang bersahsiah tinggi, berbudi pekerti dan memiliki minda kelas pertama. Hal ini sangat penting kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang Negara. Oleh itu, begitu peri vitalnya para ibu bapa berusaha bagi mempraktikkan langkah-langkah yang terbaik bagi mengelakkan anak-anak berkelakuan liar dan ganas.

Nur Syahzanan Binti Alwi
5ST1 2012

Sunday, February 19, 2012

ISU GEJALA SAMSENG DI SEKOLAH SEMAKIN LELUASA SEHINGGA MEMBIMBANGKAN BANYAK PIHAK. PADA PENDAPAT ANDA, APAKAH PUNCA BERLAKUNYA GEJALA SAMSENG INI?

Sedasarwarsa ini, isu gejala samseng di sekolah sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia. Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia, peratus gejala samseng meningkat secara drastik dari semasa ke semasa sekali gus menyebabkan imej negara tercalar di persada dunia. Rekod polis telah menunjukkan ramai dalam kalangan pelajar yang cerdik pandai telah menjadi bagai pelanduk di cerang rimba akibat gejala buli yang semakin ganas. Dalam hal ini,apakah punca gejala samseng yang menjadi duri dalam daging institusi pendidikan di negara ini?

Punca perdana yang mendorong aktiviti gejala samseng ini adalah ramai dalam kalangan pelajar kurang mendapat kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa. Hal ini demikian kerana dengan kurangnya kasih sayang daripada ibu bapa, seseorang itu akan menjadi lebih liar dan sukar dikawal oleh penjaganya. Kebiasaannya, pelajar samseng akan mempunyai sikap hedonisme dan bertindak mengikut nafsu. Lantaran itu, apabila nafsu mereka tidak dipenuhi, mereka akan melepaskan geram tersebut kepada seseorang. Hal ini jelas membuktikan bahawa mereka jarang menggunakan akal fikiran mereka yang waras dalam membuat sesuatu keputusan dan pertimbangan, persis kata orang tua-tua, akal itu menteri yang menasihati, hati itu ialah raja yang menentukan, nafsu ialah rasuah yang akan menggulingkan menteri dan raja itu. Gejala samseng ini berlaku apabila pelajar yang lemah dan muda daripada mereka menjadi sasaran utama bagi samseng yang ingin memuaskan nafsunya. Sebagai contoh, pembuli tingkatan empat yang tidak dapat merokok untuk seharian suntuk akan melepaskan perasaan yang terpendam terhadap mangsa yang berada di tingkatan dua iaitu pelajar yang lebih muda daripadanya. Jika ibu bapa memberi perhatian dan kasih sayang yang secukupnya terhadap anak mereka, maka gejala buli ini akan berkurangan dan mungkin akan menemui titik noktahnya. Jelaslah bahawa, isu gejala samseng di dada akhbar dapat dikurangkan apabila ibu bapa memberi perhatian dan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak mereka.

Dalam pada itu, pelajar kurang mendapat didikan agama dan moral secukupnya merupakan pencetus gejala samseng di sekolah. Dalam Al-Quran telah dijelaskan bahawa Islam merupakan agama yang syumul justeru Islam menyeru umat mansia melakukan kebaikan dan melarang umat manusia melakukan kejahatan. Bertitik tolak daripada kenyataan tersebut, pelajar yang kurang didikan agama dan moral sudah pasti tidak tahu membezakan antara buruk dan baik. Selain itu,mereka juga tidak mempunyai misi hidup seperti kapal yang berlayar tanpa haluan. Sehubungan dengan itu, mereka sering melakukan sesuatu perkara tanpa memikirkan impaknya pada kemudian hari. Tambahan pula,umur mereka yang setahun jagung itu menyebabkan mereka tidak pernah terlintas yang masa depan mereka semakin kabur apabila mereka menjadi seorang samseng. Tamsilnya, seorang pelajar yang bergelar samseng di sekolah mungkin tidak dapat melanjutkan pelajaran mereka ke menara gading sebaliknya menghabiskan hidup dengan aktiviti yang tidak berfaedah. Seandainya pelajar mendapat didikan ilmu agama dan moral yang mustaid, sudah pasti gejala samseng dapat dikekang dengan mudah. Tegasnya, pelajar yang kurang didikan agama dan moral mudah terdorong menjadi seorang samseng yang seterusnya menjadi barah kepada masyarakat.

Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga merupakan salah satu faktor gejala samseng leluasa dalam kalangan pelajar di sekolah. Hal ini terjadi demikian kerana rakan sebaya akan mempengaruhi pertumbuhan sosial seseorang pelajar. Secara psikologi, gerak gerik dan perlakuan pelajar yang negatif lebih kuat pengaruhnya ke atas pelajar yang berkawan dan rapat dengannya. Pelajar yang menyimpang tingkah lakunya akan mencuba untuk mempengaruhi kawan-kawannya yang untuk menyertai tindakannya yang negatif itu. Di sebuah sekolah, pelajar bebas bergaul antara satu sama lain tanpa memikirkan bangsa,latar belakang dan kaum yang berbeza-beza yang dihimpunkan di dalam satu institusi pendidikan yang sama. Oleh itu, pelajar yang menjadi samseng itu dianggap sebagai nila setitik yang merosakkan susu sebelanga. Sebagai contoh, pelajar yang menjadi samseng akan menyebabkan prestasi sekolah itu menurun dan pada masa yang sama menjejaskan nama baik sekolah itu kesuluruhannya. Sekiranya pelajar menjauhi gejala samseng ,prestasi sesebuah sekolah akan terpelihara. Sudah terang lagi bersuluh, gejala samseng di sekolah dapat diatasi jika seseorang pelajar itu memilih rakan sebaya yang cenderung ke arah kelakuan positif .

Di samping itu,media massa merupakan penyumbang utama kepada gejala samseng dalam kalangan belia di bangku sekolah.Program-program televisyen khasnya, lebih mementingkan hiburan daripada menyebarkan maklumat yang bermanfaat. Tayangan-tayangan filem Barat dan Hindustan contohnya, telah menolak unsur-unsur ketimuran yang sebati dalam jiwa remaja terutama pelajar sekolah. Adegan-adegan lucah telah menjadi halwa mata yang menjadi keutamaan bagi mereka. Jadi, apabila filem tersebut dipertontonkan, sudah tentu golongan remaja amnya, akan meniru gaya dan aksi artis pujaan mereka. Natijahnya wujudlah budaya ‘punk’, bertindik di telinga kiri bagi lelaki, seks bebas, dan lebih dahsyat lagi gejala samseng yang semakin leluasa. Secara tidak langsung, aktiviti ini mencetus kemelut jati diri bagi remaja yang sedang mencari identiti diri seterusnya terlibat dalam gejala hedonisme ini.Seandainya, media massa menapis kandungan filem tersebut,kemungkinan peratus pelajar yang terjerumus dalam gejala samseng dapat dikurangkan.Pendek kata, media massa juga merupakan faktor utama gejala samseng semakin leluasa di sekolah.

Jika ditinjau dari aspek pendidikan pula, terdapat banyak ruang kosong yang harus dipenuhi bagi mengatasi gejala samseng di sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana sistem pendidikan di Malaysia lebih banyak menekankan kecemerlangan akademik berbanding sahsiah.Pelajar sering di ajar cara untuk menjawab soalan bagi menghadapi peperiksaan berbanding cara untuk menjadi insan yang bersahsiah demi menjalani kehidupan yang sebenar. Sebagaimana yang kita sedia maklum, Kementerian Pendidikan Malaysia sering menguji pelajar dari aspek pendidikan seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah(UPSR),Penilaian Menengah Rendah(PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) berbanding sahsiah yang hanya diajar melalui subjek Sivik dan Kewarganegaraan.Berdasarkan sejarah,tamadun yang berjaya ialah masyarakat yang mempunyai adab dan sahsiah yang tinggi .Jika kerajaan memberikan penekanan sedikit terhadap pendidikan sahsiah pelajar, maka sudah pasti gejala samseng di sekolah akan berkurangan.Sesungguhnya, kerajaan harus menggubal satu sistem pendidikan negara yang lebih mementingkan sahsiah bagi mengatasi gejala samseng di sekolah.

Tuntasnya, isu gejala samseng di sekolah tidak seharusnya dibiarkan terus merebak. Semua pihak seharusnya bersinergi mengatasi gejala samseng ini yang sudah pastinya banyak memberi onar kepada banyak pihak. Ibu bapa memainkan peranan peri vital kerana mereka merupakan ihsan yang paling rapat dengan para remaja. Aforisme pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara menunjukkan betapa pentingnya remaja kepada negara. Oleh sebab itu, generasi sekarang yang sudah tersasar dari landasan yang benar perlu ditarik balik untuk kembali ke pangkal jalan agar negara kita mampu melahirkan generasi minda kelas pertama yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik malahan juga cemerlang dalam bidang akademik.

Disediakan oleh: Mohd Saifullah B. Mohd Salman
5ST1 2012