pengunjung

Monday, October 1, 2012

Peranan yang perlu dimainkan oleh ahli keluarga dalam merealisasikan institusi keluarga bahagia


           

             Belakangan ini, isu keruntuhan keluarga semakin meruncing di setiap pelosok dunia. Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kajian menunjukkan bahawa peratusan kepincangan keluarga meningkat secara drastik dari tahun berganti tahun di Malaysia. Mengapakah konflik ini terjadi sedangkan keutuhan institusi keluarga merupakan tunjang utama dalam membina keluarga bahagia? Tepuk dada, tanya selera. Persoalannya, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh ahli keluarga dalam merealisasikan institusi keluarga bahagia?

               Peranan perdana untuk merealisasikan institusi keluarga bahagia perlu dimainkan oleh ibu bapa selaku ketua keluarga. Dalam hal ini, didikan agama dan moral yang teguh dan mantap harus dititikberatkan. Didikan agama dan moral yang sempurna dalam kalangan generasi muda juga dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah keluarga bahagia. Hal ini disebabkan pegangan agama serta nilai moral yang kuat yang dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi dalam kalangan generasi muda. Kualiti ini akan melahirkan ibu dan bapa yang bertanggungjawab serta dapat memikul tugas membangunkan rumah tangga dengan lebih sempurna. Sebagai contoh, golongan yang berpendidikan agama akan mampu mewujudkan persefahaman dan perasaan tolak ansur sesama keluarga. Kesabaran kerana iman yang tebal juga akan mengelakkan keluarga berpecah-belah atas alasan yang kadangkala tidak munasabah. Seandainya ibu bapa memberikan didikan agama yang kukuh serta menerapkan nilai-nilai akhlak dan moral dalam kalangan anak-anak, mereka akan menghormati orang tua serta saling berkerjasama sesama adik-beradik ibarat hati kuman sama dicecah, hati gajah sama dilapah. Jika semangat ini dapat diwujudkan dalam jiwa setiap ahli keluarga oleh ibu bapa, maka sudah pasti sebuah keluarga yang mantap dan harmoni akan dapat dilahirkan.

            Selain ibu bapa, anak-anak juga berperanan dalam usaha untuk merealisasikan institusi keluarga yang bahagia. Dalam hal ini, anak-anak sebagai remaja iaitu orang yang lebih muda haruslah tahu menghormati orang yang lebih tua terutamanya ibu bapa. Anak-anak atau remaja juga mestilah sentiasa mendengar nasihat dan teguran orang yang lebih tua daripada mereka kerana orang yang lebih tua lebih dahulu makan garam daripada mereka. Anak-anak merupakan orang yang bertanggungjawab menjaga maruah keluarga daripada berlakunya sesuatu masalah yang boleh menconteng arang maruah keluarga. Sebagai misalan, apabila anak-anak mempunyai niat untuk melakukan perkara jahat, nasihat daripada orang yang lebih tua dapat mematahkan niat tersebut. Anak-anak atau remaja juga akan lebih menghormati orang yang lebih tua kerana telah memberi nasihat yang baik kepada mereka. Oleh itu, persefahaman dan hubungan yang baik antara anak-anak dan keluarga dapat dijaga. Sekiranya anak-anak sukar mendengar teguran dan keras kepala serta tidak mahu menghormati dan mendengar nasihat orang yang lebih tua daripada mereka, sudah pasti keluarga akan berpecah-belah. Tegasnya, anak-anak memainkan peranan yang penting dalam merealisasikan institusi keluarga bahagia.

             Seterusnya, adik-beradik yang lebih tua seperti abang dan kakak juga boleh memainkan peranan dalam merealisasikan institusi keluarga bahagia. Abang atau kakak boleh menjadi suri teladan kepada adik-adik yang lebih muda. Pendapat ini disokong kerana adik-adik akan mencontohi tingkah laku abang atau kakak mereka. Hal ini berlaku demikian kerana adik-adik yang lebih muda boleh diumpamakan seperti sehijau warna daun. Dalam kata lain, mereka masih mentah dan mudah terikut-ikut dengan perangai orang yang lebih tua seperti abang atau kakak tanpa menghiraukan sama ada perbuatan tersebut betul atau salah. Abang atau kakak tidak seharusnya bersikap seperti ketam yang mengajari anak-anaknya berjalan dengan betul. Selain itu, mereka juga seharusnya menasihati adik-adik mereka dengan penuh kasih sayang apabila melihat adik-adik mereka melakukan perkara negatif. Dalam konteks ini, mereka tidak seharusnya memekakkan telinga dan membutakan mata kerana perbuatan negatif yang dilakukan oleh adik-adik mereka boleh menjatuhkan maruah keluarga. Seandainya, adik-beradik yang lebih tua tidak memainkan peranan mereka, nescaya usaha untuk merealisasikan instistusi keluarga bahagia tidak dapat dilestarikan. Nyatalah bahawa adik-beradik yang lebih tua memainkan peranan penting dalam merealisasikan institusi keluarga bahagia.

               Selain peranan adik-beradik yang lebih tua, pihak yang turut memainkan peranan dalam merealisasikan institusi keluarga bahagia ialah datuk dan nenek. Datuk dan nenek merupakan orang yang paling penting dan memberikan pengaruh yang teramat sangat terhadap sesebuah keluarga selain ibu bapa. Hal ini demikian kerana datuk dan neneklah yang mengasaskan sesebuah keluarga dimana mereka yang melahirkan ibu bapa seterusnya dapat membina sebuah sebuah keluarga yang lengkap. Selaku orang yang lebih tua dalam keluarga, datuk dan nenek memainkan peranan dalam menjaga hubungan keluarga supaya tidak berlaku sebarang perbalahan yang boleh memecah belahkan hubungan kekeluargaan. Untuk mewujudkan keluarga yang bahagia, datuk dan nenek perlu sentiasa mengambil berat dan bersikap menjaga tepi kain ahli keluarga dengan sentiasa bertanya kepada anak-anak, cucu-cucu serta ahli keluarga yang lain tentang masalah yang mereka hadapi. Apabila mengetahui sesuatu masalah berlaku dalam keluarga, nenek daan datuk haruslah bekerjasama membantu membimbing mereka untuk menyelesaikan masalah tersebut. Sebagai contoh, datuk dan nenek perlu memperihalkan cerita-cerita  orang dulu-dulu yang penuh dengan nilai murni supaya dapat memberi pengajaran kepada keluarga mereka. Selain itu, datuk dan nenek juga dapat memberi pendedahan tentang pantang larang dan adat resam yang diamalkan oleh orang tua-tua dahulu dalam usaha untuk membentuk keluarga yang bahagia. Sekiranya, datuk dan nenek tidak menghiraukan keluarga mereka, sudah tentu akan berlaku pergolakan dalam keluarga. Jelaslah bahawa datuk dan nenek berperanan dalam merealisasikan institusi keluarga bahagia.

             Di samping itu, peranan kaum kerabat yang lain seperti bapa saudara, ibu saudara dan sepupu juga penting dalam merealisasikan institusi keluarga bahagia. Mereka tidak seharusnya bersikap seperti enau dalam belukar dengan tidak menghiraukan terhadap perkara yang
berlaku kepada ahli keluarga walaupun hanya sekadar bau-bau bacang. Ibu saudara dan bapa saudara adalah ibu bapa kedua kepada anak-anak , mereka ialah pengganti atau wali kepada anak-anak saudara mereka, dengan itu wajarlah mereka mengambil tahu perihal semasa anak-anak saudara mereka. Nasihat dan tunjuk ajar secara berterusan hendaklah diberikan tanpa jemu. Teguran atau larangan yang membina pula mesti dibuat tatkala melihat aksi-aksi “terlarang” anak-anak saudara mereka seperti merempit, melepak di pusat beli-belah, ponteng sekolah dan sebagainya. Penularan gejala sosial ini sememangnya sukar dibendung apatah lagi pada zaman canggih, Ipod, Iphone dan SMS ini. Seterusnya, jika nasihat itu ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri, laporkanlah hal tersebut kepada ibu bapa anak-anak tersebut. Selain itu, watak sepupu terutamanya sepupu yang sebaya mestilah dilakonkan dengan baik. Sepupu yang sebaya sebenarnya mempunyai pengaruh yang besar kepada diri anak-anak. Mereka merupakan kawan kepada anak-anak kerana pemikiran mereka hampir-hampir sama disebabkan faktor usia. Anak-anak akan lebih mempercayai sepupunya berbanding kawannya kerana mempunyai pertalian darah. Hal ini secara tidak langsung mencungkil sedikit demi sedikit masalah dan perasaaan anak-anak. Sudah terang lagi bersuluh, tanggungjawab kaum kerabat yang jauh atau dekat amatlah penting dalam memastikan keruntuhan institusi keluarga tidak berlaku.

           Kesimpulannya, terdapat banyak peranan yang boleh dimainkan oleh pelbagai pihak. Oleh itu, semua ahli keluarga perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk merealisasikan institusi keluarga bahagia. Marilah kita bersama-sama merealisasikan keluarga bahagia kerana sesebuah keluarga bahagia akan melahirkan insan cemerlang, gemilang dan terbilang demi memajukan negara kita yang tercinta.


Disediakan oleh:
Maisarah Azwin binti Mansor
Nurul Izzati Afiqah binti Zaiali
 Norsyafiqah binti Sanusi
Athirah binti Bakri 4st1 2012


8 comments:

  1. Terima kasih , sebab karangan nie saya dah ada idea :) hehe

    ReplyDelete
  2. terima kasih, karangan ini memang hebat , saya dapat mengetahui peranan dan tanggungjawab setiap anggota keluarga dalam merealisasikan institusi keluarga yang bahagia

    ReplyDelete
  3. Bagus lah karangan nie👍👍👍

    ReplyDelete
  4. Bagus lah karangan nie👍👍👍

    ReplyDelete