pengunjung

Sunday, July 25, 2010

KARANGAN: Peranan anda untuk membanteras kegiatan lumba motosikal haram daripada terus leluasa?

Kegiatan lumba motosikal haram sering dilakukan oleh golongan remaja. Kegiatan lumba motosikal haram telah mendatangkan impak negatif kepada diri, masyarakat, dan negara. Sebagai remaja yang prihatin, apakah peranan anda untuk membanteras kegiatan ini daripada terus leluasa?



Kegiatan lumba motosikal haram semakin menjadi-jadi pada masa kini sehingga boleh dikatakan sudah menjadi tokak dan nanah kepada negara. Baru-baru ini rancangan 999 di TV3 telah menyiarkan kegiatan lumba motosikal haram dan melalui rancangan tersebut didapati majoriti pelumba haram ialah golongan remaja. Golongan remaja merupakan aset penting negara yang akan memimpin kita pada zaman atom akan datang. Seandainya, kebanyakan remaja kita terlibat dengan kegiatan lumba haram nescaya negara kita tidak akan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Pelbagai minhaj yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan saya sebagai remaja yang prihatin turut berganding bahu dengan pihak kerajaan dalam membanteras masalah ini. Oleh itu, terdapat variasi peranan yang boleh saya mainkan dalam membanteras kegiatan lumba motosikal haram di negara ini.



Peranan perdana yang akan saya lakukan bagi membanteras kegiatan lumba motosikal haram di negara kita ialah saya akan mengajak dan membimbing rakan-rakan saya daripda terus terjebak dalam kegiatan lumba haram. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja mudah terikut-ikut dengan perbuatan rakan sebaya. Demi memastikan rakan-rakan saya tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram, saya akan mendedahkan keburukan kegiatan lumba haram kepada mereka. Jika rakan saya meminati perlumbaan bermotor, saya akan menasihati mereka supaya mereka meyertai perlumbaan di litar yang dibenarkan oleh pihak kerajaan. Dasawarsa ini, banyak litar perlumbaan motosikal telah dibina seperti cendawan tumbuh selepas hujan di negara kita. Oleh itu, saya akan menasihati mereka supaya mereka melakukan anjakan paradigma daripada terjebak dengan lumba haram kerana perlumbaan haram boleh mengorbankan nyawa. Andai kata, saya tidak membimbing dan menasihati mereka, sudah pasti mereka akan hanyut dalam kegiatan lumba haram. Tegasnya, saya akan mengajak dan membimbing rakan-rakan saya supaya meninggalkan kegiatan perlumbaan motosikal haram ini dan seterusnya kegiatan lumba motosikal haram ini dapat dibanteras.


Seterusnya, pada hemat saya, para remaja juga boleh membanteras kegiatan ini daripada leluasa dengan mencadangkan pelbagai aktiviti yang bermanfaat kepada pihak sekolah. Pihak sekolah melalui kaunselor boleh melancarkan pelbagai program atau kempen yang bertujuan untuk membendung serta membanteras gejala lumba motosikal haram yang sering dilakukan oleh golongan remaja. Program yang dianjurkan oleh pihak kaunselor ini diharapkan mampu memberikan kesedaran dan keinsafan kepada pelumba- pelumba cilik di sekolah saya. Antara program yang boleh dilaksanakan adalah seperti mengadakan ceramah- ceramah kesedaran kepada para pelajar khususnya pelajar bermasalah yang sering terlibat dalam kegiatan ini. Sekiranya pihak sekolah dan kaunselor sama- sama berkolaboratif dalam menjayakan kempen membanteras kegiatan lumba motosikal haram di sekolah saya akan menurun. Jelaslah bahawa pihak sekolah melalui pihak kaunselor mestilah berganding bahu untuk melancarkan kempen dan program bagi membendung kegiatan ini daripada menjadi tokak dalam nadi kehidupan masyarakat dan negara.


Di samping itu, saya juga akan mengkhabarkan berita mengenai kegiatan lumba motosikal haram yang melibatkan kenalan saya kepada ibu bapa mereka. Hal ini demikian kerana ibu bapa merupakan orang yang bertanggungjawab dalam mendidik dan memantau setiap aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Ibu bapa haruslah sentiasa mengambil berat perihal anak- anak mereka meskipun ketika anak- anak mereka melakukan aktiviti luar rumah. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah sentiasa memantau gerak-geri kerja anak- anak mereka terutamanya pada musim cuti persekolahan. Jika ibu bapa tidak memantau gerak- geri kerja anak mereka, sudah pasti anak- anak mereka mengambil peluang keemasan ini untuk melakukan aktiviti yang tidak bermoral seperti lumba motosikal haram. Oleh itu, sebagai remaja yang prihatin, saya akan melaporkan kegiatan lumba motosikal haram yang dilakukan oleh rakan- rakan saya kepada ibu bapa mereka sebelum masalah ini semakin membarah kerana pepatah Melayu ada mengatakan sediakan payung sebelum hujan.


Seterusnya, saya juga akan melaporkan kegiatan lumba haram yang semakin meruncing pada hari ini kepada pihak berkuasa supaya masalah ini tidak terus bermaharajalela dan membelenggu masyarakat kita. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak berkuasa seperti pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) merupakan agensi utama dalam membanteras masalah ini. Pihak berkuasa haruslah mempunyai modus operandi yang signifikan dalam membasmi kegiatan ini iaitu dengan mengadakan sekatan jalan raya dan rondaan di kawasan yang disyaki menjadi tempat lumba haram. Sekiranya saya tidak memainkan peranan saya iaitu dengan melaporkan kegiatan lumba haram kepada pihak berkuasa dan sekadar melakukannya seperti melepaskan batuk di tangga sahaja, sudah tentu kegiatan ini akan berlarutan dan menghantui kehidupan masyarakat kita. Sudah terang lagi bersuluh bahawa tanggungjawab saya sebagai seorang remaja yang prihatin amat membantu pihak kerajaan dalam mensifarkan kegiatan lumba haram di negara kita.


Tambahan pula, sebagai seorang remaja yang prihatin, saya juga akan mencadangkan tempat khusus untuk remaja berlumba kepada pihak kerajaan. Melalui cara ini kegiatan lumba haram dapat dikurangkan sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Pihak kerajaan perlu menyediakan lebih banyak litar lumba di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan remaja untuk menarik minat mereka agar tidak terjebak dalam kegiatan lumba haram. Litar-litar yang disediakan perlu dititikberatkan dari aspek keselematan dan mempunyai sistem pengurusan yang sistematik di samping mengenakan kos yang lebih rendah agar remaja lebih berminat untuk mengunjunginya. Sekiranya pihak kerajaan tidak melaksanakan cadangan ini maka kegiatan lumba haram akan terus berleluasa dan menjadi bertambah serius. Sudah terang lagi bersuluh, saya juga akan mencadangkan tempat-tempat khusus untuk remaja berlumba kepada pihak kerajaan bagi membanteras kegiatan lumba haram bagi terus leluasa.


Konklusinya, kegiatan lumba motosikal haram yang dilakukan oleh golongan remaja sememangnya mendatangkan impak negatif kepada diri, masyarakat dan negara malah turut menjadi virus epidemik yang akan menjatuhkan imej negara di mata dunia luar. Oleh sebab itu, begitu peri vitalnya remaja menyedari peranan mereka dalam membanteras kegiatan haram ini. Sebelum nasi menjadi bubur, kita sebagai remaja haruslah menggembleng tenaga untuk mengatasi kegiatan lumba motosikal haram ini daripada terus leluasa. Dengan mengetahui tanggungjawab kita sebagai seorang remaja, seyogia negara dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sekali gus meminimumkan statistik kematian di negara Malaysia.

PERBINCANGAN 5ST1 2010

2 comments:

  1. mantap karangan cikgu ini.....harap cikgu dapat memberi tips2 untuk buat karangan yg hebat....

    ReplyDelete