pengunjung

Sunday, September 6, 2015

KEBAIKAN KEDATANGAN PEKERJA ASING KEPADA NEGARA MALAYSIA



KEBAIKAN KEDATANGAN PEKERJA ASING KEPADA NEGARA  MALAYSIA

Bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Perumpamaan terbabit amat sinonim dengan senario kebanjiran pekerja asing di negara kita pada era cetusan idea ini. Memang tidak dapat dinafikan, kepesatan perkembangan ekonomi dan kekukuhan politik di negara kita telah berjaya membuka mata para pekerja asing sehingga telah mendorong mereka untuk berhijrah ke sini kerana bak kata pepatah, ada gula adalah semut. Kedatangan golongan ini yang bertali arus tidak dapat dinafikan telah membawa perubahan kepada kemajuan negara Malaysia. Bertepatan dengan hasrat Wawasan 2020 cetusan idea Tun. Dr. Mahathir Mohamed yang ingin menjadikan negara Malaysia mampu berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan negara-negara maju lain, pekerja asing telah berupaya menjadi salah satu medium bagi menjayakan hasrat itu. Persoalannya, apakah kebaikan kedatangan pekerja asing kepada negara kita, Malaysia?

Mari kita mulakan perbincangan kita terhadap kepentingan pekerja asing dalam aspek pengukuhan ekonomi negara. Pekerja asing berkemahiran tinggi seperti jurutera, arkitek, pensyarah, dan sebagainya amat diperlukan bagi meningkatkan pembangunan ekonomi negara kerana mereka mampu untuk berkongsi idea dan memberi tunjuk ajar kepada rakyat Malaysia. Sebagai contoh, jurutera automobil yang diimport dari Jepun pada suatu ketika dahulu telah memberi  kemahiran baharu kepada rakyat Malaysia sehingga tercipta kereta pertama negara iaitu Proton Saga pada tahun 1985. Selain itu, kepakaran pekerja asing dalam bidang profesional juga terjamin dan berupaya meningkatkan kualiti produktiviti negara sekali gus dapat mengukuhkan ekonomi Malaysia. Jadi, tidak hairanlah sekiranya negara maju seperti Amerika Syarikat telah menggaji sebanyak 14 juta orang pekerja asing dengan purata kebanyakannya berkhidmat sebagai tenaga professional bagi membolehkan peningkatan dalam ekonomi serta penghasilan teknologi  di negara tersebut. Kedatangan pemegang Visa H-2B ini telah membantu menampung masalah kekurangan tenaga kerja terutamanya dalam sektor pembinaan dan pembuatan ekoran sikap belia Malaysia yang terlalu memilih dalam isu pekerjaan. Sikap pekerja asing yang tidak memilih dalam pekerjaan amat sinonim dengan peribahasa asal berinsang ikanlah dan sepatutnya dicontohi oleh rakyat Malaysia. Pekerja asing dalam sektor- sektor tersebut juga telah meningkatkan kecerunan graf produktiviti negara sekali gus memperkukuh ekonomi Malaysia. Mantan Perdana Menteri Malaysia kelima iaitu Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pernah menegaskan bahawa Malaysia perlu mengurangkan bilangan pekerja asing namun bimbang tindakan sedemikian akan memberi impak negatif kepada industri yang bergantung dengan khidmat pekerja asing. Situasi ini jelas menggambarkan bahawa negara kita masih memerlukan keringat tenaga kerja asing dalam usaha untuk meningkatkan ekonomi negara bagi membolehkan Malaysia bersaing dengan negara-negara maju dan merealisasikan Wawasan 2020. Jelaslah, kedatangan pekerja asing  sama ada profesional mahupun kurang berkemahiran masing-masing mampu untuk memperkukuh ekonomi Malaysia melalui khidmat yang mereka salurkan.

Lensa perbincangan kita dialihkan pula kepada skop memacu pembangunan negara ke arah mewujudkan sebuah negara maju.Sebagaimana yang kita ketahui,Malaysia merupakan sebuah negara yang pesat membangun dengan pertumbuhan ekonomi yang mantap.Kemasukan buruh-buruh asing inilah yang menyebabkan negara kita dapat membangun dengan pesatnya seperti sekarang,serentak mengikut aliran kemajuan negara-negara  luar .Hal ini dikatakan demikian kerana,mereka memang mahir dalam melakukan pekerjaan yang berat seperti membina bangunan dan jalan raya.Selain itu,mereka juga  mampu menjadi amah yang baik seperti melakukan kerja-kerja rumah, menjaga anak-anak majikannya dan lain-lain. Oleh sebab itu,perubahan menyeluruh yang sistematik sentiasa berlaku di Malaysia khususnya dalam pembangunan infrastruktur,dan prasarana yang perlu dibangun dalam masa yang singkat. Jadi,dalam usaha untuk mencapai misi tersebut,keperluan tenaga buruh amat diperlukan bagi mempercepat arus pertumbuhan pembangunan negara. Memang tidak dapat dinafikan bahawa sesetengah rakyat Malaysia tidak suka melakukan kerja buruh yang memerlukan kudrat yang tinggi. Walaupun sikap yang diamalkan oleh rakyat kita ini selaras dengan ciri-ciri negara maju yang lain namun Malaysia akan mengalami kekurangan tenaga buruh tempatan untuk memajukan pembangunan tersebut dan secara tidak langsung menyebabkan negara kita memerlukan tenaga buruh dari luar seperti Vietnam,Myanmar,India dan Indonesia.Tegasnya,dengan adanya pekerja asing yang  bekerja sebagai buruh ini,maka proses pembangunan negara akan berlangsung dengan cepat.

Dalam pada itu, pemahaman kita diteruskan pula dengan skop kebanjiran pekerja asing di Malaysia dapat mevariasikan budaya dan adat resam yang menarik. Sebagaimana yang kita ketahui, negara Malaysia terkenal dengan masyarakat yang berbilang kaum dan mempunyai pelbagai jenis budaya serta adat resam masing-masing. Kedatangan pekerja asing dalam berkongsi budaya mereka mampu mempelbagaikan lagi budaya di Malaysia melalui cara pemakaian, makanan, cara berkomunikasi sesama masyarakat dan lain-lain. Sebagai contoh, seorang pekerja warganegara Jepun bekerja di Malaysia. Secara tidak langsung, pekerja tersebut akan berkongsi dengan rakan-rakan sekerjanya mengenai budaya dan adat resam yang diamalkan di negaranya, contohnya, adab ketika bertemu dengan rakan. Masyarakat Jepun akan memberi tunduk hormat satu sama lain dan berbicara dengan sopan santun. Masyarakat Jepun juga mempunyai identiti mereka tersendiri dalam aspek pemakaian, iaitu mereka memakai kimono bagi perempuan. Budaya ini amat bagus untuk diimplementasikan di negara bagi mewujudkan masyarakat Malaysia yang mempunyai nilai murni yang tinggi dan dipandang mulia oleh masyarakat luar negara, bersesuaian dengan kata-kata Albert Einstein yang mengatakan bahawa setiap aksi akan menyebabkan tindak balas. Memang benar bahawa ada sesetengah pekerja asing membawa budaya kuning mereka dengan sengaja bertujuan untuk mempengaruhi minda masyarakat Malaysia dengan pemikiran sekular mereka. Namun, sebagai masyarakat yang matang, kita mestilah bijak membezakan antara perkara yang baik dan juga perkara yang buruk, bak peribahasa buang yang keruh, ambil yang jernih. Masyarakat Malaysia boleh mempelajari  perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat  negara lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Pendek kata, kebanjiran pekerja asing telah memberikan kesan positif dalam mevariasikan budaya dan adat resam dalam negara kita, iaitu Malaysia.

Ayuh kita selongkar perbincangan kita dengan lebih mendalam di bawah kata kunci pertukaran teknologi-teknologi moden. Kedatangan pekerja asing terutamanya tenaga buruh mahir dan separuh mahir ke Malaysia membolehkan negara kita mempelajari dan memperoleh teknologi-teknologi baru melalui program usahasama yang dilakukan oleh pihak kerajaan atau organisasi bukan kerajaan dengan negara-negara maju. Kebiasaannya, tenaga buruh mahir seperti pakar ekonomi dan pakar runding yang sudah terbiasa dengan penggunaan teknologi-teknologi moden yang pantas berkembang maju seperti belut diketil ekor sudah pasti akan mengesyorkan negara Malaysia untuk mendapatkan teknologi moden itu juga bagi melancarkan urusan-urusan pekerjaan. Sebagai contoh, memikirkan tentang penduduknya yang berhijrah ke negara Malaysia, negara Jepun telah memberikan sumbangan dari segi penggunaan robot untuk industri pembuatan dan tenaga pakar dalam bidang perindustrian dan automotif kepada negara Malaysia, melalui program usahasama Jepun-Malaysia berdasarkan pelancaran Inovasi Kerajaan pada tahun 2011. Impaknya, negara kita dapat mengeluarkan kenderaan-kenderaan sendiri seperti Proton Waja, Proton Wira, Perodua dan lain-lain lagi secara lebih produktif berbekalkan manfaat daripada kemasukan pekerja asing ke Malaysia. Pepatah Melayu ada menyebut sambil menyelam minum air, satu dasar dua objektif. Nyatalah, antara implikasi positif kemasukan pekerja asing ke Malaysia adalah akan dapat memperoleh teknologi-teknologi moden daripada negara asal pekerja asing yang berhijrah ke Malaysia.
Fokus perbincangan kita diteruskan pula dengan skop kebaikan kehadiran pekerja asing dalam aspek pelancongan di negara Malaysia. Tidak dapat dinafikan bahawa kehadiran pekerja asing telah menyumbangkan banyak pembangunan dalam pelbagai sektor di negara kita termasuklah sektor pelancongan. Hal ini dikatakan demikian kerana para pekerja asing ini boleh dikatakan sebagai agen pelancongan di negara kita. Semasa mereka menetap di Malaysia dalam tempoh tertentu, mereka telah dapat mengenali negara kita dengan lebih mendalam kerana sambil menyelam sambil minum air. Mereka telah mengenali destinasi-destinasi pelancongan yang menarik di negara kita dan berupaya untuk menarik minat pelancong dari luar negara . Selain itu, kebersihan negara kita yang boleh dikatakan memuaskan hati kerana rakyat di negara kita amat mementingkan kebersihan . Hal ini amat bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, kebersihan itu sebahagian daripada iman. Budi bahasa budaya kita . Sikap masyarakat Malaysia yang baik hati dan berbudi bahasa juga telah menyebabkan pekerja-pekerja asing menyukai negara kita . Apabila mereka pulang ke tanah air mereka, mereka pasti akan menceritakan segala pengalaman mereka semasa berada di Malaysia kepada saudara mara atau rakan-rakan di negara mereka. Keindahan negara kita juga pasti akan diceritakan oleh mereka secara tidak langsung kepada saudara mara ataupun rakan-rakan mereka. Oleh hal yang demikian, saudara mara atau rakan mereka yang tidak pernah menjejaki bumi Malaysia pasti akan mempunyai keinginan untuk datang dan melihat keindahan negara kita dengan mata sendiri untuk memastikan bahawa berita yang disampaikan itu bukannya indah khabar dari rupa .Jika seorang pekerja asing mampu menarik dua atau tiga orang saudara mara mereka untuk melancong ke negara kita, bagaimana pula jika jutaan orang pekerja asing? Tegasnya, kehadiran pekerja asing akan memberikan implikasi yang besar terhadap sektor pelancongan di negara kita . 

Kesimpulannya,sudah terang lagi bersuluh bahawa kedatangan pekerja asing dari pelbagai negara seperti Indonesia, Bangladesh, Filipina, dan Thailand telah mendatangkan kesan-kesan positif dari segi ekonomi dan sosial.Walau bagaimanapun, pihak kerajaan tidak boleh memandang remeh terhadap kedatangan mereka ke negara ini.Namun, jika ada yang beranggapan bahawa menghantar semula pekerja asing ke negara mereka suatu tindakan yang amat baik,mereka harus berfikir dua kali.Memetik daripada sebuah artikel yang ditulis oleh Ahmad Kamil Mohamed, menyatakan bahawa kerajaan akan mengalami kerugian jika cara di atas dilaksanakan.Jadi,sebelum kudis menjadi tokak,pihak berkuasa khususnya jabatan imigresen dan pihak polis perlu menguatkuasakan undang-undang sebagai amaran kepada pekerja asing supaya mereka tidak melanggar undang-undang negara Malaysia ini.Sesungguhnya,peribahasa bukit sama didaki,lurah sama dituruni wajar diamalkan oleh semua pihak waima pihak kerajaan,majikan mahupun rakyat negara ini untuk mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara Malaysia daripada dicemari oleh masalah yang akan ditimbulkan oleh pekerja asing.

Karangan daripada perbincangan pelajar 5st1 2014

Ulasan guru:-
a)  Idea relevan dengan tugasan.
b)  Pengolahan idea matang, berkembang dengan baik, dan berkesan. Pelajar mempunyai
     pengetahuan yang luas.
c)  Bahasa anda baik, dengan binaan ayat yang bervariasi .
d)  Ejaan dan tanda baca baik dan berkesan.
e)  Pemerengganan anda sesuai dan kepanjangan seimbang.*********













Tuesday, June 9, 2015

KEPENTINGAN MENGUASAI TEKNOLOGI MAKLUMAT



        Teknologi maklumat merupakan agenda baharu yang begitu diberi­kan perhatian oleh kerajaan negara kita. Kerajaan telah mengambil langkah yang proaktif dalam usaha menerapkan minat terhadap teknologi maklumat (TM) kepada masyara­kat. Berbagai-bagai kempen dijalankan oleh pelbagai pihak untuk menjelaskan kepentingan TM kepada masyarakat. Sejumlah peruntukan yang besar telah dilaburkan untuk tujuan itu.
Negara yang tidak mengutamakan TM akan ketinggalan dalam arus pembangunan atau umpama katak di bawah tempurung. Berda­sarkan usaha dan iltizam kerajaan yang tinggi itu, nyatalah bahawa bidang teknologi maklumat mempunyai manfaat yang sangat besar kepada masyarakat dan negara ini.

        Sebenarnya, penguasaan teknologi maklumat ada banyak faedahnya kepada masyarakat khususnya iaitu mampu menjadikan masyarakat negara ini sebagai sebuah masyarakat yang sentiasa peka dengan perkembangan dan pergolakan dunia. Melalui kemajuan dalam bidang penyebaran maklumat, masyarakat negara ini tidak akan ketinggalan untuk mengikuti arus perkembangan di seantero dunia. Hal ini terbukti apabila semua maklumat yang disalurkan akan dapat diterima secara lebih pantas oleh seluruh masyarakat global. Hanya dengan memiliki sebuah komputer peribadi yang disambung dengan perkhidmatan internet, masyarakat boleh mendapatkan maklumat dari selur­uh dunia dengan  hanya perlu menggerakkan tetikus untuk mendapatkan maklumat terkini dalam sesuatu bidang. Dalam hal ini teori “Global Village” yang dibangunkan oleh Marshall McLuhan yang mengatakan dunia tidak dibatasi dengan apa-apa sempadan melainkan hanya jurang digital yang memisahkan sesetengah tempat untuk mengakses internet adalah sangat tepat.Sebagai misal, masyarakat Malaysia akan mudah mengikuti pergolakan politik di Timur Tengah dan di Rusia melalui skrin komputer mereka dengan penguasaan teknologi ini. Pendek kata, penguasaan teknologi maklumat mampu menjadikan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat yang berinformasi dengan maklumat-maklumat global yang terkini.

        Mari kita capahkan lensa perbincangan kita di bawah kata kunci teknologi maklumat dapat meningkatkan mutu pendi­dikan negara kita. Kerajaan telah mengambil variasi inisiatif untuk mewujudkan sekolah-sekolah bestari yang menjadikan teknologi maklumat sebagai teras pendidikan.
Menurut Ahmad Fuad (2003), menyatakan bahawa dalam konteks pendidikan, TMK merupakan satu rangkaian elektronik untuk mencari, mengumpul,menyimpan,memproses,menyalur dan menyampai maklumat secara efektif pantas dan banyak untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan pembentukan sekolah-sekolah bestari ini, guru-guru tidak lagi dijadikan sebagai sumber rujukan utama oleh para pelajar, sebaliknya, guru hanya akan dianggap sebagai pemudah cara sahaja. Segala proses pembelajaran dan pengajaran akan sepenuhnya dikendalikan oleh teknologi komputer dan sumber rujukan mereka pula adalah daripada sumber-sumber multimedia malah seseorang pelajar boleh melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi atau doktor falsafah dengan hanya bergantung kepada media komputer. Sebagai contoh, penubuhan Universiti Tun Abdul Razak merupakan satu langkah ke arah penerokaan ilmu di ruang siber tanpa menghadiri kuliah secara lumrah. Dengan penubuhan universiti maya ini, mutu pendidikan negara meningkat ke tahap yang lebih tinggi. Tegasnya, kemahiran dalam teknologi malumat mampu untuk meningkatkan mutu pendidikan negara.

         Cuba kita fokuskan medan perbincangan kita ke arah horizon minda kelas pertama di bawah frasa teknologi maklumat mampu meletakkan negara kita se­tanding dengan negara-negara maju dan membangun yang lain. Pada alaf ini, kemajuan sesebuah negara diukur dengan pencapaian dalam bidang teknologi malumat. Oleh yang demikian, sebagai sebuah negara yang ingin mencapai status negara maju, Malaysia mestilah menitikberatkan bidang kepakaran dalam teknologi maklumat bagi menjadikan negara kita berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Sebagai contohnya, negara kita telah melancarkan satelit teleko­munikasi kita sendiri yang dikenali dengan nama MEASAT 1 dan MEASAT 11. Berkat kebijaksanaan para saintis Malaysia, kerajaan Malaysia telah berjaya menghasil­kan satelit ringan yang dikenali sebagai Tiongsat-1 dan kejayaan mereka ini bertepatan dengan kata-kata Steve Jobs, pengasas Appla Incorporation bahawa kebijaksanaan ialah kunci kepada inovasi. Dengan pelancaran satelit-satelit ini, kita mampu menempatkan diri setanding dengan negara-negara maju dalam bidang telekomunikasi. Jadi, jelaslah bahawa teknologi maklumat mampu meletakkan negara kita setanding dengan negara maju yang lain. 

      Mari kita lebarkan sayap diskusi kita di bawah rangkai kata penekanan dalam kemajuan teknologi maklumat akan menggalakkan pemindahan teknologi secara langsung dan tidak langsung kepada negara Malaysia. Pembinaan Koridor Raya Multimedia telah membuka banyak peluang pelaburan kepada syarikat-syarikat antarabangsa untuk beroperasi di sini. Dengan ini,secara tidak langsung mereka akan memindahkan teknologi-teknologi canggih untuk dipelajari oleh rakyat negara kita seperti robot-robot pembuatan. Dalam hal ini 
10000 orang pekerja professional dalam cabang IT akan mendapat manfaat daripada kemajuan dan penguasaan TM. Pada masa yang sama, pihak kerajaan juga tidak perlu lagi membe­lanjakan wang yang banyak untuk menghantar pegawai-pegawai terpilih untuk berkur­sus praktikal di luar negara bagi menguasai teknologi canggih tersebut. Selain itu, dengan pemindahan teknologi ke negara kita, lebih banyak pihak yang mendapat manfaatnya, contohnya kerajaan mendapatkan hasil cukai dan mampu menyediakan peluang pekerjaan untuk dimanfaatkan oleh penduduk tempatan. Tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa kemajuan teknologi maklumat dapat menggalakkan pemindahan teknologi-teknologi moden ke negara kita.

Selanjutnya,  pihak kerajaan juga turut tidak ketinggalan untuk menikmati faedah penguasaan TM . TM merupakan antara faktor pemangkin yang meningkatkan kecerunan graf produktiviti negara sekali gus melancarkan pengaliran pentadbiran kerajaan. Urusan pentadbiran pihak kerajaan menjadi lebih mudah dan efektif kerana segala maklumat terkini berkaitan negara dapat dihantar dan diterima terus tanpa tapisan orang ketiga daripada pihak yang berkenaan. Selain itu, jurang digital antara Malaysia dan negara luar khususnya negara-negara maju dapat dirapatkan sebagai kepentingan negara bagi mewujudkan suasana yang lebih efektif bagi menarik minat masyarakat  negara luar untuk melabur dan berdagang di negara ini. Di samping itu, penguasaan  TM dalam kalangan rakyat juga mampu memberi impak yang positif kepada kerajaan kerana dapat menjimatkan wang simpanan negara. Sebagai contoh, kemahiran TM jurutera-jurutera negara dalam pembinaan sistem saliran tercanggih dunia iaitu terowong SMART berjaya mengurangkan kadar pengeluaran wang Malaysia untuk mengimport tenaga kerja professional dari luar. Tegasnya, penguasaan dalam teknologi maklumat dapat melancarkan urusan pentadbiran negara.

        Mari kita selongkar kotak pemikiran kita dengan lebih mendalam di bawah kata kunci teknologi maklumat dapat meningkatkan ekonomi negara. Perniagaan pada hari ini dijalankan melalui kaedah e-dagang atau perdagangan elektronik. Melalui kaedah  peniagaan di hujung jari ini ,peniaga tidak lagi perlu menyediakan ruang niaga yang besar dan keperluan kos yang tinggi kerana pasaran dapat diperluas melalui jaringan rangkaian internet. Pembeli dari dalam dan luar negara dapat melihat produk yang ditawarkan di skrin laptop mereka dan hanya perlu menekan tetikus untuk membuat pesanan. Perdagangan maya ini ternyata lebih berkesan kerana menjimatkan masa dan tenaga pembeli. Sebagai contoh, blog terkini, Amazon.com merupakan sebuah syarikat penjualan bahan bacaan yang sangat terkenal dan telah membuktikan kejayaan melalui e-dagang ini. Ternyata, teknologi maklumat dapat membantu meningkatkan ekonomi negara.

         Kesimpulannya, kita tidak harus ketinggalan untuk menguasai kemahiran teknologi maklumat kerana bidang ini akan terus berkembang dari semasa ke semasa. Sistem hidup manusia masa depan akan lebih bergantung kepada kemajuan dalam bidang ini malah pada masa kini pun, pergantungan manusia terhadap teknologi maklumat sememangnya tidak dapat dinafikan. Setiap manusia berusaha untuk membaiki diri mereka dengan menggunakan teknologi maklumat selaras dengan kata-kata Zig Ziglar, “anda tidak perlu bermula dengan hebat tetapi anda perlu mula menjadi hebat”. Oleh itu, untuk memastikan wawasan negara untuk menjadi sebuah negara maju boleh direalisasikan dengan penguasaan dalam bidang teknologi maklumat. Sebagai rakyat Malay­sia, kita perlu menyokong usaha ini di samping menyediakan diri untuk mempelajari pengetahuan baru berkaitan teknologi maklumat agar kita dapat berdiri sama tinggi , duduk sama rendah dengan masyarakat dunia dari negara-negara maju yang lain.