pengunjung

Monday, February 21, 2011

KESAN-KESAN TEKNOLOGI MAKLUMAT (ICT)



Zaman beralih dan musim berubah. Fasa demi fasa perubahan dunia telah berlaku. Dari zaman falsafah ke Zaman Renaissance, bertukar pula ke zaman industri dan zaman atom, kini sampailah pada hari ini yang disebut dengan zaman teknologi maklumat (ICT). Dalam setiap zaman yang dilalui oleh manusia telah menempuh pelbagai cabaran dan seyogianya manusia memperoleh pelbagai input baharu. Daripada pelbagai sumber pengetahuan, penemuan bidang ICT telah berjaya menginjak tamadun dunia kepada situasi yang lebih kompetitif. Teknologi ICT telah mewajarkan manusia mencapai pelbagai kemajuan lebih-lebih lagi dalam bidang ilmu pengetahuan dan maklumat yang paling canggih. Sesungguhnya, kemajuan teknologi ini meninggalkan pelbagai implikasi atau kesan sama ada implikasi yang positif atau negatif.

Dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien dengan adanya kemudahan maklumat ini. Dunia hari ini heboh tentang e-niaga iaitu cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat laman sesawang mereka beserta alamat mel elektronik atau e-mel. Kini, istilah www.sesuatu.com.mybukan lagi satu perkara yang asing. Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari peringkat glokal malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di surat khabar yang mengkhabarkan seorang suri rumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui e-mel. Jadi, jelaslah bahawa perkembangan teknologi maklumat membawa kesan positif dari aspek perniagaan.

Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan teknologi maklumat secara langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya e-mel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat, kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi maklumat. Hal ini dapat dibuktikan ketika Bill Gates, insan terkaya di dunia melawat Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multimedia Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan pusat multimedianya. Oleh itu, terbuktilah bahawa pembangunan teknologi maklumat membolehkan Malaysia berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.

Dari segi sosialnya pula, pembangunan teknologi maklumat mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat dapat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk dalam kalangan rakyat pelbagai negara dan berbilang kaum. Bukankah teknologi ini satu anugerah yang tiada tolok bandingnya?

Walau bagaimanapun, pembangunan pesat teknologi maklumat tidak bebas daripada implikasi negatifnya. Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek negatif yang boleh menggugat keamanan negara. Maka, tidak hairanlah apabila terdapat sesetengah pihak yang menggunakan teknologi ini untuk yang menyampaikan khabar yang tidak berasas danberbaur fitnah. Di Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Contohnya, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disebarkan melalui internet pada suatu ketika dahulu. Khabar angin ini pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada negara kita sendiri. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Aspek negatif internet inilah yang sukar dibendung oleh sesiapa.

Teknologi maklumat juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya dalam kalangan generasi muda. Gambar dan bahan pornografi mengisi kebanyakan daripada ruang maya dalam internet. Remaja yang mendahagai pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini yang bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ingin mengaut keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan cepat bagai belut diketil ekor dalam kalangan pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Hal ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat memburukkan keadaan lagi. Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif dalam kalangan remaja dan belia. Sesungguhnya, teknologi maklumat sememangnya menyebarkan unsur-unsur lucah dan meningkatkan kebejatan akhlak remaja kita.

Intihanya bicara, teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang sama memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Jadi, sebagai pengguna yang bijak kita tidak harus menyalahgunakan kemudahan teknologi maklumat ini. Semua pihak harus bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengambil langkah sederap untuk memastikan tiada unsur negatif yang berlaku seiring dengan ledakan teknologi berinformasi ini. Sudah menjadi tugas kita bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh. Semoga impian negara untuk melahirkan masyarakat yang maju dan berinformasi tercapai bagi memudahkan negara merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020.Sesungguhnya Saidina Ali Abi Talib pernah berkata bahawa manusia yang berdagang dengan ilmu maka ilmunya akan bertambah tetapi apabila manusia berdagang dengan harta maka hartanya semakin berkurang.

PERBINCANGAN PELAJAR 4ST1 2011;

SAIFUL

AIMAN

SAUQI

AIZAT

SYAFIQ


Saturday, February 19, 2011

Langkah-langkah yang sepatutnya dilakukan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia

“1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan” merupakan idea bernas yang dicetuskan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohamad Najib Bin Tun Abdul Razak. Objektif prima gagasan 1 Malaysia diperkenalkan adalah untuk mengeratkan lagi perpaduan kaum yang sudah sekian lama bermukim di negara ini. Gagasan 1 Malaysia merupakan rentetan daripada gagasan Rukun Negara yang ditubuhkan selepas peristiwa 13 Mei 1969. 1 Malaysia ditubuhkan adalah untuk mengingatkan kita kepada peristiwa pertumpahan darah yang berlaku pada 13 Mei kerana mengikut ahli falsafah barat iaitu George Santayana, “ Mereka yang melupai sejarah pasti mengulanginya” jadi kita semestinya tidak menginginkan pisang berbuah dua kali. Oleh sebab itu, gagasan 1 Malaysia amat vital untuk direalisasikan oleh semua golongan masyarakat terutamanya golongan pelajar kerana merekalah yang bakal memacu negara pada masa akan datang. Persoalannya, apakah yang sepatutnya dilakukan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia?

De factonya, terdapat variasi peranan yang perlu dimainkan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia. Salah satu daripada peranan tersebut adalah dengan mengaktifkan diri dalam aktiviti kenegaraan dan kemasyarakatan yang dianjurkan oleh pihak kerajaan sebagai contoh Program Latihan Khidmat Negara ( PLKN) dan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan ( RIMUP ). Penglibatan diri dalam program anjuran pihak kerajaan berupaya membantu pelajar mengukuhkan nilai perpaduan dalam diri di samping dapat membantu pelajar memahami erti konsep 1 Malaysia yang faktualnya seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri. Namun, apabila pihak kerajaan mengadakan aktiviti-aktiviti kenegaraan dan kemasyarakatan kebanyakan para pelajar akan menarik diri daripada menyertai aktiviti tersebut walhal aktiviti sedemikianlah yang mampu merapatkan mereka dengan masyarakat yang berbilang ras dan etnik. Sepatutnya untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia golongan pelajar berlumba-lumba untuk menyertai aktiviti seperti PLKN dan RIMUP. Sekiranya hanya sebilangan kecil pelajar yang tidak berminat untuk menyertai aktiviti kenegaraan dan kemasyarakatan maka konsep 1 Malaysia tetap tidak dapat direalisasikan dengan sepenuhnya kerana peranan untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia memerlukan penglibatan semua pelajar bak kata pepatah, “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”. Oleh itu, semua pelajar perlulah mengaktifkan diri dalam program yang dianjurkan pihak kerajaan kerana penglibatan diri dalam program tersebut merupakan satu langkah dogmatik dan pragmatik yang wajar dilakukan oleh pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Seterusnya, untuk menjadikan gagasan 1 Malaysia menjadi kenyataan para pelajar seharusnya menghayati Rukun Negara sepenuh hati supaya para pelajar lebih mengerti nilai perpaduan kaum bagi sesebuah negara. Rukun Negara merupakan gagasan pertama yang dibentuk selepas peristiwa 13 Mei 1969 oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Rukun Negara digubal adalah untuk menyelesaikan persengketaan yang berlaku antara kaum akibat sentimen perkauman. Rukun Negara mengandungi lima prinsip dan kelima-lima prinsip tersebut menjurus ke satu matlamat iaitu mengukuhkan perpaduan antara semua kaum di negara ini. Jadi Rukun Negara merupakan gagasan yang syumul dalam mengeratkan perpaduan kaum yang utuh. Oleh sebab itu, para pelajar perlu menghayati Rukun Negara untuk menanam semangat perpaduan dalam diri dan seterusnya untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia. Walau bagaimanapun, terdapat sejumlah pelajar hanya memandang sebelah mata sahaja terhadap Rukun Negara dan terdapat juga pelajar yang tidak mengingati langsung terhadap lima prinsip Rukun Negara. Seandainya, para pelajar tidak menghayati Rukun Negara maka tidak hairanlah konsep 1 Malaysia tidak dapat direalisasikan dan rusuhan kaum berlaku sekali lagi seperti yang dilakukan oleh kumpulan HINDRAF pada tahun 2007. Sudah terang lagi bersuluh, menghayati Rukun Negara merupakan peranan yang paling wajar dilaksanakan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Menjaga hubungan baik antara kaum merupakan satu lagi minhaj yang boleh dilakukan oleh golongan pelajar untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia. Para pelajar sejamaknya perlu memelihara relasi yang baik antara ras supaya sentimen perkauman tidak timbul dan semestinya untuk mengalicaukan rusuhan kaum daripada terjadi. Para pelajar dapat menjaga hubungan yang baik antara kaum dengan kerap mengunjungi rumah jiran tetangga dan sahabat handai yang berlainan kaum selain menghormati budaya serta adat resam kaum lain. Untuk menjaga hubungan yang harmoni antara kaum para pelajar bukan sahaja perlu membantu bangsa lain yang dalam kesusahan bahkan para pelajar perlu berusaha mengenali dan mendekatkan diri dengan kaum lain. Gagasan 1 Malaysia sebenarnya menekan konsep persamaan taraf seperti yang terdapat dalam Piagam Madinah pada tahun 622 Masihi. Semua rakyat diberi layanan sama rata agar tidak wujud rasa ketidakpuasan hati dalam diri rakyat Malaysia. Andai kata, para pelajar sering bersikap pesimis terhadap kaumlain dan bersikap perkauman nescaya para pelajar tidak akan mampu merealisasikan konsep 1 Malaysia dan sudah pasti juga akan wujud sentimen perkauman serta sebagai konsekuensinya rusuhan kaum berkemungkinan besar akan berlaku. Tegasnya, para pelajar perlulah menjaga hubungan yang baik antara kaum lain kerana mempunyai relasi yang kukuh antara kaum merupakan peranan perdana yang harus dilaksankan oleh pelajar untuk merealisasikan gagasan 1 Malaysia.

Selain itu, para pelajar juga sepatutnya menggunakan bahasa kebangsaan dalam percakapan seharian dengan kaum lain supaya konsep 1 Malaysia menjadi realiti kerana bahasa mampu menjadi alat untuk mengeratkan perpaduan. Penggunaan bahasa yang sama antara kaum lain dapat memupuk semangat perpaduan kaum yang jitu selain dapat meningkatkan lagi semangat cinta akan tanah air. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang paling wajar digunakan oleh pelajar semasa berkomunikasi dengan bangsa lain di Malaysia tambahan pula kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Dengan kekukuhan kedudukan bahasa Melayu dalam perlembagaan jelaslah bahawa para pelajar perlu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan antara kaum lain seperti yang diamalkan oleh masyarakat pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Setiap pedagang di Melaka menggunakan bahasa Melayu sebagai lingua franca. Jikalau para pelajar enggan menggunakan bahasa kebangsaan ketika bercakap dengan bangsa lain maka sudah tentu perpaduan tidak akan wujud dan para pelajar tidak akan mempunyai semangat patriotik. Maka dengan itu jelaslah bahawa penggunaan bahasa kebangsaan dalam percakapan seharian dengan kaum lain merupakan peranan yang perlu dilaksanakan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Sentiasa memandang positif dan menyokong setiap saranan dan buah fikiran Perdana Menteri merupakan satu lagi uslub yang sepatutnya dilaksanakan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia. Para pelajar seharusnya mengikuti segala saranan Perdana Menteri dan memandang positif terhadap saranan tersebut agar tidak timbul perselisihan faham antara rakyat dan pemerintah yang boleh mengakibatkan berlaku pemberontakan. Selain itu, setiap saranan Perdana Menteri sudah semestinya demi kebaikan rakyat dan negara. Jadi para pelajar hasratPerdana Menteri untuk melihat semua rakyat di Malaysia hidup bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama. Perpaduan kaum yang utuh bagi sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk merupakan elemen yang paling vital dalam memastikan keamanan negara terus berkekalan. Oleh sebab itu, para pelajar perlu memandang positif terhadap ideologi Perdana Menteri dan mendukung ideologi tersebut supaya kemerdekaan negara terus berkekalan dan keharmonian negara terjamin. Jika para pelajar sentiasa berprasangka buruk dan tidak mengambil peduli terhadap saranan dan ideologi Perdana Menteri maka perpaduan kaum yang utuh tidak dapat dicapai dan sudah pasti juga gagasan 1 Malaysia tidak akan menjadi kenyataan. Secara tegas, berpandangan positif dan menyokong ideologi Perdana Menteri ialah peranan yang harus dimainkan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Konklusinya, para pelajar mempunyai pelbagai peranan yang mampu dilaksanakan dalam memastikan konsep 1 Malaysia menjadi kenyaatan. Walau bagaimanapun, tugas merealisasikan konsep 1 Malaysia bukan sahaja terletak di bahu golongan pelajar bahkan menjadi tanggungjawab semua pihak. Jikalau semua pihak memainkan peranan masing-masing dan berkolaboratif antara satu sama lain sudah tentu konsep 1 Malaysia dapat direalisasikan dengan mudah dan efektif kerana bak kata pepatah, “ Muafakat membawa berkat”. Gagasan 1 Malaysia sememangnya amat penting untuk menjadi realiti bagi membuktikan kepada seluruh dunia betapa kukuhnya perpaduan kaum yang terjalin di Malaysia. Oleh itu, dukunglah gagasan 1 Malaysia, “ 1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”.


Daripada;

NURIMANI ABDULLAH 5ST1 2010

Wednesday, February 16, 2011

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI MASALAH PENCEMARAN ALAM SEKITAR


Pembangunan tanpa batasan merupakan perubahan kian pesat yang berlaku di negara kita pada alaf globalisasi ini. Namun, kemajuan dalam sektor perindustrian telah dikecapi hari ini sedikit tercalar impak daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab. Masyarakat yang bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing tidak mengendahkan kebersihan alam sekitar.Adakah kita ingin membiarkan alam sekitar terjejas semata-mata supaya dapat mengejar kemajuan? Apakah peranan kita sebagai masyarakat untuk menangani masalah ini? Hal ini demikian kerana alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita.Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya mensyukuri nikmat pemberian Tuhan. Oleh itu, langkah-langkah yang proaktif perlu diambil untuk memelihara anugerah ciptaan-Nya.

Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah pencemaran alam sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan kimia. Hal ini demikian kerana bahan kimia akan mendatangkan pencemaran kepada alam sekitar selain akan mendatangkan impak dalam jangka masa yang panjang kepada alam sekitar. Apa yang dimaksudkan ialah penggunaan racun serangga dan pendingin hawa merupakan salah satu kesan yang paling ketara dan serius. Akibat daripada penggunaan racun serangga dan pendingin hawa,berlakunya penipisan lapisan ozon dan air bawah tanah oleh kluoroflurokarbon (CFC) yang amat berbahaya kepada masyarakat di jagat raya. Kesannya, masyarakat mudah dihidapi penyakit-penyakit yang berbahaya seperti katarak mata, barah kulit dan sebagainya.Hal ini turut memberi impak kepada ekonomi negara kerana terpaksa mengeluarkan dana yang amat besar bagi menampung kos perbelanjaan hospital. Oleh itu, penggunaan bahan kimia ini perlu dikawal oleh kerajaan dan pihak swasta supaya kita dapat menjaga alam sekitar yang dianugerahi oleh Tuhan. Tegasnya,langkah menangani masalah pencemaran alam sekitar adalah dengan mengurangkan penggunaan bahan kimia.

Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang berkaitan aspek penjagaan kebersihan persekitaran. Hal ini amat signifikan sebagai langkah menjaga alam sekitar kita. Jika kita lihat pada hari ini, berapakah kilang yang telah dibina oleh kerajaan yang mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan?Hanya segelintir sahaja kilang yang mematuhi piawaian kebersihan. Dalam kebanyakan kes, pelepasan asap kilang dan pembuangan sisa toksik ke dalam sungai mahupun ke dalam laut secara terbuka terus berlaku tanpa kawalan. Sikap pengilang ini bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana menyebabkan berlakunya pencemaran air.Hal ini turut menyebabkan kepupusan hidupan akuatik kerana sisa toksik daripada kilang-kilang mengurangkan peratusan oksigen di dalam air. Implikasi daripada tindakan ini, undang-undang harus diperketat lagi oleh pihak berkuasa supaya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.Jika hal ini tidak dibendung,masyarakat akan mengalami masalah kekurangan air bersih dan sumber protein.Bukan itu sahaja,majoriti masyarakat akan mendapat penyakit yang dikenali sebagai kwashiorkor akibat kekurangan protein.

Bukan itu sahaja, program kitar semula yang diuar-uarkan oleh kerajaan perlu diambil perhatian kerana mampu mempertingkat kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya membuka mata akan sahutan kerajaan. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula yang telah disediakan. Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproses menjadi baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh juga dijadikan tisu.Keadaan ini dikatakan “sambil menyelam minum air”. Melalui cara ini,sumber-sumber alam seperti pokok yang digunakan bagi mendapatkan bahan mentah untuk memenuhi keperluan asas manusia dapat dikurangkan. Selain itu,negara juga dapat menjimatkan kos bagi mendapatkan keperluan-keperluan manusia sekaligus dapat memelihara kebersihan alam sekitar.Tegasnya, program kitar semula ialah salah satu cara untuk mengatasi pencemaran alam sekitar.

Di samping itu, kebersihan alam sekitar boleh dijaga melalui kempen kesedaran sivik yang berterusan supaya rakyat dan dapat menjaga alam sekitar sejak kecil kerana “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat diseru untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Dengan ini, sedikit sebanyak langkah ini dapat menyedarkan manusia yang lalai tentang kebersihan alam sekitar. Jadi, kempen kesedaran ini akan dapat mencapai matlamatnya sekiranya semua rakyat sedar akan kepentingan alam sekitar seterusnya dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam sekitar senantiasa bersih dan dijaga. Sekiranya masyarakat tidak mengendahkan sahutan kerajaan dan bersikap mementingkan diri sendiri, pastinya negara kita akan tercemar. Tegasnya, kempen kesedaran sivik juga penting dalam usaha untuk mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.

Konklusinya, banyak langkah yang boleh dipraktikkan bagi mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.Oleh itu, sikap bagai aur dengan tebing antara rakyat Malaysia dengan kerajaan amat diperlukan dan tentunya akan lebih bermakna agar hasilnya kelak akan memuaskan hati semua orang. Hal ini amat dititikberatkan kerana kebersihan juga merupakan separuh daripada iman. Kebersihan alam sekitar juga amat penting bagi menarik pelancong-pelancong dari seantero dunia dan seterusnya mendorong negara kita ke arah mencapai Wawasan 2020. Bahkan, kita patut menyahut seruan Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengembleng tenaga menjaga kebersihan dan keamanan negara Malaysia sinonim dengan slogan negara “Negara Bersih, Rakyat Sihat”.

Daripada perbincangan kami;

pelajar 4 ST1 2011

1. ALYA

2.AIFFATIN

3. FARAHIM

4. FATIHAH

5.SAFIRAH