pengunjung

Tuesday, February 15, 2011

Langkah-langkah Pemeliharaan Dan Pemuliharaan Warisan Sejarah

Warisan sejarah amat penting untuk generasi akan datang. Walaupun sejarah agak membosankan bagi sesetengah orang, adalah amat penting untuk kita mengekalkan warisan sejarah tersebut. Usaha pengekalan warisan sejarah boleh dilakukan dengan memelihara dan memulihara bahan-bahan atau perkara-perkara yang berkaitan dengan sejarah. Pemeliharaan dan pemuliharaan warisan sejarah adalah amat penting kerana melalui kaedah ini, warisan sejarah akan dapat dikekalkan dan dijadikan bahan pengajaran untuk generasi akan datang sekiranya mereka berusaha untuk memahami dan mendalami sejarah. Sesungguhnya, kita tahu pemeliharaan dan pemuliharaan warisan sejarah adalah amat penting tetapi, apakah langkah-langkah yang sesuai untuk memelihara dan memulihara warisan sejarah tersebut?


Langkah perdana bagi memelihara dan memulihara warisan sejarah adalah dengan menjadikan mata pelajaran sejarah sebagai mata pelajaran yang wajib bagi setiap pelajar. Hal ini demikian kerana pelajar akan dapat belajar serta lebih memahami apa yang telah berlaku pada negara kita, Malaysia. Selain itu, kaedah ini juga mampu menyedarkan masyarakat Malaysia terutamanya dari kalangan pelajar tentang kepentingan sejarah untuk terus diingati oleh semua lapisan masyarakat. Beberapa pengajaran boleh didapati melalui mata pelajaran sejarah. Antara pengajaran-pengajaran tersebut adalah seperti berhati-hati dengan kuasa asing sebagaimana yang berlaku pada tanah air kita beberapa tahun lalu yang telah berjaya dikuasai oleh kuasa asing kerana pihak negara kita yang kurang berwaspada dengan kuasa asing pada ketika itu. Selain itu, sejarah juga mengajar masyarakat Malaysia untuk tidak bersikap individualistik sebaliknya lebih bersikap bagai aur dengan tebing. Hal yang demikian membuktikan betapa pentingnya sejarah untuk dipelajari dan dikekalkan untuk generasi akan datang.


Selain itu, sejarah juga boleh dipulihara dan dipelihara melalui kaedah pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan yang bersejarah seperti Fort Cornwalis di Pulau Pinang, A Famosa dan Dutch Square di Melaka. Bangunan tersebut merupakan bangunan peninggalan bagi penjajahan Inggeris, Portugis dan Belanda di Malaysia yang berlangsung selama lebih dari 300 tahun. Bangunan-bangunan bersejarah seperti yang tersebut dapat memberikan bukti visual tentang sejarah silam negara. Bangunan-bangunan bersejarah tersebut juga boleh membezakan negara kita dengan negara lain kerana bangunan-bangunan tersebut boleh membekalkan ciri-ciri fizikal yang berbeza daripada negara-negara lain. Pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan-bangunan bersejarah ini juga mampu meningkatkan bilangan pelancong yang datang ke negara kita. Di sini, boleh kita simpulkan bahawa sejarah bukan sahaja penting untuk generasi akan datang malah sejarah juga penting untuk membangunkan dan memajukan negara dari pelbagai bidang seperti bidang pelancongan.


Seterusnya, menggalakkan penyelidikan tentang cara terbaik untuk menjaga dan memulihara khazanah bersejarah negara dengan mengadakan peruntukan khas. Contohnya negeri Kelantan telah menerima anugerah “The Best Tourism City” daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada tahun 1990-an. Anugerah seperti ini mampu menggalakkan masyarakat yang agak bersifat ‘materialistik’ untuk terus memelihara dan memulihara harta bersejarah negara. Begitu juga di Pulau Pinang. Terdapat beberapa khazanah yang bersejarah seperti Bangunan Cheong Fatt Tze yang telah dianugerahi Pingat Unesco Heritage 2000 Award kerana usaha pemeliharaannya. Sebagaimana yang dapat dilihat masyarakat pada hari ini agak mementingkan kebendaan walaupun sedikit. Dengan mengadakan peruntukkan khas, pastinya banyak khazanah dan harta bersejarah negara dapat dipulihara dan dipelihara. Kaedah ini tidak memungkin kerugian negara kerana melalui kaedah ini khazanah bersejarah yang penting dapat dijaga dan dipulihara.


Sejarah juga boleh dikekalkan dengan mengadakan hari ‘Sejarah Sedunia’ bagi setiap beberpapa tahun. Hari Sejarah Sedunia perlulah diobjektifkan sebagai hari mengingati sejarah. Sejarah juga tidak perlulah dijadikan membosankan. Antara kaedah untuk menjadikan sejarah lebih menarik adalah dengan mengadakan lakonan semula seperti mengadakan filem atau lain-lain lagi. Filem tersebut perlulah dijadikan menarik dan tidak terlalu mengikut fakta sejarah. Fakta sejarah memanglah agak penting, tetapi filem yang terlalu mengikut fakta sejarah kadang-kadang boleh menjadikan filem tersebut agak membosankan untuk ditonton. Oleh hal yang demikian, penerbit filem perlulah lebih peka dengan minat semua lapisan masyarakat. Terdapat beberapa lapisan masyarakat yang lebih berminat dengan cerita-cerita aksi ganas, mendebarkan, suspen dan lain-lain lagi. Melalui kaedah ini bukan sahaja sejarah yang akan diingati semula malah perfileman negara juga mampu dibaikpulih. Kaedah ini ibarat menyelam sambil minum kerana dua kerja dapat dilakukan dalam satu perkara.


Intihanya, terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk memelihara dan memulihara warisan sejarah. Beberapa pihak juga perlulah berganding bahu dan mengembeling tenaga dalam usaha mengekalkan peninggalan nenek moyang untuk ghenerasi akan datang. Sejarah negara amat penting untuk generasi akan datang memandangkan terdapat beberapa faedah bagi mereka jika mereka memahami dan mengetahui sejarah negara. Antara faedah tersebut adalah seperti generasi akan datang akan mengenali asal usul negara, memahami pengajaran tentang sejarah negara dan lebih mengetahui kepentingan-kepentingan sejarah. Oleh itu, bersama-samalah kita berusaha untuk mengekalkan warisan sejarah negara. Usaha ini bukan sahaja mendatangkan faedah kepada kita malah kepada generasi akan datang. Tambahan pula usaha tangga kejayaan, sekiranya kita sama-sama berusaha pastinya kejayaan akan dicapai dan matlamat negara untuk mengekalkan sejarah negara kepada generasi akan datang akan turut dicapai. Sekian, terima kasih.

TAJUK: WARISAN BANGSA
AHLI (4ST1 -2011-):-
• SITI NURUL ASYIKIN (C-KIN)
• WAN NUR AMIERAH (CHE TEH)
• ANIS HAFIZA (PIJA)
• WAN NOR AZNI (AZNI)
• AFIQAH NURUSSYIFA (SYIFA’)

2 comments: