pengunjung

Tuesday, June 28, 2011

Langkah-langkah Meningkatkan Hasil Pertanian Negara

Sektor pertanian merupakan salah satu sektor yang amat penting di negara ini. Sektor ini mi merupakan penyumbang utama pembangunan negara. Tulis sebuah rencana tentang langkah-langkah meningkatkan hasil pertanian negara.


Langkah-langkah Meningkatkan Hasil Pertanian Negara
Oleh: Muhammad Amirul Aiman Bin Muhammad Asri


Belakangan ini sektor pertanian bukan lagi bidang yang dipandang rendah oleh seluruh masyarakat sama ada masyarakat Malaysia atau masyarakat lain di dunia. Bidang pertanian telah menjadi penyumbang utama pembangunan negara sehingga boleh diterjemahkan sebagai berdiri sama tingggi, duduk sama rendah dengan sektor-sektor lain di negara ini. Sektor ini telah berjaya melonjakkan nama Malaysia ke persada antarabangsa sehingga mencatat Keluaran Dalam Neagara Kasar (KDNK) sebanyak 13 % iaitu menyumbang kepada pendapatan negara sebanyak RM 14 bilion pada tahun 2007. Sebagai contoh, negara ini telah menjadi pengeksport terbesar kelapa sawit, getah dan sebagainya. Walau bagaimanapun langkah-langkah jitu perlu terus dilakukan untuk meningkat sektor pertanian ini


Langkah perdana untuk meningkat sektor pertanian ini, kerajaan perlu membuka kawasan pertanian baru. Hal ini demikian kerana pembukaan tanah pertanian baru akan dapat meningkatkan jumlah pengeluaran hasil pertanian. Kerajaan boleh memberi tanah rizab kerajaan kepada pihak-pihak tertentu seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) untuk membuka dan meneroka kawasan baru bagi tujuan aktiviti pertanian. Era ini, FELDA telah berjaya membuka beberapa kawasan pertanian secara komersial contohnya, di FELDA Kemahang Kelantan, FELDA Taib Andak Johor, dan sebagainya. Kerajaan juga boleh menggalakkan pengusaha membuka lebih banyak kawasan penternakan haiwan seperti ayam, kambing, lembu, dan sebagainya. Bidang penternakan ini juga akan membuahkan hasil yang lumayan. Walau bagaimanapun petani jangan mudah gelap mata dengan peningkatan pendapatan tersebut kerana usaha berterusan amat perlu dan jangan hanya bersikap hangat-hangat tahi ayam . Oleh itu, penambahan pembukaan kawasan pertanian yang baru akan dapat meningkatkan kuantiti pertanian dan seterusnya meningkatkan pendapatan negara.


Selain itu, penyelidikan secara santifik juga perlu bagi meningkatkan hasil pertanian negara. Penyelidikan yang tepat akan berjaya menghasilkan kualiti benih yang bermutu dan tahan penyakit. Benih yang berkualiti akan menghasilkan tanaman yang berkualiti dan seterusnya dapat dipasarkan untuk pasaran dalam dan luar negara. Penyelidikan boleh dijalankan melalui kacukan biji benih dari pokok induk yang baik bakanya seterusnya membuat pengklonisasi untuk memastikan kuantiti tanaman mencukupi dalam satu masa dan memelihara kualiti hasil tanaman. Dalam usaha merealisasikannya, pihak bertanggungjawab seperti Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI) perlu turun padang dan jangan hanya sekadar ringan mulut, berat punggung sahaja. Pihak-pihak yang terlibat ini perlu sentiasa membuat penyelidikan bagi meningkatkan hasil pertanian dan mengawal kualiti sama ada tanaman atau ternakan.Tegasnya, penyelidikan adalah amat penting bagi memastikan pengeluaran biji benih yang sihat dan menjurus kepada penghasilan tanaman yang terbaik .


Langkah seterusnya yang boleh diambil untuk meningkatkan pendapatan dalam sektor ini adalah dengan memberi kemudahan kredit kepda para petani atau pengusaha. Hal ini demikian kerana faktor utama sektor ini kurang berkembang berbanding negara-negara pertanian lain seperti Thailand dan Filipina, disebabkan hampir semua petani dan pengusaha di negara ini dihambat kemiskinan dan kekurangan modal. Implikasinya, mereka tidak mampu membeli dan memiliki jentera-jentera canggih , benih-benih yang bermutu, dan memperluas tanah pertanian. Bertitik tolak daripada itu, kerajaan telah memberikan peruntukan dan amanah yang besar kepada Agro Bank dan Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) agar dapat membantu lebih ramai pengusaha dan petani memperluas aktiviti memproses hasil pertanian dan meningkatkan kegiatan pertanian mereka.Slogan Kementerian Pertanian Malaysia “ Pertanian adalah Perniagaan”amat wajar dihayati dan diamalkan oleh para petani. Sebagai contoh, pemberian pinjaman oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab akan memberi peluang kepada petani membeli tanah untuk pertanian dan juga membeli pelbagai kemudahan asas pertanian. Pertanian secara komersial dapat dijalankan lantaran pelbagai kemudahan kredit yang diberi. Oleh itu, pemberian kemudahan kredit kepada para pengusaha, produktiviti pertanian dapat ditingkatkan dan seterusnya sektor pertanian negara akan sentiasa berkembang.


Agensi-agensi kerajaan juga turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan hasil pertanian. Hal ini demikian kerana, masyarakat kita hari ini masih dangkal tentang pertanian moden. Agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Beras dan Padi Negara (LPN), Pihak Berkuasa Pekebun Kecil (RISDA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) merupakan penggerak kepada petani. Mereka menggalakkan masyarakat terlibat dalam bidang pertanian dengan cara menyediakan khidmat kursus dan latihan, memberi pinjaman modal, dan mempromosikan hasil pertanian. Sebagai contoh, pada Julai 2008, pihak RISDA telah mengadakan satu kursus kepada para belia bagi menggalakkan mereka terlibat secara giat dalam sektor ini. Minat para belia mesti dipupuk kerana tak kenal maka tak cinta. Hal ini demikian kerana, sumbangan belia dalam sektor ini akan mencorakkan sektor pertanian negara. Tegasnya, agensi-agensi kerajaan memainkan peranan penting bagi meningkatkan hasil pertanian negara.


Wahana penting negara mudah disebarkan melalui media massa. Dalam hal ini media massa memainkan peranan penting dalam usaha menyampaikan maklumat mutakhir tentang sebarang visi dan misi kerajaan. Begitu juga peranan media massa dalam usaha meningkatkan hasil pertanian negara. Impak positifnya amat jelas kerana media massa merupakan medium penyebaran maklumat yang berkesan. Media cetak atau media elektronik mestilah memainkan peranan masing-masing dengan memberi pendedahan ilmu pertanian kepada petani dan masyarakat setempat. Media massa contohnya Radio dan Televisyen Malaysia ( RTM ) perlu mengatur dan merancang program-program yang memaparkan kepentingan sektor pertanian terhadap pembangunan negara. Pelbagai program khas yang memaparkan kaedah-kaedah pertanian yang efektif hendaklah diketengahkan bagi membantu para petani dan usahawan untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil pertanian mereka. Selain itu, segmen-segmen usahawan berjaya juga perlu diterap dalam program tersebut.Matlamat utama program tersebut, diharapkan para penonton akan lebih berminat menceburkan diri dalam sektor ini kerana mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Sebagai contoh, program-program yang sering dipaparkan adalah seperti Agrojurnal, Agrotek, Usahawan Muda dan sebagainya. Tegasnya, peranan media massa tidak kurang pentingnya dalam usaha meningkatkan sektor pertanian negara.


Konklusinya, sektor pertanian akan lebih berkembang pesat jika semua pihak berusaha untuk memajukan sektor ini. Penganjuran MAHA 2008 contohnya, merupakan komitmen kerajaan dan agensi swasta untuk melonjak pendapatan negara melalui sektor pertanian dan asas tani selain berobjektifkan menarik minat rakyat negara ini menceburkan diri dalam bidang ini.Oleh itu, usaha yang bersungguh-sungguh untuk maju dalam bidang ini amat perlu dalam kalangan rakyat negara ini kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Sesungguhnya gandingan mantap semua pihak seperti aur dengan tebing akan dapat merealisasikan impian negara untuk meningkatkan hasil pertanian negara.



‘Tidak ada rahsia bagi mendapat kejayaan.
Kejayaan diperoleh melalui hasil persediaan,
kerja keras, dan belajar daripada kegagalan.

1 comment: