pengunjung

Saturday, February 19, 2011

Langkah-langkah yang sepatutnya dilakukan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia

“1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan” merupakan idea bernas yang dicetuskan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohamad Najib Bin Tun Abdul Razak. Objektif prima gagasan 1 Malaysia diperkenalkan adalah untuk mengeratkan lagi perpaduan kaum yang sudah sekian lama bermukim di negara ini. Gagasan 1 Malaysia merupakan rentetan daripada gagasan Rukun Negara yang ditubuhkan selepas peristiwa 13 Mei 1969. 1 Malaysia ditubuhkan adalah untuk mengingatkan kita kepada peristiwa pertumpahan darah yang berlaku pada 13 Mei kerana mengikut ahli falsafah barat iaitu George Santayana, “ Mereka yang melupai sejarah pasti mengulanginya” jadi kita semestinya tidak menginginkan pisang berbuah dua kali. Oleh sebab itu, gagasan 1 Malaysia amat vital untuk direalisasikan oleh semua golongan masyarakat terutamanya golongan pelajar kerana merekalah yang bakal memacu negara pada masa akan datang. Persoalannya, apakah yang sepatutnya dilakukan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia?

De factonya, terdapat variasi peranan yang perlu dimainkan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia. Salah satu daripada peranan tersebut adalah dengan mengaktifkan diri dalam aktiviti kenegaraan dan kemasyarakatan yang dianjurkan oleh pihak kerajaan sebagai contoh Program Latihan Khidmat Negara ( PLKN) dan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan ( RIMUP ). Penglibatan diri dalam program anjuran pihak kerajaan berupaya membantu pelajar mengukuhkan nilai perpaduan dalam diri di samping dapat membantu pelajar memahami erti konsep 1 Malaysia yang faktualnya seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri. Namun, apabila pihak kerajaan mengadakan aktiviti-aktiviti kenegaraan dan kemasyarakatan kebanyakan para pelajar akan menarik diri daripada menyertai aktiviti tersebut walhal aktiviti sedemikianlah yang mampu merapatkan mereka dengan masyarakat yang berbilang ras dan etnik. Sepatutnya untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia golongan pelajar berlumba-lumba untuk menyertai aktiviti seperti PLKN dan RIMUP. Sekiranya hanya sebilangan kecil pelajar yang tidak berminat untuk menyertai aktiviti kenegaraan dan kemasyarakatan maka konsep 1 Malaysia tetap tidak dapat direalisasikan dengan sepenuhnya kerana peranan untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia memerlukan penglibatan semua pelajar bak kata pepatah, “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”. Oleh itu, semua pelajar perlulah mengaktifkan diri dalam program yang dianjurkan pihak kerajaan kerana penglibatan diri dalam program tersebut merupakan satu langkah dogmatik dan pragmatik yang wajar dilakukan oleh pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Seterusnya, untuk menjadikan gagasan 1 Malaysia menjadi kenyataan para pelajar seharusnya menghayati Rukun Negara sepenuh hati supaya para pelajar lebih mengerti nilai perpaduan kaum bagi sesebuah negara. Rukun Negara merupakan gagasan pertama yang dibentuk selepas peristiwa 13 Mei 1969 oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Rukun Negara digubal adalah untuk menyelesaikan persengketaan yang berlaku antara kaum akibat sentimen perkauman. Rukun Negara mengandungi lima prinsip dan kelima-lima prinsip tersebut menjurus ke satu matlamat iaitu mengukuhkan perpaduan antara semua kaum di negara ini. Jadi Rukun Negara merupakan gagasan yang syumul dalam mengeratkan perpaduan kaum yang utuh. Oleh sebab itu, para pelajar perlu menghayati Rukun Negara untuk menanam semangat perpaduan dalam diri dan seterusnya untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia. Walau bagaimanapun, terdapat sejumlah pelajar hanya memandang sebelah mata sahaja terhadap Rukun Negara dan terdapat juga pelajar yang tidak mengingati langsung terhadap lima prinsip Rukun Negara. Seandainya, para pelajar tidak menghayati Rukun Negara maka tidak hairanlah konsep 1 Malaysia tidak dapat direalisasikan dan rusuhan kaum berlaku sekali lagi seperti yang dilakukan oleh kumpulan HINDRAF pada tahun 2007. Sudah terang lagi bersuluh, menghayati Rukun Negara merupakan peranan yang paling wajar dilaksanakan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Menjaga hubungan baik antara kaum merupakan satu lagi minhaj yang boleh dilakukan oleh golongan pelajar untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia. Para pelajar sejamaknya perlu memelihara relasi yang baik antara ras supaya sentimen perkauman tidak timbul dan semestinya untuk mengalicaukan rusuhan kaum daripada terjadi. Para pelajar dapat menjaga hubungan yang baik antara kaum dengan kerap mengunjungi rumah jiran tetangga dan sahabat handai yang berlainan kaum selain menghormati budaya serta adat resam kaum lain. Untuk menjaga hubungan yang harmoni antara kaum para pelajar bukan sahaja perlu membantu bangsa lain yang dalam kesusahan bahkan para pelajar perlu berusaha mengenali dan mendekatkan diri dengan kaum lain. Gagasan 1 Malaysia sebenarnya menekan konsep persamaan taraf seperti yang terdapat dalam Piagam Madinah pada tahun 622 Masihi. Semua rakyat diberi layanan sama rata agar tidak wujud rasa ketidakpuasan hati dalam diri rakyat Malaysia. Andai kata, para pelajar sering bersikap pesimis terhadap kaumlain dan bersikap perkauman nescaya para pelajar tidak akan mampu merealisasikan konsep 1 Malaysia dan sudah pasti juga akan wujud sentimen perkauman serta sebagai konsekuensinya rusuhan kaum berkemungkinan besar akan berlaku. Tegasnya, para pelajar perlulah menjaga hubungan yang baik antara kaum lain kerana mempunyai relasi yang kukuh antara kaum merupakan peranan perdana yang harus dilaksankan oleh pelajar untuk merealisasikan gagasan 1 Malaysia.

Selain itu, para pelajar juga sepatutnya menggunakan bahasa kebangsaan dalam percakapan seharian dengan kaum lain supaya konsep 1 Malaysia menjadi realiti kerana bahasa mampu menjadi alat untuk mengeratkan perpaduan. Penggunaan bahasa yang sama antara kaum lain dapat memupuk semangat perpaduan kaum yang jitu selain dapat meningkatkan lagi semangat cinta akan tanah air. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang paling wajar digunakan oleh pelajar semasa berkomunikasi dengan bangsa lain di Malaysia tambahan pula kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Dengan kekukuhan kedudukan bahasa Melayu dalam perlembagaan jelaslah bahawa para pelajar perlu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan antara kaum lain seperti yang diamalkan oleh masyarakat pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Setiap pedagang di Melaka menggunakan bahasa Melayu sebagai lingua franca. Jikalau para pelajar enggan menggunakan bahasa kebangsaan ketika bercakap dengan bangsa lain maka sudah tentu perpaduan tidak akan wujud dan para pelajar tidak akan mempunyai semangat patriotik. Maka dengan itu jelaslah bahawa penggunaan bahasa kebangsaan dalam percakapan seharian dengan kaum lain merupakan peranan yang perlu dilaksanakan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Sentiasa memandang positif dan menyokong setiap saranan dan buah fikiran Perdana Menteri merupakan satu lagi uslub yang sepatutnya dilaksanakan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia. Para pelajar seharusnya mengikuti segala saranan Perdana Menteri dan memandang positif terhadap saranan tersebut agar tidak timbul perselisihan faham antara rakyat dan pemerintah yang boleh mengakibatkan berlaku pemberontakan. Selain itu, setiap saranan Perdana Menteri sudah semestinya demi kebaikan rakyat dan negara. Jadi para pelajar hasratPerdana Menteri untuk melihat semua rakyat di Malaysia hidup bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama. Perpaduan kaum yang utuh bagi sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk merupakan elemen yang paling vital dalam memastikan keamanan negara terus berkekalan. Oleh sebab itu, para pelajar perlu memandang positif terhadap ideologi Perdana Menteri dan mendukung ideologi tersebut supaya kemerdekaan negara terus berkekalan dan keharmonian negara terjamin. Jika para pelajar sentiasa berprasangka buruk dan tidak mengambil peduli terhadap saranan dan ideologi Perdana Menteri maka perpaduan kaum yang utuh tidak dapat dicapai dan sudah pasti juga gagasan 1 Malaysia tidak akan menjadi kenyataan. Secara tegas, berpandangan positif dan menyokong ideologi Perdana Menteri ialah peranan yang harus dimainkan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Konklusinya, para pelajar mempunyai pelbagai peranan yang mampu dilaksanakan dalam memastikan konsep 1 Malaysia menjadi kenyaatan. Walau bagaimanapun, tugas merealisasikan konsep 1 Malaysia bukan sahaja terletak di bahu golongan pelajar bahkan menjadi tanggungjawab semua pihak. Jikalau semua pihak memainkan peranan masing-masing dan berkolaboratif antara satu sama lain sudah tentu konsep 1 Malaysia dapat direalisasikan dengan mudah dan efektif kerana bak kata pepatah, “ Muafakat membawa berkat”. Gagasan 1 Malaysia sememangnya amat penting untuk menjadi realiti bagi membuktikan kepada seluruh dunia betapa kukuhnya perpaduan kaum yang terjalin di Malaysia. Oleh itu, dukunglah gagasan 1 Malaysia, “ 1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”.


Daripada;

NURIMANI ABDULLAH 5ST1 2010

1 comment: