pengunjung

Tuesday, March 22, 2011

Langkah-langkah Mengatasi Kegiatan Jenayah dalam Kalangan Remaja

Remaja sering kali dikaitkan dengan gejala jenayah yang banyak menimbulkan masalah dalam kehidupan masa kini. Vandalisme, gengsterisme dan buli merupakan jenayah yang acapkali didengar melalui media elektronik, media cetak mahupun percakapan orang ramai. Gejala ini sememangnya menimbulkan pelbagai masalah negatif dan secara langsung mempengaruhi jiwa remaja yang mudah memberontak dan ingin mencuba sesuatu yang mencabar. Mungkinkah ini salah satu cara pergaulan remaja sekarang? Tegasnya, gejala jenayah ini sememangnya perlu dibanteras dengan segera agar tidak leluasa seterusnya pelbagai tindakan perlu diambil untuk mengekang gejala ini daripada kehidupan seharian.

Usaha yang paling utama dan efisien untuk mengatasi masalah jenayah dalam kalangan remaja di negara ini adalah dengan cara ibu bapa perlu bijak mendidik anak-anak mereka agar tidak terjerumus dalam kebejatan sosial seperti gejala jenayah ini. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya” merupakan satu ungkapan yang perlu diambil iktibar oleh setiap ibu bapa dalam mengajar dan mengatur kehidupan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu memberi pendidikan agama sejak kecil supaya anak-anak menyedari setiap perkara yang dilakukan sama ada salah atau betul. Janganlah sampai nasi sudah menjadi bubur, barulah ibu bapa kelam kabut untuk mengambil tindakan yang sememangnya amat susah diterima oleh para remaja yang mempunyai pendirian yang tersendiri. Seterusnya, ibu bapa pula tidak seharusnya bersikap lepas tangan dalam mendidik anak-anak disebabkan kesibukan bekerja dan melepaskan tanggungjawab kepada pembantu rumah. Tegasnya, ibu bapa harus memberi perhatian yang secukupnya kepada remaja dan anak-anak supaya mereka menganggap ibu bapa sering menjadi tempat tinggal dan tempat mengadu masalah.

Selain ini, antara inisiatif yang dapat kita ambil sebagai langkah mencegah jenayah dalam kalangan remaja yang merupakan isu terpenting di negara ini ialah pihak berkuasa perlu mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Konsep ini merangkumi suatu skop yang sangat besar untuk dibincangkan. Pelbagai langkah telah dilaksanakan dalam proses mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Antara langkah untuk mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat adalah dengan pengawalan rapi oleh pihak-pihak tertentu seperti Rela, Rukun Tetangga, polis dan sebagainya dalam usaha memastikan kawasan tersebut bebas daripada kes-kes kecurian, rompakan, rogol, ragut dan sebagainya. Dengan pengawalan daripada pasukan-pasukan tersebut, sekurang-kurangnya dapat menakutkan remaja yang ingin melakukan jenayah. Kamera-kamera litar tertutup boleh dipasang sebagai langkah berjaga-jaga. Medium ini dapat menjadi bukti apabila sesuatu kes jenayah berlaku di kawasan tersebut. Sekiranya konsep bandar dan pekan selamat diwujudkan, nescaya terdetik rasa was-was kepada si penjenayah daripada melakukan aktivitinya di kawasan tersebut. Dengan cara ini, konsep bandar dan pekan selamat jelas sekali merupakan usaha yang efektif bagi mencegah jenayah dalam kalangan remaja.

Seterusnya, pengenalan semula matapelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) kepada pelajar sekolah rendah dan menengah juga merupakan salah satu cara untuk menbanteras kes jenayah dalam kalangan remaja. Seandainya, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) menjadi pelajaran teras sudah pasti masalah jenayah dalam kalangan remaja dapat diatasi. Matapelajaran PSK ini merupakan satu langkah kearah mambentuk keperibadian para remaja yang mulia dan juga berperanan memupuk nilai-nilai murni dalam diri setiap remaja. Melalui pengenalan semula matapelajaran ini, seseorang individu berupaya menyelesaikan masalah yang dihadapinya tanpa unsur-unsur keganasan, memahami kepelbagaian agama, budaya serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Sudah terang lagi bersuluh, kes-kes jenayah boleh ditangani dengan adanya pengenalan semula matapelajaran khas yang boleh dipelajari oleh para remaja.

Di samping itu, kempen-kempen pencegahan jenayah dalam kalangan remaja juga boleh diadakan di setiap sekolah. Pada hari ini banyak kempen yang diadakan di sekolah seperti cendawan tumbuh selepas hujan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan remaja terutamanya peringkat sekolah rendah lagi. Hal ini demikian kerana para pelajar pada tahap ini kurang terdedah kepada kegiatan-kegiatan jenayah. Seandainya para pelajar diberi pendedahan awal tentang kes-kes jenayah, sudah tentu masalah jenayah dalam kalangan remaja dapat diatasi. Dengan ini, mereka akan berasa takut untuk melakukan jenayah setelah terlibat dalam kempen-kempen kesedaran yang diadakan di sekolah. Antara kempen pencegahan jenayah yang sering diadakan di sekolah adalah seperti tayangan video, pameran berunsurkan aktiviti jenayah dan mewajibkan jemputan kepada pegawai polis untuk hadir memberi ucapan mengenai kegiatan jenayah, kesan dan hukuman kepada kepada pesalah. Tegasnya, kempen kesedaran sepatutnya diadakan untuk meningkatkan tahap kesedaran para remaja yang sejak kebelakangan ini amat membimbangkan.

Penubuhan kelab bersifat antijenayah sosial di sekolah merupakan antara modus operandi untuk menangani masalah jenayah dalam kalangan remaja yang semakin leluasa. Kelab Pencegah Jenayah (KPJ) dan Skim Lencana Antidadah (SLAD) merupakan antara kelab bersifat antijenayah yang ditubuhkan di sekolah. Kelab-kelab seperti ini bukan sahaja mendedahkan keburukan melakukan jenayah malahan menggalakkan remaja untuk sentiasa melakukan perkara-perkara yang berunsurkan sifat mahmudah seperti tolong-menolong dan ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Kelab bersifat antijenayah sosial didefinisikan sebagai pertubuhan yang mencegah sebarang penjenayahan daripada berlaku dan menjadi lebih parah. Hal ini bersesuaian dengan pepatah, “mencegah lebih baik daripada mengubat”. Sekiranya langkah ini tidak dilaksanakan, sudah pasti kegiatan jenayah dalan kalangan remaja akan semakin leluasa. Oleh itu, kelab-kelab bersifat antijenayah sosial haruslah lebih giat dilaksanakan bagi membanteras gejala jenayah di negara ini. Tegasnya, penubuhan kelab bersifat antijenayah sosial di sekolah merupakan salah satu langkah prakmatik dan dogmatik dalam menangani masalah jenayah dalam kalangan remaja.

Konklusinya, kegiatan jenayah dalam kalangan remaja mendatangkan impak negatif kepada diri, masyarakat dan negara malah turut menjadi virus epidimik yang akan menjatuhkan imej negara di mata seantero dunia. Oleh sebab itu, begitu peri vitalnya setiap orang menyedari peranan mereka dalam membanteras jenayah dalam kalangan remaja. Sebelum nasi menjadi bubur, masyarakat perlulah menggembleng tenaga untuk membanteras jenayah yang semakin membarah di Malaysia. Hal ini sekali gus dapat meminimumkan statistik jenayah sosial dalam kalangan remaja seterusnya negara Malaysia dapat melahirkan remaja yang bersahsiah tinggi dan berbudi pekerti.

Disediakan oleh:

1. Wan Nor Munirah Binti Wan Ahmad

2. Nur Syahzanan Binti Alwi

3. Siti Nur Fasihah Binti Mohd. Yusoff

4. Hanisah Binti Ahmad Lutfi

5. Alya Elyanis Binti Shamsudin

9 comments:

  1. tens !!!! saye dah brjaye menyiapkan tugasan karangan yg diberi guru .!! sekali gus dapat mmbentuk diri sayee sndri dan rakan2 yang lain mnjadi seseorang yg berakhlak tinggi, sahsiah baik dan brbudi pkerti di dalam klgn remaje ini!! hehehe,, ni fb saye--->http://facebook.com/robotizzuddin
    add ok!!!

    ReplyDelete
  2. Dapat siap kan kerja . Terima kasih :)

    ReplyDelete
  3. thanks . mnmbah ilmu pengetahuan :))

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah,maklumat tu byk membntu saya.terima kasih banyak bnyak.

    ReplyDelete
  5. Info Yang sangat membantu saya... terima kasih

    ReplyDelete
  6. Info Yang sangat membantu saya... terima kasih

    ReplyDelete