pengunjung

Saturday, September 3, 2011

Tema : Keharmonian masyarakat berbilang kaum

Tugasan : Cara untuk mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum

Marcapada ini, masyarakat berbilang kaum yang tinggal di negara kita hidup dalam aman dan harmoni. Hubungan antara masyarakat berbilang kaum seperti kaum Melayu, Cina dan India ini terjalin erat dan membentuk masyarakat yang bersatu padu. Idea penubuhan Datuk Seri Mohd Najib B. Tun Abd. Razak tentang slogan “1 Malaysia” telah membawa negara kita ke arah satu anjakan paradigma dan mengubah cara hidup masyarakat majmuk yang tinggal di negara Malaysia. Namun begitu, apakah prakarsa-prakarsa yang harus dilaksanakan oleh semua pihak untuk mengekalkan keharmonian dan keamanan di negara kita?

Prakarsa perdana bagi mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia ialah sikap individu itu sendiri. Hal ini demikian kerana, amannya sesuatu komuniti amnya bergantung kepada individu itu. Setiap individu itu haruslah mengamalkan sikap tolak ansurdan saling sayang menyayangi antara satu sama lain. Setiap rakyat haruslah sentiasa mengamalkan 17 nilai murni dalam kehidupan seharian mereka. Dengan adanya pengamal sikap-sikap murni dalam diri masyarakat di Malaysia, hidup setiap masyarakat rakyat pelbagai kaum akan sentiasa aman dan harmoni. Sebagai contohnya, rumah kita mengadakan rumah terbuka sempena sesuatu perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, tidak seharusnya kita menghalang jiran kita walaupun mereka bukanlah seagama dengan kita dari mengunjungi kita dan bersama-sama meraikannya bersama kita. Seandainya setiap rakyat mengamalkan sikap bertolak ansur dan sayang menyayangi antara satu sama lain, sudah pasti keharmonian masyarakat berbilang kaum akan dapat dikekalkan. Tegasnya, sikap individu memainkan peranan yang paling penting untuk mengekalkan keharmonian dan kemakmuran masyarakat berbilang kaum di Malaysia hari ini.

Di samping itu, pihak sekolah juga merupakan penjamin masyarakat berbilang kaum yang tinggal di negara kita agar hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Pihak sekolah mestilah mengadakan aktiviti-aktiviti yang berunsurkan kemasyarakatan dan melibatkan komuniti pelbagai kaum. Seterusnya, pihak sekolah juga haruslah menggalakkan pemakaian pakaian tradisi kaum masing-masing semasa sambuatan-sambutan seperti sambutan Hari Kemerdekaan, perayaan dan sebagainya supaya masyarakat berbilang kaum di negara kita akan dapat merasai nikmat keharmonian dan kemakmuran hidup dalam masyarakat majmuk di negara Malaysia. Sebagai contoh, bagi kaum Melayu mereka hendaklah memakai baju Melayu dan baju kurung manakala kaum Cina memakai cheongsam dan memakai sari bagi kaum India . Seandainya pihak sekolah mengabaikan tanggungjawab mereka dalam menyemaikan semangat perpaduan terutama dalam diri pelajar sudah pasti keharmonian dan keamanan hidup bermasyarakat yang berbilang kaum di negara sukar diterapkan dan diamalkan oleh semua masyarakat. Sesungguhnya, pihak sekolah memainkan peranan penting dalam mengekalkan keharmonian dan kemakmuran masyarakat berbilang kaum di negara Malaysia.

Amalan masyarakat itu juga salah satu langkah untuk mengekalkan keharmonian antara kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Amalan masyarakat yang baik dapat mengamankan masyarakat majmuk di Malaysia. Keamanan masyarakat ini dapat dikekalkan dengan penglibatan pelbagai kaum dan setiap aktiviti yang diadakan dalam sesebuah komuniti. Sebagai contoh, pengamalan tradisi sukan komuniti tahunan dengan penglibatan dari setiap golongan kaum yang berlainan disertai dengan pengamalan sikap-sikap terpuji dalam tradisi yang dilakukan. Seandainya amalan tradisi dalam sesebuah masyarakat dengan penglibatan pelbagai kaum tidak diamalkan, sudah pastilah keharmonian masyarakat tidak dapat dikekalkan. Pendek kata, amalan tradisi masyarakat dengan penglibatan masyarakat majmuk dapat mengekalkan keamanan dan kemakmuran hidup bermasyarakat dalam komuniti pelbagai kaum.

Di samping itu, media massa juga memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan keharmonian dan keamanan antara masyarakat majmuk di negara kita. Hal ini demikian kerana, media massa merupakan satu mekanisma atau alat sebaran am yang dapat menyampaikan maklumat atau berita kepada orang ramai dengan cepat dan dalam masa yang singkat. Sikap mudah terpengaruh dengan media massa seperti radio atau televisyen merupakan senario yang biasa kita lihat pada hari ini. Dengan tersiarnya iklan-iklan atau cerita-cerita yang bertemakan perpaduan dan keharmonian, semangat cinta akan keamanan akan terus tersemat di dada semua rakyat di Malaysia. Sebagai contoh, cerita dan iklan seperti filem “Papadom” dan iklan TM yang memaparkan persahabatan antara kaum seperti kaum Melayu, Cina dan India. Seandainya, media massa tidak memainkan peranan mereka sebagai alat sebaran am terpantas, sudah pasti keharmonian dan kemakmuran masyarakat sukar dikekalkan dalam anggota masyarakat di negara kita. Jelaslah bahawa media massa merupakan mekanisma penghubung antara masyarakat dalam mengekalkan keharmonian rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Kerajaan juga memainkan peranan yang pentng dalam mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara kita. Hal ini demikian kerana negara kita mengamalkan amalan demokrasi dan diperintah oleh sebuah kerajaan yang adil dan saksama. Gagasan “1 Malaysia” yang sentiasa berubah bergantung kepada sesuatu peristiwa yang penting telah membawa kepada satu transformasi yang drastik dalam mengekalkan keharmonian negara. Setiap rakyat haruslah sanggup berjuang berkorban dan bergadai nyawa untuk mempertahankan kedaulatan, keamanan dan cara hidup tanpa mengira kaum. Sebagai contoh sempena Hari Kemerdekaan ke-54 tahun 2011, pengasas cogan kata “1 Malaysia”, Perdana Menteri Malaysia keenam iaitu Datuk Seri Mohd Najib B. Abd Razak telah menjadikan tema “1 Malaysia” kepada tema ‘transformasi berjaya,rakyat sejahtera’. Seandainya kerajaan memainkan peranan dengan betul, jujur dan amanah sudah pasti kesejahteraan hidup bermasyarakat dalam pelbagai kaum dapat dikekalkan. Tegaslah bahawa kerajaan merupakan satu pihak yang memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Kesimpulannya, semua pihak haruslah bekerjasama untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian antara masyrakat berbilang kaum di negara kita. Dalam konteks ini,masyarakat haruslah berganding bahu dan bertolak ansur di samping pengamalan amalan tradisi serta kerjasama antara sekolah,media massa dan kerajaan bagi mengekalkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Oleh itu, sempena menyambut Hari Kemerdekaan Ke-54 dan bulan pembentukan Malaysia, marilah kita sama-sama bertekad untuk menjadi lebih patriotik,berikrar untuk memberi sumbangan penuh beerti kepada masyarakat, lebih bersatu padu dan mahu berkorban kepada negara kerana sesungguhnya ‘Bulat air kerana pembetung,bulat manusia kerana muafakat’.

3 comments:

  1. Boleh tak lau post contoh cerpen tntg Perpaduan kaum ??

    ReplyDelete
    Replies
    1. inshaallah boleh. nak cepat dapat sila usaha sendiri

      Delete
  2. wow!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!SO LONGGGGGGG

    ReplyDelete