pengunjung

Tuesday, June 9, 2015

KEPENTINGAN MENGUASAI TEKNOLOGI MAKLUMAT



        Teknologi maklumat merupakan agenda baharu yang begitu diberi­kan perhatian oleh kerajaan negara kita. Kerajaan telah mengambil langkah yang proaktif dalam usaha menerapkan minat terhadap teknologi maklumat (TM) kepada masyara­kat. Berbagai-bagai kempen dijalankan oleh pelbagai pihak untuk menjelaskan kepentingan TM kepada masyarakat. Sejumlah peruntukan yang besar telah dilaburkan untuk tujuan itu.
Negara yang tidak mengutamakan TM akan ketinggalan dalam arus pembangunan atau umpama katak di bawah tempurung. Berda­sarkan usaha dan iltizam kerajaan yang tinggi itu, nyatalah bahawa bidang teknologi maklumat mempunyai manfaat yang sangat besar kepada masyarakat dan negara ini.

        Sebenarnya, penguasaan teknologi maklumat ada banyak faedahnya kepada masyarakat khususnya iaitu mampu menjadikan masyarakat negara ini sebagai sebuah masyarakat yang sentiasa peka dengan perkembangan dan pergolakan dunia. Melalui kemajuan dalam bidang penyebaran maklumat, masyarakat negara ini tidak akan ketinggalan untuk mengikuti arus perkembangan di seantero dunia. Hal ini terbukti apabila semua maklumat yang disalurkan akan dapat diterima secara lebih pantas oleh seluruh masyarakat global. Hanya dengan memiliki sebuah komputer peribadi yang disambung dengan perkhidmatan internet, masyarakat boleh mendapatkan maklumat dari selur­uh dunia dengan  hanya perlu menggerakkan tetikus untuk mendapatkan maklumat terkini dalam sesuatu bidang. Dalam hal ini teori “Global Village” yang dibangunkan oleh Marshall McLuhan yang mengatakan dunia tidak dibatasi dengan apa-apa sempadan melainkan hanya jurang digital yang memisahkan sesetengah tempat untuk mengakses internet adalah sangat tepat.Sebagai misal, masyarakat Malaysia akan mudah mengikuti pergolakan politik di Timur Tengah dan di Rusia melalui skrin komputer mereka dengan penguasaan teknologi ini. Pendek kata, penguasaan teknologi maklumat mampu menjadikan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat yang berinformasi dengan maklumat-maklumat global yang terkini.

        Mari kita capahkan lensa perbincangan kita di bawah kata kunci teknologi maklumat dapat meningkatkan mutu pendi­dikan negara kita. Kerajaan telah mengambil variasi inisiatif untuk mewujudkan sekolah-sekolah bestari yang menjadikan teknologi maklumat sebagai teras pendidikan.
Menurut Ahmad Fuad (2003), menyatakan bahawa dalam konteks pendidikan, TMK merupakan satu rangkaian elektronik untuk mencari, mengumpul,menyimpan,memproses,menyalur dan menyampai maklumat secara efektif pantas dan banyak untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan pembentukan sekolah-sekolah bestari ini, guru-guru tidak lagi dijadikan sebagai sumber rujukan utama oleh para pelajar, sebaliknya, guru hanya akan dianggap sebagai pemudah cara sahaja. Segala proses pembelajaran dan pengajaran akan sepenuhnya dikendalikan oleh teknologi komputer dan sumber rujukan mereka pula adalah daripada sumber-sumber multimedia malah seseorang pelajar boleh melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi atau doktor falsafah dengan hanya bergantung kepada media komputer. Sebagai contoh, penubuhan Universiti Tun Abdul Razak merupakan satu langkah ke arah penerokaan ilmu di ruang siber tanpa menghadiri kuliah secara lumrah. Dengan penubuhan universiti maya ini, mutu pendidikan negara meningkat ke tahap yang lebih tinggi. Tegasnya, kemahiran dalam teknologi malumat mampu untuk meningkatkan mutu pendidikan negara.

         Cuba kita fokuskan medan perbincangan kita ke arah horizon minda kelas pertama di bawah frasa teknologi maklumat mampu meletakkan negara kita se­tanding dengan negara-negara maju dan membangun yang lain. Pada alaf ini, kemajuan sesebuah negara diukur dengan pencapaian dalam bidang teknologi malumat. Oleh yang demikian, sebagai sebuah negara yang ingin mencapai status negara maju, Malaysia mestilah menitikberatkan bidang kepakaran dalam teknologi maklumat bagi menjadikan negara kita berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Sebagai contohnya, negara kita telah melancarkan satelit teleko­munikasi kita sendiri yang dikenali dengan nama MEASAT 1 dan MEASAT 11. Berkat kebijaksanaan para saintis Malaysia, kerajaan Malaysia telah berjaya menghasil­kan satelit ringan yang dikenali sebagai Tiongsat-1 dan kejayaan mereka ini bertepatan dengan kata-kata Steve Jobs, pengasas Appla Incorporation bahawa kebijaksanaan ialah kunci kepada inovasi. Dengan pelancaran satelit-satelit ini, kita mampu menempatkan diri setanding dengan negara-negara maju dalam bidang telekomunikasi. Jadi, jelaslah bahawa teknologi maklumat mampu meletakkan negara kita setanding dengan negara maju yang lain. 

      Mari kita lebarkan sayap diskusi kita di bawah rangkai kata penekanan dalam kemajuan teknologi maklumat akan menggalakkan pemindahan teknologi secara langsung dan tidak langsung kepada negara Malaysia. Pembinaan Koridor Raya Multimedia telah membuka banyak peluang pelaburan kepada syarikat-syarikat antarabangsa untuk beroperasi di sini. Dengan ini,secara tidak langsung mereka akan memindahkan teknologi-teknologi canggih untuk dipelajari oleh rakyat negara kita seperti robot-robot pembuatan. Dalam hal ini 
10000 orang pekerja professional dalam cabang IT akan mendapat manfaat daripada kemajuan dan penguasaan TM. Pada masa yang sama, pihak kerajaan juga tidak perlu lagi membe­lanjakan wang yang banyak untuk menghantar pegawai-pegawai terpilih untuk berkur­sus praktikal di luar negara bagi menguasai teknologi canggih tersebut. Selain itu, dengan pemindahan teknologi ke negara kita, lebih banyak pihak yang mendapat manfaatnya, contohnya kerajaan mendapatkan hasil cukai dan mampu menyediakan peluang pekerjaan untuk dimanfaatkan oleh penduduk tempatan. Tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa kemajuan teknologi maklumat dapat menggalakkan pemindahan teknologi-teknologi moden ke negara kita.

Selanjutnya,  pihak kerajaan juga turut tidak ketinggalan untuk menikmati faedah penguasaan TM . TM merupakan antara faktor pemangkin yang meningkatkan kecerunan graf produktiviti negara sekali gus melancarkan pengaliran pentadbiran kerajaan. Urusan pentadbiran pihak kerajaan menjadi lebih mudah dan efektif kerana segala maklumat terkini berkaitan negara dapat dihantar dan diterima terus tanpa tapisan orang ketiga daripada pihak yang berkenaan. Selain itu, jurang digital antara Malaysia dan negara luar khususnya negara-negara maju dapat dirapatkan sebagai kepentingan negara bagi mewujudkan suasana yang lebih efektif bagi menarik minat masyarakat  negara luar untuk melabur dan berdagang di negara ini. Di samping itu, penguasaan  TM dalam kalangan rakyat juga mampu memberi impak yang positif kepada kerajaan kerana dapat menjimatkan wang simpanan negara. Sebagai contoh, kemahiran TM jurutera-jurutera negara dalam pembinaan sistem saliran tercanggih dunia iaitu terowong SMART berjaya mengurangkan kadar pengeluaran wang Malaysia untuk mengimport tenaga kerja professional dari luar. Tegasnya, penguasaan dalam teknologi maklumat dapat melancarkan urusan pentadbiran negara.

        Mari kita selongkar kotak pemikiran kita dengan lebih mendalam di bawah kata kunci teknologi maklumat dapat meningkatkan ekonomi negara. Perniagaan pada hari ini dijalankan melalui kaedah e-dagang atau perdagangan elektronik. Melalui kaedah  peniagaan di hujung jari ini ,peniaga tidak lagi perlu menyediakan ruang niaga yang besar dan keperluan kos yang tinggi kerana pasaran dapat diperluas melalui jaringan rangkaian internet. Pembeli dari dalam dan luar negara dapat melihat produk yang ditawarkan di skrin laptop mereka dan hanya perlu menekan tetikus untuk membuat pesanan. Perdagangan maya ini ternyata lebih berkesan kerana menjimatkan masa dan tenaga pembeli. Sebagai contoh, blog terkini, Amazon.com merupakan sebuah syarikat penjualan bahan bacaan yang sangat terkenal dan telah membuktikan kejayaan melalui e-dagang ini. Ternyata, teknologi maklumat dapat membantu meningkatkan ekonomi negara.

         Kesimpulannya, kita tidak harus ketinggalan untuk menguasai kemahiran teknologi maklumat kerana bidang ini akan terus berkembang dari semasa ke semasa. Sistem hidup manusia masa depan akan lebih bergantung kepada kemajuan dalam bidang ini malah pada masa kini pun, pergantungan manusia terhadap teknologi maklumat sememangnya tidak dapat dinafikan. Setiap manusia berusaha untuk membaiki diri mereka dengan menggunakan teknologi maklumat selaras dengan kata-kata Zig Ziglar, “anda tidak perlu bermula dengan hebat tetapi anda perlu mula menjadi hebat”. Oleh itu, untuk memastikan wawasan negara untuk menjadi sebuah negara maju boleh direalisasikan dengan penguasaan dalam bidang teknologi maklumat. Sebagai rakyat Malay­sia, kita perlu menyokong usaha ini di samping menyediakan diri untuk mempelajari pengetahuan baru berkaitan teknologi maklumat agar kita dapat berdiri sama tinggi , duduk sama rendah dengan masyarakat dunia dari negara-negara maju yang lain.

No comments:

Post a Comment