pengunjung

Tuesday, February 6, 2018

Anda telah menyertai pertandingan syarahan di sekolah. Tajuk syarahan anda ialah “Peranan ibu Bapa untuk Menangani Gejala Sosial dalam Kalangan Remaja.” Tulis teks syarahan anda itu selengkapnya.




                  Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis,Yang Berusaha Pengetua SMK Tumpat ,panel hakim yang adil lagi menegakkan kebenaran, para pentadbir, penjaga masa yang setia menjaga waktu, guru-guru dan rakan-rakan. Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan. Tajuk syarahan yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah “Peranan Ibu Bapa untuk Menangani Masalah Sosial dalam Kalangan Remaja”.
Hadirin yang dihormati,
  Dalam meniti arus kemodenan ini, pelbagai  masalah sosial yang mampu meranapkan peradaban bangsa dan negara melanda golongan remaja. Akhir-akhir ini, berita mengenai golongan remaja terjebak dalam gejala sosial kerap terpampang di dada akhbar. Masalah sosial adalah suatu ketidaksesuaian antara unsur-unsur kebudayaan sesebuah masyarakat  yang membahayakan kehidupan kelompok sosial sesebuah komuniti. Sebagai contoh, gejala sosial tersebut ialah vandalisme, rogol, sumbang mahram, ketagihan dadah dan merempit.  Keutuhan institusi keluarga begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga institusi keluarga diibaratkan seperti batu bata dalam sesebuah bangunan. Oleh itu, ibu bapa perlulah menyahut cabaran bagi menghalang buah hati pengarang jantung mereka daripada terjebak dalam kebejatan sosial. Kepentingan tanggungjawab keluarga ini bersesuaian dengan kata-kata tokoh terkenal Eropah, Dale Camagie “Satu sebab kegagalan adalah kerana kurang memberi perhatian.” Persoalannya,apakah peranan ibu bapa dalam menangani gejala sosial dalam kalangan anak-anak mereka?
                   Sebenarnya, peranan dominan yang perlu dilaksanakan oleh ibu bapa di luar sana dalam menangani kebejatan sosial dalam kalangan anak-anak ialah ibu bapa haruslah memberikan didikan agama yang seteguh tembok China dan seindah Taj Mahal kepada anak-anak. Didikan agama merupakan panduan hidup seorang mukmin selain merupakan indikator yang sangat penting serta mampu membantu seseorang individu menangkis segala anasir negatif yang mendorong ke arah kebinasaan diri. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah menerapkan asas-asas ketakwaan dalam diri anak-anak sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak pada hari ini terlalu mudah terpengaruh dengan anasir-anasir negatif yang mendorong ke arah keburukan. Nabi Muhammad saw pernah bersabda yang membawa maksud  anak-anak diibaratkan seperti kain putih dan ibu bapanyalah  yang bertanggungjawab mencorakkannya. Secara tersirat baginda menegaskan bahawa ibu bapa hendaklah mengawal ton-ton warna yang ingin diwarnakan di atas kain putih yang bersih itu sama ada seindah warna pelangi atau semalap masa depannya. Memetik kata-kata pakar motivasi, Dato’ Dr. Fadhilah Kamsah, beliau mengatakan bahawa ibu bapa haruslah mencurahkan ilmu agama kepada putera puteri mereka kerana ilmu agama merupakan benteng kepada mereka dalam menempuh arus modenisasi ini. Dengan kata lain, ibu bapa seyogianya perlu mendedahkan anak-anak dengan nilai murni berkaitan dengan cara hidup Islam yang sebenar, contohilah ketokohan Luqmanul Hakim yang berjaya mendidik  anak-anaknya berorientasikan al-Quran dan al-Hadis. Sekiranya ibu bapa mengabaikan tanggungjawab mereka kerana terlalu sibuk mengejar harta dunia, maka tidak menjadi perkara pelik jika anak-anak hanyut dalam hiburan dan keindahan dunia yang penuh kepalsuan ini. Tegasnya, mendidik anak-anak dengan ilmu agama sejak dari kecil lagi mampu memberi impak positif yang besar dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja berfikiran kelas minda pertama malah mempunyai akhlak yang mulia.
Hadirin yang saya hormati,
          Lensa perbincangan ini, saya lebarkan pula ke arah peranan ibu bapa dalam menangani gejala sosial yang semakin menular dalam kalangan remaja adalah dengan sentiasa memantau dan mengawal pergerakan remaja semasa mereka berada di luar kawasan rumah. Apabila ibu bapa memantau pergerakan remaja,sudah tentu ibu bapa akan dapat mengetahui aktiviti yang sering anak mereka lakukan di sekolah mahupun di luar sekolah selain mengetahui dengan siapa mereka berkawan. Ibu bapa boleh bertanya dan berhubung dengan guru-guru atau individu-individu yang berkaitan untuk mengetahui aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Sebagai contoh, ibu bapa boleh bertanya khabar dengan guru-guru tentang keadaan, aktiviti dan pretasi remaja untuk mengetahui perkembangan remaja. Keprihatinan yang dtonjolkan oleh ibu bapa dapat mengelakkan anak-anak yang baru berumur setahun jagung, berdarah setampuk pinang terjebak dengan aktiviti yang tidak bermoral seperti vandalisme, ponteng sekolah, pergaulan bebas dan lain-lain.Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan harian anak-anak . Kajian saintifik telah menyatakan bahawa anak-anak terutamanya remaja mudah terpengaruh dengan rakan sebaya. Rasullullah s.a.w pernah bersabda bahawa " Pilihlah rakan yang betul. Sekiranya kamu bersahabat dengan seorang penjual minyak wangi nescaya bauan kasturinya akan terkena pada dirimu, tetapi  apabila kamu bersahabat dengan seorang tukang besi nescaya bau tengik akan terpalit juga kepada dirimu”. Sekiranya ibu bapa tidak memantau dan mengawal pergerakan remaja di luar ataupun di dalam rumah, sudah tentu mereka akan mudah terlibat dengan masalah sosial yang boleh menghancurkan masa depan remaja selain menjatuhkan maruah keluarga mereka. Pada masa itu, ibu bapa tidak boleh lagi membaiki kesilapan mereka kerana nasi sudah menjadi bubur.  Memetik kata-kata Wahab Munabin “ Akhlak yang buruk diibaratkan seperti tembikar yang pecah, tidak dapat dilekatkan kembali dan tidak dapat dikembalikan menjadi tanah”.Jelaslah bahawa, ibu bapa perlulah memantau dan mengawal setiap pergerakan remaja agar mereka tidak tersalah memilih jalan dalam meniti arus kehidupan mereka yang masih panjang.
Warga dewan yang dikasihi,
                       Titik fokus syarahan saya pada hari ini akan dialihkan pula kepada konteks keberkesanan ibu bapa menggunakan media sosial sebagai medium baharu untuk mendidik anak-anak sejajar dengan abad ke-21 yang merupakan zaman “IT” iaitu ‘Information Technology’ atau yang bermaksud teknologi informasi.  Kita memang tidak boleh menafikan bahawa pada tahun 2017 ini , masyarakat kita sudah mengenali pelbagai jenis teknologi canggih yang hanya bermula dengan telefon setebal hampir 10 inci tetapi  sekarang terdapat berjuta jenis telefon yang senipis seperti kulit bawang. Oleh hal yang demikian, ibu bapa semestinya merebut peluang keemasan ini untuk menggunakan media sosial dalam menerapkan nilai-nilai murni serta ilmu pengetahuan supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan tipu helah dunia kini kerana peluang tidak datang bergolek dan tidak akan datang  kepada orang yang tidak pernah berusaha. Bersesuaian dengan kata-kata tokoh terkenal Eropah iaitu Charles Cahier yang pernah mengungkapkan bahawa “Kejayaan tidak datang kepada orang yang leka”. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menyarankan anak-anak mereka supaya menggunakan aplikasi yang berunsurkan pembelajaran dan penuh dengan ilmu pengetahuan serta dilengkapi dengan pelbagai permainan video yang menarik agar mereka tidak mudah berasa bosan. Melalui aktiviti sebegini anak-anak juga tidak membuang masa mereka malah dapat menambahkan ilmu pengetahuan bak kata pepatah sambil menyelam minum air. Pada era langit terbuka ini, semua orang berlumba-lumba untuk maju dan berada di hadapan berbanding dengan orang lain. Sebagai ibu bapa, adakah kita sanggup melihat anak-anak kita ditindas dan dibiarkan hanyut seperti kapal Titanic di lautan Pasifik tanpa sebarang bantuan hanya terkontang-kanting dibadai arus permodenan yang semakin mencabar ini? Seandainya, ibu bapa bersikap masih acuh tidak acuh seperti melepaskan batuk di tangga maka wawasan negara untuk melihat generasi muda bebas daripada kemelut ini hanyalah menjadi mimpi dan angan-angan Mat jenin. Pendek kata, ibu bapa perlu bertindak proaktif dan pragmatik seperti menggunakan laman sesawang sebagai medium pendidikan yang baru dalam usaha mencantas masalah sosial yang semakin menular seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan.
                        Rahmohan Ghandi pernah berkata, "Keruntuhan keluarga telah melahirkan generasi yang lemah." Kata-kata hikmat ini jelas menekankan kepentingan sesebuah institusi keluarga dalam menghasilkan individu yang cemerlang. Mengapakah hal ini berlaku?  Di manakah kebenaran bagi pernyataan ini?  Kasih sayang, terutama sekali daripada ibu bapa, akan menyebabkan anak-anak berasa bahawa dirinya dihargai. Anak-anak perlu sedar bahawa mereka merupakan aset yang berharga, bukan sahaja kepada keluarga mereka sendiri malahan kepada agama, bangsa dan negara. Apabila mereka menyedari tentang hakikat ini, mereka akan berusaha ke arah merealisasikan idea itu. Hal ini akan memberikan hala tuju yang jelas kepada anak-anak sekali gus menghalang mereka daripada terjebak ke dalam aktiviti yang tidak berfaedah yang akan menjadi batu pemberat bagi mereka untuk mencapai kecemerlangan diri.  Selain itu, apabila mereka berasa dihargai mereka akan menjadi lebih berkeyakinan tinggi dan rasa hormat kepada diri sendiri akan tertanam di dalam diri mereka.  Keyakinan diri memainkan peranan yang konkrit dalam menghasilkan generasi yang madani. Hal ini demikian kerana, kecemerlangan tidak hanya tertakluk kepada kejayaan dari segi akademik sahaja malahan dari segi sosial dan psikologi. Mereka juga tidak akan mengalami kesukaran ketika ditemu duga bagi tawaran kerja dan sebagainya. Seperti yang masyarakat sedia maklum, pelajar-pelajar pintar berbondong-bondong membanjiri institusi pengajian tinggi pada zaman kecanggihan teknologi maklumat. Namun begitu, masih ramai yang kekok untuk bercakap di hadapan khalayak. Anak-anak yang penuh dengan keyakinan diri akan cemerlang dalam kehidupan mereka selepas zaman persekolahan. Di samping itu, kepercayaan yang tinggi oleh anak-anak kepada ibu bapa juga akan terhasil daripada curahan kasih sayang yang mencukupi oleh ibu bapa. Hubungan erat yang terjalin akan menyebabkan anak-anak berasa yakin untuk berkongsi masalah dengan ibu bapa dan tidak akan mencari wahana lain bagi meluahkan perasaan mereka. Wahana yang diragui boleh menyuntik idealogi songsang dalam minda anak-anak sekali gus menghalang kecemerlangan mereka dari segi sahsiah.  Tegasnya, ibu bapa haruslah memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak bagi memastikan kecemerlangan mereka kelak sekali gus melahirkan generasi intelek yang bakal menerajui negara, bangsa dan agama dengan penuh dedikasi dan kredibiliti.
 Saudara sekalian, 
                        Saya teruskan syarahan ini dengan membawa polemik yang lebih menarik iaitu mengupas peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak supaya terhindar daripada gejala sosial ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan yang baik terhadap anak-anak. Hal ini demikian kerana ibu bapa seyogianya membetulkan kekhilafan diri sebelum membetulkan anak-anak agar tidak seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget. Anak-anak yang masih kecil atau kebiasaannya remaja sememangnya masih lagi jahil dan tidak mengenali dunia mereka yang sebenar, kejahilan inilah yang menyebabkan mereka mudah terpengaruh dan terikut-ikut untuk melakukan sesuatu perbuatan tanpa berfikir sejenak atau kesannya kelak. Biasanya remaja lebih mementingkan hiburan dan bertindak sesuka hati kerana menurut kajian ahli psikologi hedonisme merupakan sifat semula jadi remaja. Oleh itu, ibu bapa perlu menunjukkan sikap dan tingkah laku yang baik di hadapan anak-anak mereka, bak kata pepatah bagaimana rupa begitulah bayangnya kerana anak-anak akan mengikut perbuatan ibu bapa mereka. Sebagai contoh, dalam kehidupan seharian anak-anak ,ibu bapa hendaklah menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan anak-anak mereka seperti budaya menghormati warga yang lebih berusia, memberi salam kepada jiran, menjauhi sikap biadap dan mengamalkan budi bahasa yang sempurna . Kita sudah sedia maklum bahawa kadang-kadang nasihat dan teguran oleh ibu bapa diibaratkan seperti mencurahkan air ke daun keladi tetapi jika ibu bapa tekad dan sentiasa menunjukkan sikap yang baik di hadapan mereka sudah pasti lama- kelamaan anak-anak mereka mampu menjadi seorang yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik tetapi sahsiah juga. William Siegel pernah berkata,”Manusia tidak merancang untuk gagal tetapi mereka gagal untuk merancang”. Jadi, ibu bapa perlulah  sentiasa merancang aktiviti seharian anak-anak mereka dan beringat-ingat dalam setiap hal yang mereka lakukan kerana anak-anak mereka sentiasa memerhati dan mencontohi perilaku mereka. Seandainya usaha ibu bapa sebagai idola yang baik kepada anak-anak tercapai, sudah pasti harapan mereka untuk melihat permata hati mereka berjaya di dunia dan di akhirat turut menjadi kenyataan. Nyatalah bahawa, usaha ibu bapa untuk menangani masalah kebejatan sosial dalam kalangan anak-anak dapat diatasi jika ibu bapa menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak mereka sekali gus dapat melahirkan remaja yang mempunyai sahsiah dan pekerti yang cemerlang.
Warga dewan yang saya hormati,      
         Saya akhiri syarahan saya pada hari ini dengan merumuskan semula bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengekang gejala sosial yang semakin serius dalam kalangan anak-anak. Oleh itu, ibu bapa khususnya  perlulah bijak memahami tingkah laku anak-anak yang semakin agresif selain kerjasama daripada semua pihak amat ditagih dalam menyelesaikan masalah sosial. Ibu bapa sebagai ketua keluarga perlulah bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap anak-anak tetapi tidak terlalu memanjakan mereka dengan kemewahan dunia seperti menatang minyak yang penuh. Sebaliknya, ibu bapa mestilah bertindak dengan lebih tegas kerana sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, sayangkan anak tangan-tangankan. Sebagai remaja, saya berharap agar kita perlu mempunyai keinsafan dan kesedaran yang tinggi  serta bijak menghargai segala pengorbanan yang telah disumbangkan oleh ibu bapa. Jika ibu bapa masih leka dan mengabaikan tanggungjawab mereka maka janganlah melatah sekiranya anak-anak mereka pada suatu hari nanti juga terjebak dengan kemelutan sosial ini. Bersesuaian dengan kata-kata nasionalis India iaitu Mahatma Gandhi “Berfikirlah untuk hari ini namun bertindaklah pada hari esok.” Sudah terang lagi bersuluh, masalah gejala sosial ini perlu ditangani daripada peringkat akar umbi agar tidak menjadi barah dalam masyarakat sehingga menjejaskan nama negara di persada antarabangsa. Sebelum saya mengakhiri syarahan saya pada hari ini, izinkan saya berpantun.
Beras ditanak membawa pelita,
Bersimpuh sopan mencari geliga,
Kasihkan anak bersengkang mata,
Sanggup berkorban jiwa dan raga.


KUMPULAN SEMARAK JIWA 5ST1 2017

Farrisya
Izzati
Fatin
Aida
Naemah

1 comment: