pengunjung

Tuesday, February 6, 2018

Perkembangan sektor pertanian dapat menambahkan pendapatan negara, membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan imej negara di mata dunia. Huraikan pernyataan tersebut.



Makanan merupakan keperluan asas dalam kehidupan seharian manusia. Majoriti makanan adalah bersumberkan daripada hasil pertanian sebagaimana kita boleh mengambil contoh negara Thailand yang merupakan pengeksport beras dan buah-buahan yang terbesar di dunia selain negara Australia terkenal dengan hasil tenusu yang segar. Sesungguhnya industri pertanian amat vital bagi semua negara dalam menjamin kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi negara. Sektor pertanian juga pernah menjana pendapatan penting kepada negara sebelum era kegemilangan perindustrian yang dibawa oleh arus pemerintahan Tun Dr Mahadhir Mohamed melalui dasar perindustrian. Sebelum tampuk pemerintahan bertukar tangan, Malaysia mengerjakan pelbagai tanaman komersial padi sawah, kelapa sawit, lada hitam dan nanas. Walaupun begitu, kepentingan industri pertanian tidaklah diabaikan sepenuhnya kerana beliau telah melancarkan Dasar Pertanian Negara yang sebenarnya menjadi garis panduan kepada pembangunan sektor ini. Persoalannya, apakah kepentingan sektor pertanian kepada negara sehingga mendesak kerajaan untuk memajukannya?
Sebenarnya, terdapat beberapa kesan positif yang diperoleh melalui perkembangan industri pertanian kepada sesebuah negara sama ada yang kita sedar atau tidak. Implikasi utama yang dapat kita lihat dalam industri pertanian dalam negara kita adalah untuk menambahkan pendapatan negara. Dalam menyahut seruan perdana menteri kita untuk mencapai gelaran negara maju menjelang tahun 2050, rakyat Malaysia mestilah mempunyai gaji minimum sekurang-kurangnya dua ribu sebulan dek kos sara hidup yang bergerak sehaluan dengan kemodenan negara yang semakin maju. Indutri pertanian dapat menaikkan pendapatan negara kerana hasil lebihan daripada hasil pertanian tersebut dapat kita eksport ke negara luar. Sebagai contoh, hasil lebihan buah mangga harumanis dapat kita eksport ke negara luar seperti Singapura dan Brunei. Selain itu, buah kelapa sawit di negara Malaysia dieksport ke negara luar kerana buah sawit kita mempunyai kawasan pertanian yang luas serta iklim yang sesuai untuk menanam pokok tersebut. Permintaan terhadap buah kelapa sawit semakin meningkat dari semasa ke semasa kerana kegunaannya sebagai minyak masak sangat ketara dalam sector perniagaan makanan.Permintaan yang tinggi terhadap kelapa sawit ini telah membantu meningkatkan pendapatan penduduk tempatan yang mengusahakan perusahaan penanaman kelapa sawit ini.Kerajaan mestilah menyeru para petani tempatan untuk mengusahakan penanaman kelapa sawit ini kerana dapat mendatangkan keuntungan yang lumayan bukan sahaja kepada petani malahan terhadap ekonomi negara juga.Tun Dr Mahathir pernah berkata ‘rebutlah peluang yang ada, sebelum peluang itu dirampas’ kata-kata itu jelas menunjukkan bahawa kita mestilah merebut peluang yang ada untuk memajukan diri kita.Para petani juga mestilah berkerja bersungguh-sungguh untuk mendapatkan hasil yang berkualiti bak kata pepatah alang-alang mandi biar basah.Jelaslah bahawa melalui sektor pertanian seperti penanaman kelapa sawit ini dapat menambah pendapatan negara dan  petani yang mengusahakan industri tersebut.
Mari kita capahkan skop perbincangan kita ke arah yang berbeza iaitu perkembangan industri pertanian juga dapat mempelbagaikan industri asas tani di sesebuah negara seperti bahan perabot, makanan, alat tulis dan sebagainya. Pada zaman ini, manusia sejagat telah mencipta pelbagai teknologi moden yang dapat membantu negara mereka dalam perusahaan industri pertanian dan juga industri asas tani kerana Allah SWT telah berfirman mafhum-Nya “Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itulah yang mengubah nasib mereka sendiri.” Dengan perkembangan teknologi ini, sesebuah negara itu mampu menghasilkan pelbagai produk baharu daripada sumber-sumber pertanian. Sebagai contoh, negara Jepun telah menanam pokok Pain dalam kuantiti yang banyak dan menggunakan tumbuhan tersebut untuk dijadikan bahan perabot seperti papan lapis. Kesannya, masyarakat negara Jepun tidak perlu bergantung kepada hasil dari negara lain untuk mendapatkan bahan perabot tersebut. Sekiranya evolusi industri pertanian tidak berlaku, maka negara tersebut tidak akan mampu untuk mengeluarkan pelbagai jenis hasil pertanian dan industri asas tani juga tidak akan dapat berkembang dengan pesat ekoran daripada kekurangan jenis hasil pertanian yang dikeluarkan oleh negara tersebut. Dengan ini, indsutri pertanian dan industri asas tani di negara tersebut akan menjadi mundur selain rakyat di negara tersebut terpaksa bergantung kepada produk yang dihasilkan oleh negara luar untuk memenuhi keperluan masing-masing. Jelaslah bahawa industri asas tani di sesebuah negara itu dapat dipelbagaikan sekiranya industri pertanian di sesebuah negara itu berkembang dengan maju kerana berbudi kepada tanah, tanah tidak tipu.
Ayuh kita alihkan skop perbincangan kita ke arah kelebihan perkembangan industri pertanian iaitu akan membuka peluang pekerjaan kepada seantero masyarakat di sesebuah negara. Sektor pertanian telah memberi nafas baru kepada rakyat di seluruh pelosok dunia terutamanya golongan kurang berpendidikan dalam usaha membasmi kadar pengangguran. Secara holistiknya, rata-rata negara maju di dunia seperti Amerika Syarikat, Australia , China dan Jepun mempunyai kejayaan yang cemerlang dalam industri pertanian rentetan 50% sumber pendapatan mereka berpunca daripada hasil pertanian. Sebagai contoh, Australia telah memegang tampuk sebagai pengeksport hasil pertanian terbesar di dunia seperti epal, anggur, nanas, gandum dan tebu sejak tahun 1994. Permintaan yang tinggi di pasaran memerlukan kerahan tenaga yang ramai untuk menjana pendapatan eksport pertanian bernilai tinggi. Ekoran daripada itu, rakyat Australia mengimplementasikan peluang tersebut untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian bermula dari usia yang muda lagi. Jika ditelusuri dengan lebih mendalam, kebanyakan rakyat Australia telah mencapai kejayaan yang membanggakan dalam bidang pertanian sehingga bergelar seorang jutawan pada usia yang muda. Selain itu, pengaruh industri pertanian di Malaysia tidak kurang hebatnya juga. Buktinya, sektor pertanian menjadi tunjang kekuatan ekonomi negara dan menjadi penyumbang terbesar pendapatan negara di samping mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan mahupun rakyat luar negara.  Peluang pekerjaan semakin bertambah apabila lebih banyak bidang pertanian diterokai di sesebuah negara, contohnya projek-projek yang ditubuhkan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia memerlukan sumber manusia yang ramai untuk menguruskannya dengan efektif dan pragmatik. Sekiranya masyarakat di seluruh dunia memandang enteng terhadap kepentingan perkembangan industri pertanian yang membuka peluang pekerjaan kepada penduduk , sudah tentu industri pertanian di sesebuah negara itu tidak mampu berkembang maju dalam jangka masa yang panjang kerana Charles Cahier pernah berkata, “Kejayaan tidak akan datang kepada manusia yang leka.” Tegasnya, masyarakat dunia perlu memanfaatkan industri pertanian yang diibaratkan bulan jatuh ke riba kerana menyediakan banyak peluang pekerjaan untuk memastikan sektor pertanian bergerak seiring dengan sektor-sektor yang lain sekali gus mengukuhkan ekonomi sesebuah negara.
Mari kita capahkan lensa perbincangan kita ke arah yang lebih mendalam iaitu meningkatkan imej negara.Kita sememangnya tidak dapat menafikan bahawa sesebuah negara yang maju perlu menitikberatkan semua bidang terutamanya sektor pertanian. Hal ini demikian kerana,sektor pertanian merupakan pemangkin dalam membekalkan semua bekalan makanan dan pendapatan negara.Oleh itu,sesebuah negara mestilah mengambil peluang keemasan ini untuk menaiktaraf industri pertanian dengan memanfaatkan bahan mentah sebaik-baiknya. Sebagai contoh, negara Thailand terkenal dengan teknik kejuruteraan genetik iaitu dengan mengacuk pelbagai jenis tanaman untuk menghasilkan baka yang berkualiti tinggi. Keistimewaan cara ini telah mengangkat Thailand sebagai pelopor dalam industri pertanian sekali gus meningkatkan imej negara tersebut di persada antarabangsa. Pembaharuan yang dicetuskan oleh Thailand amatlah bersesuaian dengab kata-kata tokoh Dale Carnegie "Orang yang takut dengan pembaharuan tidak akan maju dalam kehidupan". Seandainya sektor industri pertanian ini dipandang enteng oleh pihak kerajaan dalam sesebuah negara pastinya negara tersebut tidak akan diiktiraf sebagai negara yang terkenal dengan kemajuan sektor pertanian. Sudah terang lagi bersuluh, pihak kerajaan dan masyarakat perlu bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam memastikan negara mereka mampu bersaing dengan negara-negara maju yang lain agar imej negara terukir di mata dunia.
Beralih ke arah skop yang lebih menarik, perkembangan industri pertanian juga sebenarnya dapat memastikan bekalan makanan dunia sentiasa mencukupi. Malaysia merupakan salah satu negara yang menjadikan beras sebagai makanan ruji. Walaupun negara kita turut menanam padi, namun kadar pertumbuhan penduduk yang semakin pesat telah menyebabkan kita masih bergantung kepada pengeluaran beras daripada negara luar seperti Thailand untuk menampung permintaan yang tinggi dalam kalangan rakyat. Umum mengetahui bahawa Thailand memegang tampuk pengeluar dan pengeksport hasil pertanian yang terbesar di dunia sejak sekian lamanya. Hasil pertanian daripada Thailand telah menjadi bualan masyarakat dunia kerana kualitinya yang terjamin dan kesegaran hasil pertaniannya. Sebagai contoh, Malaysia sering mengimport buah-buahan daripada negara asing yang lain seperti Thailand, Amerika Syarikat, China dan India kerana terdapat sesetengah buah yang kurang sesuai untuk ditanam di sini. Hal ini menyebabkan kita perlu bergantung harap kepada negara lain untuk menikmati buah-buahan yang tidak ditanam di Malaysia. Seandainya industri pertanian tidak dimajukan, sudah pasti bekalan makanan dunia akan berkurangan dan boleh membawa kemudaratan kepada manusia sejagat.Kekurangan bahan makanan ini akan menjejaskan harga bahan makanan dalam pasaran dunia yang pastinya akan melambung tinggi akibat sikap pengusaha yang mengambil kesempatan dalam kesempitan. Keadaan ini akan menyebabkan negara mengalami inflasi. Mantan Perdana Menteri kita yang kelima, Tun Haji Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pernah berkata bahawa "Tidak harus wujud tanggapan bahawa kerajaan berundur ke belakang apabila mahu pertanian diutamakan". Oleh hal yang demikian, masyarakat perlu berganding bahu memajukan industri pertanian yang selama ini dipandang enteng oleh segelintir pihak. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kemajuan dalam sektor pertanian dapat memastikan bekalan makanan dunia mencukupi agar masyarakat dapat hidup dalam keadaan yang harmoni.
Konklusinya, terdapat pelbagai kesan positif yang diperoleh daripada perkembangan industri pertanian bagi sesebuah negara. Oleh yang demikian, tidak hairanlah negara - negara dari empat penjuru dunia saling bersaing antara satu sama lain untuk menaiktarafkan industri pertanian di negara masing - masing melalui ciptaan teknologi moden yang serba guna. Dalam konteks ini, semua pihak di setiap negara perlulah memvariasikan hasil pertanian supaya pelbagai produk asas tani yang digemari seluruh masyarakat di dunia dapat dihasilkan dengan lebih meluas. Memetik kata - kata tokoh filosof agung Cina, Lao Tze, " Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah yang pertama" jelas menunjukkan bahawa industri pertanian di sesebuah negara dapat dikembangkan sekiranya semua pihak di negara tersebut mengembleng tenaga dan usaha bagi memajukan industri ini kerana rezeki secupak tidak akan jadi segantang.

SELAMAT MAJU JAYA

GKBS SMKT 2018


1 comment:

  1. karangan yang hebat!!! terima kasih, izinkan saya jadikan karangan diatas sebagai rujukan ya. :)

    ReplyDelete