Makanan
merupakan keperluan asas dalam kehidupan seharian manusia. Majoriti makanan
adalah bersumberkan daripada hasil pertanian sebagaimana kita boleh mengambil
contoh negara Thailand yang merupakan pengeksport beras dan buah-buahan yang
terbesar di dunia selain negara Australia terkenal dengan hasil tenusu yang
segar. Sesungguhnya industri pertanian amat vital bagi semua negara dalam
menjamin kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi negara. Sektor pertanian
juga pernah menjana pendapatan penting kepada negara sebelum era kegemilangan
perindustrian yang dibawa oleh arus pemerintahan Tun Dr Mahadhir Mohamed
melalui dasar perindustrian. Sebelum tampuk pemerintahan bertukar tangan,
Malaysia mengerjakan pelbagai tanaman komersial padi sawah, kelapa sawit, lada
hitam dan nanas. Walaupun begitu, kepentingan industri pertanian tidaklah
diabaikan sepenuhnya kerana beliau telah melancarkan Dasar Pertanian Negara
yang sebenarnya menjadi garis panduan kepada pembangunan sektor ini.
Persoalannya, apakah kepentingan sektor pertanian kepada negara sehingga
mendesak kerajaan untuk memajukannya?
Sebenarnya,
terdapat beberapa kesan positif yang diperoleh melalui perkembangan industri
pertanian kepada sesebuah negara sama ada yang kita sedar atau tidak. Implikasi
utama yang dapat kita lihat dalam industri pertanian dalam negara kita adalah
untuk menambahkan pendapatan negara. Dalam menyahut seruan perdana menteri kita
untuk mencapai gelaran negara maju menjelang tahun 2050, rakyat Malaysia
mestilah mempunyai gaji minimum sekurang-kurangnya dua ribu sebulan dek kos sara
hidup yang bergerak sehaluan dengan kemodenan negara yang semakin maju. Indutri
pertanian dapat menaikkan pendapatan negara kerana hasil lebihan daripada hasil
pertanian tersebut dapat kita eksport ke negara luar. Sebagai contoh, hasil
lebihan buah mangga harumanis dapat kita eksport ke negara luar seperti
Singapura dan Brunei. Selain itu, buah kelapa sawit di negara Malaysia
dieksport ke negara luar kerana buah sawit kita mempunyai kawasan pertanian
yang luas serta iklim yang sesuai untuk menanam pokok tersebut. Permintaan
terhadap buah kelapa sawit semakin meningkat dari semasa ke semasa kerana
kegunaannya sebagai minyak masak sangat ketara dalam sector perniagaan
makanan.Permintaan yang tinggi terhadap kelapa sawit ini telah membantu
meningkatkan pendapatan penduduk tempatan yang mengusahakan perusahaan
penanaman kelapa sawit ini.Kerajaan mestilah menyeru para petani tempatan untuk
mengusahakan penanaman kelapa sawit ini kerana dapat mendatangkan keuntungan
yang lumayan bukan sahaja kepada petani malahan terhadap ekonomi negara
juga.Tun Dr Mahathir pernah berkata ‘rebutlah peluang yang ada, sebelum peluang
itu dirampas’ kata-kata itu jelas menunjukkan bahawa kita mestilah merebut
peluang yang ada untuk memajukan diri kita.Para petani juga mestilah berkerja
bersungguh-sungguh untuk mendapatkan hasil yang berkualiti bak kata pepatah
alang-alang mandi biar basah.Jelaslah bahawa melalui sektor pertanian seperti
penanaman kelapa sawit ini dapat menambah pendapatan negara dan petani yang mengusahakan industri tersebut.
Mari kita
capahkan skop perbincangan kita ke arah yang berbeza iaitu perkembangan
industri pertanian juga dapat mempelbagaikan industri asas tani di sesebuah
negara seperti bahan perabot, makanan, alat tulis dan sebagainya. Pada zaman
ini, manusia sejagat telah mencipta pelbagai teknologi moden yang dapat
membantu negara mereka dalam perusahaan industri pertanian dan juga industri
asas tani kerana Allah SWT telah berfirman mafhum-Nya “Allah tidak mengubah
nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itulah yang mengubah nasib mereka
sendiri.” Dengan perkembangan teknologi ini, sesebuah negara itu mampu
menghasilkan pelbagai produk baharu daripada sumber-sumber pertanian. Sebagai
contoh, negara Jepun telah menanam pokok Pain dalam kuantiti yang banyak dan
menggunakan tumbuhan tersebut untuk dijadikan bahan perabot seperti papan
lapis. Kesannya, masyarakat negara Jepun tidak perlu bergantung kepada hasil
dari negara lain untuk mendapatkan bahan perabot tersebut. Sekiranya evolusi
industri pertanian tidak berlaku, maka negara tersebut tidak akan mampu untuk
mengeluarkan pelbagai jenis hasil pertanian dan industri asas tani juga tidak
akan dapat berkembang dengan pesat ekoran daripada kekurangan jenis hasil
pertanian yang dikeluarkan oleh negara tersebut. Dengan ini, indsutri pertanian
dan industri asas tani di negara tersebut akan menjadi mundur selain rakyat di
negara tersebut terpaksa bergantung kepada produk yang dihasilkan oleh negara
luar untuk memenuhi keperluan masing-masing. Jelaslah bahawa industri asas tani
di sesebuah negara itu dapat dipelbagaikan sekiranya industri pertanian di
sesebuah negara itu berkembang dengan maju kerana berbudi kepada tanah, tanah
tidak tipu.
Ayuh kita
alihkan skop perbincangan kita ke arah kelebihan perkembangan industri
pertanian iaitu akan membuka peluang pekerjaan kepada seantero masyarakat di
sesebuah negara. Sektor pertanian telah memberi nafas baru kepada rakyat di
seluruh pelosok dunia terutamanya golongan kurang berpendidikan dalam usaha
membasmi kadar pengangguran. Secara holistiknya, rata-rata negara maju di dunia
seperti Amerika Syarikat, Australia , China dan Jepun mempunyai kejayaan yang
cemerlang dalam industri pertanian rentetan 50% sumber pendapatan mereka
berpunca daripada hasil pertanian. Sebagai contoh, Australia telah memegang
tampuk sebagai pengeksport hasil pertanian terbesar di dunia seperti epal,
anggur, nanas, gandum dan tebu sejak tahun 1994. Permintaan yang tinggi di
pasaran memerlukan kerahan tenaga yang ramai untuk menjana pendapatan eksport
pertanian bernilai tinggi. Ekoran daripada itu, rakyat Australia
mengimplementasikan peluang tersebut untuk menceburkan diri dalam bidang
pertanian bermula dari usia yang muda lagi. Jika ditelusuri dengan lebih
mendalam, kebanyakan rakyat Australia telah mencapai kejayaan yang membanggakan
dalam bidang pertanian sehingga bergelar seorang jutawan pada usia yang muda.
Selain itu, pengaruh industri pertanian di Malaysia tidak kurang hebatnya juga.
Buktinya, sektor pertanian menjadi tunjang kekuatan ekonomi negara dan menjadi
penyumbang terbesar pendapatan negara di samping mewujudkan banyak peluang
pekerjaan kepada rakyat tempatan mahupun rakyat luar negara. Peluang pekerjaan semakin bertambah apabila
lebih banyak bidang pertanian diterokai di sesebuah negara, contohnya
projek-projek yang ditubuhkan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas
Tani Malaysia memerlukan sumber manusia yang ramai untuk menguruskannya dengan
efektif dan pragmatik. Sekiranya masyarakat di seluruh dunia memandang enteng
terhadap kepentingan perkembangan industri pertanian yang membuka peluang
pekerjaan kepada penduduk , sudah tentu industri pertanian di sesebuah negara
itu tidak mampu berkembang maju dalam jangka masa yang panjang kerana Charles
Cahier pernah berkata, “Kejayaan tidak akan datang kepada manusia yang leka.”
Tegasnya, masyarakat dunia perlu memanfaatkan industri pertanian yang
diibaratkan bulan jatuh ke riba kerana menyediakan banyak peluang pekerjaan
untuk memastikan sektor pertanian bergerak seiring dengan sektor-sektor yang
lain sekali gus mengukuhkan ekonomi sesebuah negara.
Mari kita
capahkan lensa perbincangan kita ke arah yang lebih mendalam iaitu meningkatkan
imej negara.Kita sememangnya tidak dapat menafikan bahawa sesebuah negara yang
maju perlu menitikberatkan semua bidang terutamanya sektor pertanian. Hal ini
demikian kerana,sektor pertanian merupakan pemangkin dalam membekalkan semua
bekalan makanan dan pendapatan negara.Oleh itu,sesebuah negara mestilah
mengambil peluang keemasan ini untuk menaiktaraf industri pertanian dengan
memanfaatkan bahan mentah sebaik-baiknya. Sebagai contoh, negara Thailand
terkenal dengan teknik kejuruteraan genetik iaitu dengan mengacuk pelbagai
jenis tanaman untuk menghasilkan baka yang berkualiti tinggi. Keistimewaan cara
ini telah mengangkat Thailand sebagai pelopor dalam industri pertanian sekali gus
meningkatkan imej negara tersebut di persada antarabangsa. Pembaharuan yang
dicetuskan oleh Thailand amatlah bersesuaian dengab kata-kata tokoh Dale
Carnegie "Orang yang takut dengan pembaharuan tidak akan maju dalam
kehidupan". Seandainya sektor industri pertanian ini dipandang enteng oleh
pihak kerajaan dalam sesebuah negara pastinya negara tersebut tidak akan
diiktiraf sebagai negara yang terkenal dengan kemajuan sektor pertanian. Sudah
terang lagi bersuluh, pihak kerajaan dan masyarakat perlu bekerjasama bagai aur
dengan tebing dalam memastikan negara mereka mampu bersaing dengan
negara-negara maju yang lain agar imej negara terukir di mata dunia.
Beralih ke
arah skop yang lebih menarik, perkembangan industri pertanian juga sebenarnya
dapat memastikan bekalan makanan dunia sentiasa mencukupi. Malaysia merupakan
salah satu negara yang menjadikan beras sebagai makanan ruji. Walaupun negara
kita turut menanam padi, namun kadar pertumbuhan penduduk yang semakin pesat
telah menyebabkan kita masih bergantung kepada pengeluaran beras daripada
negara luar seperti Thailand untuk menampung permintaan yang tinggi dalam
kalangan rakyat. Umum mengetahui bahawa Thailand memegang tampuk pengeluar dan
pengeksport hasil pertanian yang terbesar di dunia sejak sekian lamanya. Hasil
pertanian daripada Thailand telah menjadi bualan masyarakat dunia kerana
kualitinya yang terjamin dan kesegaran hasil pertaniannya. Sebagai contoh,
Malaysia sering mengimport buah-buahan daripada negara asing yang lain seperti
Thailand, Amerika Syarikat, China dan India kerana terdapat sesetengah buah
yang kurang sesuai untuk ditanam di sini. Hal ini menyebabkan kita perlu
bergantung harap kepada negara lain untuk menikmati buah-buahan yang tidak
ditanam di Malaysia. Seandainya industri pertanian tidak dimajukan, sudah pasti
bekalan makanan dunia akan berkurangan dan boleh membawa kemudaratan kepada
manusia sejagat.Kekurangan bahan makanan ini akan menjejaskan harga bahan
makanan dalam pasaran dunia yang pastinya akan melambung tinggi akibat sikap
pengusaha yang mengambil kesempatan dalam kesempitan. Keadaan ini akan
menyebabkan negara mengalami inflasi. Mantan Perdana Menteri kita yang kelima,
Tun Haji Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pernah berkata bahawa "Tidak harus
wujud tanggapan bahawa kerajaan berundur ke belakang apabila mahu pertanian
diutamakan". Oleh hal yang demikian, masyarakat perlu berganding bahu
memajukan industri pertanian yang selama ini dipandang enteng oleh segelintir
pihak. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kemajuan dalam sektor pertanian dapat
memastikan bekalan makanan dunia mencukupi agar masyarakat dapat hidup dalam
keadaan yang harmoni.
Konklusinya,
terdapat pelbagai kesan positif yang diperoleh daripada perkembangan industri
pertanian bagi sesebuah negara. Oleh yang demikian, tidak hairanlah negara -
negara dari empat penjuru dunia saling bersaing antara satu sama lain untuk
menaiktarafkan industri pertanian di negara masing - masing melalui ciptaan
teknologi moden yang serba guna. Dalam konteks ini, semua pihak di setiap
negara perlulah memvariasikan hasil pertanian supaya pelbagai produk asas tani
yang digemari seluruh masyarakat di dunia dapat dihasilkan dengan lebih meluas.
Memetik kata - kata tokoh filosof agung Cina, Lao Tze, " Perjalanan seribu
batu bermula dengan langkah yang pertama" jelas menunjukkan bahawa
industri pertanian di sesebuah negara dapat dikembangkan sekiranya semua pihak
di negara tersebut mengembleng tenaga dan usaha bagi memajukan industri ini
kerana rezeki secupak tidak akan jadi segantang.
SELAMAT MAJU JAYA
GKBS SMKT 2018
karangan yang hebat!!! terima kasih, izinkan saya jadikan karangan diatas sebagai rujukan ya. :)
ReplyDeleteTerima kasih. contoh karangan sektor pertanian ini banyak membantu!
ReplyDelete